Showing posts with label Selawat. Show all posts
Showing posts with label Selawat. Show all posts

Monday, September 5, 2011

Selawat


Dari segi bahasa pula, selawat bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad bererti memperbesarkan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini.

Kelebihan atau keistimewaan selawat antara lain juga dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya. ” (Surah Al-Ahzab: 56).

Sejajar dengan itu, selawat kepada Rasulullah s.a.w merupakan ibadah yang mulia dan terpuji, mengandungi berbagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Rasulullah s.a.w serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” ( H.R Tabrani ).

Hadis yang sering didengar, dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; “Barang siapa berselawat terhadapku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali” ( H.R Muslim ). Dalam hadis yang lain pula, sabda Rasulullah s.a.w, “Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya". ( H.R Al-Baihaqi dan Al-Khatib).

Oleh yang demikian,memang merugilah orang yang setelah dihidangkan kelebihan berselawat kepada Rasulullah s.a.w, namun masih melepaskannya begitu sahaja. Malah disebutkan amaran akibat berat atau kengganan berselawat sebagaimana maksud hadis Rasulullah s.a.w, ”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku” ( H.R Tirmizi ).

Dari Ibnu Abbas r.a pula berkata ia, telah bersabda Rasulullah s.a.w; “Barang siapa melupakan ( meninggalkan ) selawat terhadapku, maka akan tersalah dia dari jalan surga.” ( H.R. Ibnu Majah dishahihkan oleh al-Albani dengan hadits lain )



Tuesday, November 3, 2009

Pengertian Selawat


Selawat adalah jamak dari kalimat solat. Selawat menurut bahasa ertinya ialah doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat.

Dalam kitab suci Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud
سُوۡرَةُ الاٴحزَاب

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتَهُ ۥلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّۚ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُصَ صَلُّواْ عَلَيۡهِ وَسَلِّمُواْ تَسۡلِيمًا (٥٦



"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah Al-Ahzab: ayat 56 )

Selawat kepada nabi terdiri dari tiga macam tingkatan:

1. Selawat Allah kepada Nabi dan Rasulnya, istimewa kepada Nabi Muhammad S.A.W bererti Allah memberi rahmat, memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad S.A.W kepadanya .
2. Selawat para Malaikat kepada para Nabi dan Rasul dan Nabi Muhammad S.A.W, bererti malaikat² mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan.

3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad S.A.W, bererti mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya.

Hukum Membaca Selawat

Para ulamak telah memberi berbagai pendapat tentang hukum membaca selawat ke atas Nabi S.A.W di antaranya:

1. Imam Syafie mengatakan, selawat itu wajib dibacakan dalam tasyahud akhir, iaitu di antara tasyahud (tahiyyat) dan salam.

2. Imam Asy-Sya’bi berpendapat, selawat wajib dibaca dalam solat dalam kedu-dua tasyahud awal dan akhir.

3. Abu Jaafar Al-Baqir mengatakan, selawat wajib dibaca di dalam solat sama ada dalam tasyahud awal atau akhir.

4. Abu Bakar ibnu Al-Baqir berpendapat, selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya.

5. Abu Bakar Ar-Razi & Ibnu Hazmin berpendapat, berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali .

6. At-Thahawi berpendapat, selawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad S.A.W.

7. Az-Zamakhsyari berpendapat, selawat wajib dibaca pada tiap² sesuatu majlis .

8. Ibnu Jarir At-Thabari berpendapat, berselawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai.

9. Ibnu Qashshar berpendapat, berselawat kepada Nabi adalah suatu ibadah wajib.

Kesimpulannya, membaca selawat ke atas Nabi S.A.W adalah suatu amaliah dan ibadah yang terpuji yang amat disukai Allah dan para malaikat-nya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi S.A.W.

Dalil-dalil Hadis Tentang Selawat

1. Sabda Nabi S.A.W “Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

2. Sabda Nabi s.a.w : “Berselawat atas para Nabi Allah dan utusan-Nya sebagaimana kamu berselawat kepadaku kerana mereka itu sama diutuskan sebagaimana aku diutus ." (Hadis Riwayat Ahmad & Al-Khatib )

3. Sabda Nabi s.a.w: “Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada. “(Hadis Riwayat Abu Daud)

4. Sabda Nabi s.a.w: “Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima ruhku sehingga aku menjawab salam kepadanya. “(Hadis Riwayat Abu Daud )

Berdasarkan dari hadis², jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan. Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi, Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin.

