Nabi Allah Isa a.s., anak Maryam akan turun di akhir zaman dan akan mengadili umat manusia mengikut Syariat yang dibawa oleh nabi kita Muhammad s.a.w. Baginda akan menghancurkan salib-salib, membunuh babi/khinzir (kerana Nabi Isa as mengharamkan babi kepada umatnya)..Baginda tidak akan menerima lagi jizyah (bayaran yang dibayar oleh orang kafir yang tinggal di negara Islam, kerana mereka mahu kekal dalam agama asal mereka).Dia hanya akan menerima Islam sebagai agama bagi semua orang.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
:"Tiada seorang pun daripada ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya.Dan di hari Kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka." (an-Nisa 4:159)
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ وَإِن مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَـٰبِ إِلَّا لَيُؤۡمِنَنَّ بِهِۦ قَبۡلَ مَوۡتِهِۦۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ يَكُونُ عَلَيۡہِمۡ شَہِيدً۬ا (١٥٩)
Allah telah menyatakan di dalam Al-Quran bahawa semua ahli Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani, akan beriman kepada Isa bin Maryam a.s sebelum kematiannya, iaitu sebelum kematian Nabi Isa a.s. Itu hanya akan berlaku pada akhir zaman di mana dia akan diturunkan sebagai hakim yang adil dan penyeru kearah Islam, sebagaimana yang akan disebutkan dalam hadith-hadith berikut yang menceritakan akan kedatangannya itu.
Ayat di atas juga menerangkan pendirian sebenar golongan Yahudi terhadap Nabi Isa a.s dan konspirasi jahat mereka terhadapnya. Ia juga menunjukkan bagaimana Allah menyelamatkan Nabi Isa a.s dan menggagalkan segala tipudaya musuh-musuhnya.
Kedua-dua gantinama di dalam ayat di atas iaitu;. 'beriman kepada'nya' sebelum kematian'nya' adalah merujuk kepada Nabi Isa a.s seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat yang sebelumnya.Hadis-hadis sahih yang mutawatir (hadis yang diriwayatkan dalam berbilang sanad, oleh bilangan perawi yang ramai sehingga kesahihannya tidak dapat disangkal lagi) membuktikan bahawa Allah telah mengangkat Nabi Isa a.s ke Syurga. Mereka juga menyebut bahawa Nabi Isa a.s akan turun pada akhir zaman sebagai hakim yang adil dan akan membunuh mereka yang menentang ajarannya (Anti-'Isa).
Ibnu Taimiyah berkata-selepas menyebut beberapa sanad hadith yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s telah diangkat ke Syurga dan akan diturunkan pada akhir zaman-, " Hadith-hadith ini adalah mutawatir daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ia telah diriwayatkan dari Abu Hurairah,Ibnu Mas'ud,'Uthman ibn Abu Al-As, Abu Umama, Al-Nawas ibn Samaan, Abdullah ibn Amr ibn Al-As, dan Hudahifah ibn Usaid r.a. Hadith-hadith ini juga telah menerangkan tanda-tanda bagaimana dan dimana Nabi Isa a.s akan diturunkan.
Antaranya, dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
" Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya telah dekat masanya Isa anak Maryam akan turun ditengah-tengah kamu sebagai hakim yang adil. Dia akan menghancurkan salib-salib, membunuh babi/khinzir dan mengharamkan jizyah. Dan kekayaan akan melimpah ruah sehingga tiada seorang pun mahu menerimanya."
Kemudian Abu Hurairah r.a berkata:
"Jika kamu suka bacalah:"Tiada seorang pun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya. Dan di Hari Kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka." Surah An-Nisa' 4:159 [Sahih Bukhari & Muslim]
Dalam riwayat lain dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Bagaimanakah kamu, bila anak Maryam turun di tengah-tengah kamu dan pemimpin kamu adalah dari kalangan kamu sendiri?" [Sahih Bukhari & Muslim].
Dalam hadith sahih yang lain, dari Jabir ibn Abdullah bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda;
" Akan sentiasa ada sehingga hari Kiamat segolongan umatku yang berjuang menegakkan kebenaran dan mereka pasti menang."
Sabda Rasulullah s.a.w selanjutnya,
" Nabi Isa a.s akan turun di tengah-tengah mereka, lalu pemimpin mereka berkata (kepada Isa a.s):
“Ayuhlah engkau menjadi pemimpin dan imam solat kami."
Jawab Nabi Isa a.s,
"Tidak! Allah telah memuliakan umat kamu dengan menjadikan sebahagian kamu sebagai pemimpin kepada ummat yang lain." [Sahih Muslim].
Hadith-hadith tersebut membuktikan bahawa Nabi Isa a.s akan turun pada akhir zaman dan akan mengadili umat manusia mengikut Syariat Nabi kita Muhammad s.a.w. Ia juga menunjukkan tanpa sangsi bahawa sesunguhnya akan ada seorang imam/ketua bagi seluruh umat manusia pada masa itu. Pada masa yang sama, tiada percanggahan antara turunnya Nabi Isa a.s dan hakikat Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul yang terakhir. Ini adalah kerana Nabi Isa a.s tidak membawa syariat yang baru. Segala undang-undang adalah milik Allah, awal dan akhir.Dia berkuasa melaksanakan apa yang dikehendakiNya dan memerintah mengikut iradat/kehendakNya. Tiada siapa yang boleh menolak perintahNya . Dia yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.
Kutipan dari Lajnah tetap, Fataawaa Islamiyah, Jilid 1, m/s 141
By Perihatin
No comments:
Post a Comment