Waktu-Waktu Berselawat

Terdapat banyak hadis yang menerangkan mengenai tempat² dan waktu² yang dituntut supaya kaum Muslimin membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. Diantaranya:

1. Ketika hendak masuk ke dalam masjid dan ketika hendak keluar darinya. Nabi s.aw bersabda: “Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid , maka hendaklah ia membaca salam kepadaku (selawat dan salam). Sesudah itu berdoa: Wahai Tuhanku, bukakanlah untukku segala pintu rahmat-Mu. Dan apabila ia hendak keluar hendaklah berdoa: Wahai Tuhanku, aku memohon kepadamu limpahan rahmat-Mu.” (Hadis Riwayat Abu Daud )

2. Ibnu Sunni menceritakan bahawa apabila Rasulullah s.a.w masuk dari masjid beliau membaca selawat yang bermaksud
“Dengan Nama Allah, selawatlah ke atas Muhammad."

3. Sesudah Azan. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Apabila kamu mendengar mu’azzin yang menyerukan azan, maka jawablah dengan bacaan yang sama ia baca. Setelah selesai maka berselawatlah kamu kepadaku.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

4. Sesudah membaca tasyahud akhir dalam sembahyang.

5. Di dalam sembahyang jenazah. Menurut Imam Syafi’e dalam Al-Musnad: “Sunnah Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan sembahyang jenazah adalah bertakbir pada permulaannya , setelah itu ia membaca fatihah lalu takbir kedua dan sesudahnya membaca selawat dan kemudian bertakbir lagi kali ketiga.”

6. Di antara takbir-takbir sembahyang sunat hari raya. Berkata sebahagian ulama adalah lebih baik jika membaca selawat mengiringi takbir hari raya seperti yang bermaksud
“Maha suci Allah segala puji dan sanjungan bagi Allah jua. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Besar. Ya Allah, muliakan olehmu Nabi Muhammad dan keluarganya. Ya Allah ampuni aku dan berilah rahmat kepadaku."

7. Di permulaan dan akhir doa. Nabi bersabda: “Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi. Tiada naik, barang sedikit jua daripadanya sehingga kamu berselawat kepada Nabimu.“ (Hadis Riwayat At-Tirmidzi )

8. Di akhir qunut dalam sembahyang. Diriwayatkan oleh An-Nasai bahawa disukai seseorang mengakhiri qunut dengan membaca selawat yang bermaksud “Dan mudah-mudahan Allah melimpahkan selawat (rahmat) atas Muhammad.“

9. Di malam dan di hari Jumaat. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Banyakkanlah olehmu membaca selawat di malam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dikemukakan kepadaku.“ (Hadis Riwayat Thabarani )

10. Di dalam khutbah Jumaat. Dalam mazhab Syafi’e para khatib wajib membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w pada permulaan kutbah, sesudah membaca tahmid dan juga sebelum akhir khutbah Jumaat.

11. Ketika berziarah di makam atau kubur Nabi Muhammad s.a.w. Sabda Nabi s.a.w: “Tidak seorang pun di antara kamu yang memberi salamnya iaitu di sisi kuburku, melainkan Allah mengembalikan kepadaku ruhku untuk menjawab salamnya.“ (Hadis Riwayat Abu Daud )

12. Sesudah bertalbiah. Sabda Nabi s.a.w: “Memang disuruh seseorang membaca selawat untuk Nabi ketika ia telah selesai talbiahnya dalam segala keadaan. “(Hadis Riwayat Syafi’i & Daraquthni )

13. Ketika setiap mengadakan majlis atau keramaian. Sabda Nabi s.a.w: “Tiadalah duduk suatu kaum di dalam sesuatu majlis sedang mereka telah menyebut (mengingati) Allah Taala dan tiada berselawat ke atas Nabinya, melainkan menderita nescaya Allah akan menyeksa mereka dan jika Allah menghendaki nescaya akan mengampuni mereka .” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi & Abu Daud)

14. Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesame Islam. Sabda Nabi s.a.w: “Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan (bersalam) dan berselawat kepada Nabi s.a.w melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah, baik yang telah lalu ataupun yang akan datang . “ (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

15. Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting. Sabda Nabi s.a.w: “Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat, maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang barkahnya. “ (Hadis Riwayat Ar-Rahawi)

16. Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w: “Orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

17. Ketika telinga berdengung. Sabda Nabi s.a.w: “Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung, maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku . “(Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

18. Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan. Diberitakan oleh Ubay bin Kaab bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, ujurnya: “Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawab Rasulullah s.a.w “Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu. “(Hadis Riwayat Ahmad)

19. Setiap waktu pagi dan petang. Sabda Nabi s.a.w: “Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat. “ (Hadis Riwayat Thabarani)

FADHILAT-FADHILAT SELAWAT

1. Firman Allah:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas Nabi Muhammad. Wahai orang beriman hendaklah kamu semua mengucapkan selawat dan salam kepada baginda. (Surah Al-Ahzab: 56)

2. Sabda Nabi s.a.w: Sesiapa yang berselawat keatas Nabi s.a.w sekali; Maka Allah akan berselawat kepadanya seratus kali. (Hr Muslim)

3. Rasul s.a.w: Orang yg lebih baik disisiku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak selawatnya kepadaku. (Hr Tirmizi)

4. Sabda Nabi s.a.w:
Hinalah orang yang tidak berselawat kepadaku ketika namaku disebut disisinya. (Hr Tirmizi)

5. Rasulullah s.a.w bersabda:
Hari yang terbaik bagi kamu adalah hari Jumaat; jadi perbanyakkan selawat pada hari tersebut. Maka sesungguhnya selawat yg kamu ucapkan akan dibentangkan kepadaku. Para sahabat bertanya: "Bagaimana pula selawat kami dibentangkan kepadamu sedangkan tubuhmu sudah hancur." Beliau bersabda "Sesungguhnya bumi tidak makan jasad anbiya"(Hr Abu Daud)

Riyadus Solihin oleh Imam Nawawi

Dipetik oleh Perihatin

Monday, November 2, 2009

Berselawat:

Makna berselawat atas Nabi Muhammad s.a.w.  ialah berdoa memohon supaya Allah Taala melimpahkan rahmat menambahkan kemuliaan,  kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w
Maksud dan tujuan berselawat:
Maksud dan tujuan berselawat atas Nabi Muhammad ialah
(1) Mematuhi perintah Allah s.w.t yang tersebut dengan jelas iaitu di dalam ayat 56 Surah  Al-Ahzab yang menyuruh orang-orang yang beriman berselawat dan bertaslim kepada Nabinya, Muhammad s.a.w. 
(2) Menunaikan maksud yang terkandung pada sepotong dari ayat 77 Surah al-Qasas yang memerintahkan kita melakukan kebaikan dan kemurahan sebagai menghargai dan mensyukuri nikmat-nikmat ihsan pengurniaan-Nya kepada kita dan sememang maklum bahawa sebahagian yang terbesar daripada-nya ialah nikmat ihsan-Nya mengurniakan kita seorang Rasul yang teragung, Nabi Muhammad s.a.w.
(3) Mengenang budi dan jasa baik Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak putus-putus sekalipun Baginda s.a.w. telah meninggal dunia dan berada di alam barzakh sebagaimana sabdanya s.a.w., pada hadis lbn Mas'ud yang diriwayatkan oleh al-Bazzaar yang bererti: "Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepadaku, maka apa sahaja amal yang aku dapati baik,  aku ucapkan: Alhamdulillah,  dan apa sahaja amal kamu yang aku dapati jahat,  aku :! memohon keampunan Allah untuk kamu."
(4) Mengamalkan kehendak hadis-hadis, yang maksudnya seperti berikut:
 (a) hadis lbn Umar, r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud juga Nasa'i dan hadis Jabir r.a. yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Abu Daud yang menyatakan bahawa. Sesiapa yang menerima budi orang, sama ada yang berupa harta benda, ilmu pengetahuan atau perkara lain maka orang yang menerima budi itu disuruh membalasnya dengan sebarang yang ada padanya, setidak-tidaknya dengan berdoa untuk orang yang berbuat budi itu seberapa banyak yang ia fikir berpadanan dengan budi yang Ia terima;  orang yang tidak berbuat demikian adalah orang yang kufurkan nikmat,  orang yang tidak mengenang budi
(b) Hadis Usamah bin Zaid, r.a. yang diriwayatkan oleh Tirmizi yang menyatakan bahawa: Sesiapa yang menerima budi orang lalu ia setelah tidak berdaya hendak membalasnya - berkata kepada yang berbuat budi itu: `Tuhan jualah yang membalasmu dengan kebaikan di dunia dan akhirat', maka bererti ia telah membalas budi itu dengan sepenuhnya.
(c) Hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Abu Daud yang menyatakan bahawa: Sesiapa yang tidak syukurkan dan tidak mengenangkan budi yang dibuat orang kepadanya adalah orang yang tidak menghargai dan tidak mensyukuri nikmat Allah s.w.t.
Hukum Berselawat:
Berdasarkan ayat-ayat dan hadis yang tersebut maka aIim ulama telah sekata menetapkan bahawa hukum berselawat kepada Nabi s.a.w. adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sekata tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangan kalinya, bahkan mereka berselisih kepada beberapa pendapat,  di antaranya:
(1) Wajib berselawat dalam masa mengerjakan tiap-tiap sembahyang.
(2) Wajib berselawat dalam masa membaca Tasyahud (Tahyat).
(3) Wajib berselawat dalam masa membaca Tasyahud selepas membaca dua: Kalimah Syahadah. (Tahyat) akhir
(4) Dalam seumur hidup cukuplah satu kali berselawat untuk menunaikan hukum wajibnya dan yang lebih dari itu adalah satu sunat yang digalakkan oleh Islam dan yang menjadi syiar ahli Islam.
(5) Wajib berselawat pada tiap-tiap kali menyebut, menulis atau mendengar nama Nabi Muhammad s.a.w., atau ganti namanya atau pun pangkat kenabiannya juga pangkat kerasulannya s.a.w.. Pendapat ini ialah pendapat sebahagian besar daripada penyokong-penyokong Mazhab Maliki,  Mazhab Hanafi,  Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali,  mereka berpendapat bahawa sesiapa yang tidak berselawat pada masa-masa yang tersebut maka ia telah melakukan dosa besar kerana banyak hadis yang menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w., telah memberi amaran menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berselawat kepada Baginda s.a.w., pada masa disebutkan nama atau ganti nama Baginda s.a.w. maka dialah orang yang sebakhil-bakhil manusia,  dialah yang mendapat kehinaan yang memalukan dan memuramkan mukanya, dialah yang beroleh kepayahan dan kesusahan,  dialah yang jauh dari rahmat Allah dan dialah yang akan masuk ke dalam neraka sekiranya tidak diampunkan dosanya meninggalkan berselawat itu, (sebagaimana yang tersebut dalam hadis Abu Zar al-Ghifari, yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Asim; Hadis Abu Hurairah riwayat Tirmizi dan al-Hakim; riwayat at-Tabari dan Bukhari pada al-Adab al-Mufrad; Hadis Abu Hurairah riwayat Ibn Hibban dan al-Bukhari pada al-Adab al-Mufrad dan hadis Abdullah bin Jarad riwayat ad-Dailami).
Peringatan: Hendaklah diketahui dan diingat bahawa meringkaskan susun kata " صلى الله عليه وسلم" dengan "ص" atau pun dengan "صلعم" adalah cara perbuatan orang bakhil. 
 Faedah berselawat:
Banyak hadis-hadis yang menyatakan faedah-faedah berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan ramai pula ulama yang telah menyusun kitab-kitab dan risalah-risalah khas untuk menerangkan faedah-faedah yang ternyata daripada hadis-hadis yang tersebut.
Jelasnya sesiapa yang berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan maksud dan tujuan yang telah dinyatakan dahulu dapatlah Ia menerima:
(1) Berganda-ganda rahmat yang dilimpahkan Allah kepadanya; dan sememang maklum bahawa rahmat Allah adalah satu perkara yang sangat-sangat dikehendaki dan yang sungguh-sungguh dipohon oleh tiap-tiap orang mukmin,  kerana sebarang nikmat - ilmu pengetahuan,  anak pinak, harta benda,  pengaruh dan kebesaran - kalau tidak disertai oleh rahmat Allah,  akan menjadi "Niqmat" dan bala' bencana,  oleh sebab itu Tuhan menyuruh kita bergembira dengan rahmat kasih sayangNya sahaja (58 Surah Yunus).
(2) Tempat-tempat yang berdekatan dengan Nabi Muhammad s.a.w. pada hari qiamat kelak di mana sahaja Baginda s.a.w., berada.
(3) Keutamaan beroleh syafaat yang khas dari Nabi Muhammad s.a.w. pada hari qiamat.
(4) Doa selawat Malaikat yang sentiasa berselawat kepadanya selama Ia berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
(5) Jaminan terpeliharanya dan terselamatnya daripada segala apa yang mendukacitakannya dan yang membimbangkannya dari perkara-perkara dunia dan akhirat.
(6) Habuan yang menyelamatkan dia daripada ditimpa keburukan yang menimpa orang yang tidak berselawat kepada Nabi Muhammad yang telah disebutkan dahulu.
Semuanya ini, kecuali yang tersebut pada nombor 6 ditegaskan oleh hadis-hadis yang berikut:
33- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ " مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بها عَشْرًا ". (مسلم والترمذي وأبو داود والنسائي والإمام أحمد وابن حبان)
33- Dari Abu Hurairah, r.a. bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepada-ku sekali selawat nescaya Allah limpahkan sepuluh rahmat kepadanya dengan sebab sekali selawat itu." (Muslim, Tirmizi, Abu Daud,  Nasa'i, Imam Ahmad dan Ibn Hibban)
34- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ "إِنَّ أَقْرَبَكُمْ مِنِّي يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي كُلِّ مَوْطِنٍ أَكْثَرُكُمْ عَلَيَّ صَلَاةً فِي الدُّنْيَا …." (البيهقي)

34- Dari Anas, r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya orang yang lebih hampir kepadaku dari kalangan kamu pada ban qiamat pada setiap tempat yang aku berada padanya ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku di dunia  (al-Baihaqi)
35- عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً ". (الترمذي)
35- Dari Ibn Mas'ud, r.a. bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari qiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." (Tirmizi)
36- عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً لَمْ تَزَلْ الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَيْهِ مَا صَلَّى عَلَيَّ فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ ". (الإمام أحمد وابن ماجه)
36- Dari Amir bin Rabi'ah, r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia. berselawat kepadaku oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak. " (Imam Ahmad dan Ibn Majah)
37- عَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي قَالَ مَا شِئْتَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ وإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ فالنِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذن تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ …". (الترمذي وأحمد والحاكم)
37- Dari Ubai bin Ka'ab, r.a. katanya: "Ya Rasulullah!  Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?" Baginda s.a.w., menjawab:  "Sekadar mana yang engkau suka"; Aku berkata:  "Aku hendak untukkan sesuku dari masaku"; Baginda s.a.w., bersabda: "Sekadar mana yang engkau suka,  dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata:  "Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku" Baginda s.a.w bersabda: "Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu"; Aku berkata: "Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masa Baginda s.a.w., bersabda: "Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik - untukmu"; Aku berkata: "(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan"; Baginda s.a.w., bersabda: "Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu ..." (Tirmizi, Imam Ahmad dan al-Hakim)
Masa yang dituntut berselawat padanya:
Penghulu kita Nabi Muhammad, sangat inginkan kita beroleh faedah-faedah kebaikan yang di antaranya faedah berselawat kepadanya s.a.w., oleh sebab itu maka banyak hadis-hadis yang menggalakkan kita memberi seberapa banyak masa untuk berselawat kepadanya s.a.w khasnya pada tiap-tiap malam Jumaat dan harinya, kerana hari Jumaat adalah hari raya mingguan kepada tiap-tiap orang yang mempercayakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , hari yang padanya tiap-tiap orang mukmin dituntut membanyakkan ibadat lebih daripada hari-hari yang lain maka kepada orang mukmin hari itu bukanlah hari permainan atau hiburan
Di antara masa-masa dituntut lagi berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.  ialah:
(1) Setelah selesai habis menjawab azan (bang) dan sebelum membaca doa azan. 
(2) Pada masa berada di mana-mana tempat perhimpunan yang baik dan pada masa meninggalkan tempat itu.
(3) Pada masa berdoa iaitu pada permulaannya, pertengahannya dan pada penghabisannya, bahkan ada hadis yang menyatakan bahawa doa tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.
(4) Setelah selesai mengambil wuduk iaitu di antara tasyahudnya dan doanya yang termaklum.
(5) Pada masa masuk ke masjid dan pada masa keluar daripadanya.
Selepas berselawat elok ditambah dengan berdoa: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ pada masa masuk dan dengan: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذُنُوبِي وَافْتَحْ لِي أَبْوَابَ فَضْلِكَ apabila keluar.
(6) Pada masa telinga berdesing iaitu dengan berkata:
" محمدا رسول الله صلى الله عليه وسلم ذكر الله من ذكرنى بخير"
(7) Pada masa seseorang lupakan satu-satu perkara. Tentang ini Rasulullah s.a.w., menyatakan, maksudnya: "Sesiapa yang berbuat demikian diberikannya kemudahan mengingati perkara itu Insya Allah. "
Cara Berselawat:
Selain daripada berselawat di dalam tahiyat sembahyang maka tidak dimestikan berselawat dengan satu-satu cara yang tertentu bahkan boleh berselawat dengan mana-mana "Susun kata" yang halus manis dan beradab sopan,  yang bererti menzahirkan kesempurnaan sifat kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w., dan keagungan darjat kehormatannya s.a.w., serta kebaikan jasa dan budinya s.a.w., yang berkekalan hingga ke akhirat, tetapi seelok-eloknya berselawat dengan mana-mana satu cara yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad s.a.w., yang telah pun dihimpunkan oleh alim ulama; dan yang seafdal-afdalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tahiyat akhir tiap-tiap sembahyang kerana ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w., dengan seafdal-afdal selawat maka tidak dihukum terlepasnya daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat:
 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَىآلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِيْنَ كَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

By Perihatin

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)