Tuesday, August 3, 2010

Ekspedisi Jihad (2) - Misi Saiyid Hussien Jamaluddin Kubra Ke Nusantara

Nik Kin
Artikel Pilihan 1

Tajuk : Misi Saiyid Hussien Jamaluddin Kubra di Nusantara.

Peranan Kelantan (Kerajaan Langkasuka) sebagai pusat Majapahit Barat (atas deklarasi Mahapatih Gadjah Mada setelah Majapahit mengalahkan Siam pada tahun 1357) yang kemudian berkembang menjadi Empayar Chermin banyak memberi sumbangan terhadap perkembangan Islam di Nusantara.

Empayar Chermin adalah koalisi sementara antara Kerajaan Langkasuka dengan Kerajaan Champa (Vietnam) dan Kerajaan Samudera-Pasai (Aceh) yang dibentuk selepas tahun 1335 oleh Raja Langkasuka-Kelantan ketika itu yang bernama Raja Bharubhasa atau dikenali sebagai Sultan Mahmud Syah setelah memeluk Islam melalui ulama dari Pasai.

Saiyid Hussein Jamadil Kubra dari keturunan Saiyid al-Alawiyah (bertemu hingga kepada Saiyidina Hussein cucu Rasulullah s.a.w.) anak dari bekas seorang gabenor kepada Sultan Muhammad Tugluq (Kesultanan Delhi) yang kemudian berkuasa di wilayah Deccan (India Selatan), telah sampai di Kelantan kira-kira pada tahun 1349 besama adiknya Saiyid Thana’uddin atau Syeikh Saman (anak murid kepada Ibnu Hajar).
Sepanjang misi dakwahnya Saiyid Hussein sempat mengawini tiga puteri keluarga Diraja Empayar Chermin yang ketika itu, ibu kotanya bernama ‘Jeddah’ terletak 3 batu dari Bukit Panau, Kelantan Darul Naim. Jeddah bermaksud permata.

Dari isteri Saiyid Hussein Jamadil Kubra yang pertama, Puteri Linang Cahaya (adik kepada Cik Siti Wan Kembang) dia mendapat dua orang anak, yang lelaki bernama Maulana Malik Ibrahim (pelopor Wali Songo) dan yang perempuan bernama Siti Aisyah.
Perkahwinan Saiyid Hussein Jamadil Kubra dengan Ramawati puteri kepada Raja Champa, Sultan Zainol Abidin (Ce Bo Nga) dan Permaisuri Siti Zubaidah pula melahirkan generasi yang tersenarai di dalam kumpulan Wali Songo dari titisan anak mereka, Ibrahim Asmaro.

Sewaktu umurnya hampir 80 tahun Saiyid Hussein telah dipertemukan jodoh dengan Puteri Selindong Bulan atau Siti Syahirah iaitu cucu saudara kepada isterinya yang pertama, Puteri Linang Cahaya dan beroleh seorang anak lelaki bernama Ali Nurul Alam yang kemudiannya nanti menjadi Perdana Menteri Majapahit II di Kelantan bergelar Patih Aria Gajah yang dikaitkan dengan beberapa peristiwa dengan Laksamana Hang Tuah. (Di Patani, Ali Nurul Alam terkenal dengan nama Sultan Qunbul setelah dilantik menjadi sultan di Patani Darussalam)
Syarif Muhammad Kebungsuan adalah anaknya yang bungsu dari isterinya yang ke empat (keluarga Diraja Johor) yang kemudian terkenal sebagai pembangun Kesultanan Mindanao/Sulu (Filipina), sementara salah seorang dari abangnya menjadi Sultan Borneo yang ke-3 bergelar Sultan Berkat, moyang raja-raja Brunei sekarang.

Ke empat-empat isteri yang dikahwini Saiyid Hussein Jamadil Kubra itu ialah selepas tiap-tiap seorang daripadanya meninggal dunia.
Pada awal abad ke-14 Ibrahim Asmaro dihantar oleh ayahnya Saiyid Hussein Jamadil Kubra ke Tanah Jawa membantu serta menyambung usaha-usaha dakwah abangnya Maulana Malik Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 1419 dan dimakamkan di Gerisek, Tuban.

Turut serta ialah dua orang anak Ibrahim Asmaro, iaitu Maulana Rahmatullah dan Maulana Ishak meninggalkan Champa dan kemudiannya berhijrah ke Patani Darussalam.
Mungkin inilah pelayaran wali-wali dari Champa yang dikaitkan atau mempunyai hubungan dengan pembinaan Masjid Kampung Laut di Kelantan. Masjid Kampung Laut adalah masjid yang tertua di Kelantan dan rekabentuk atapnya menyerupai rekabentuk atap Masjid Agung Demak.

Melalui firasat Saiyid Thana’uddin yang menjadi guru kepada cucu saudaranya Sunan Bonang dan Sunan Giri (juga guru kepada Laksamana Hang Tuah yang terkenal dengan gelaran Sang Adi Putra), Masjid Kampung Laut, Kelantan telah diramal akan mencetuskan kebangkitan Islam di Nusantara

Raja Empayar Chermin, Sultan Baki Syah ibni al-Marhum Sultan Mahmud Syah telah menyusul bersama satu rombongan keluarga Diraja Kelantan menemui Bentara Majapahit Hayam Wuruk untuk memperbetulkan amalan Islam yang sudah bercampur baur dengan agama Buddha Shiva setelah Hayam Wuruk berkahwin dengan anak saudaranya Bidarawati (puteri Raja Champa). Beberapa orang mubaligh yang dibawanya kemudian meninggal dunia dan dimakamkan di Leran.

Sebagai membuka tirai dakwah Islam di Tanah Jawa, Maulana Malik Ibrahim muncul sebagai perintis atau pelopor yang memberi laluan kepada wali-wali yang datang kemudiannya. Dengan tidak ada perbezaan kasta dan darjat seruan dakwahnya lebih disenangi di kalangan kasta-kasta Vaisya dan Sudras. Banyaklah kalangan mereka yang datang untuk mendapat pengajian selok-belok mengenai agama Islam.

Kehilangan Maulana Malik Ibrahim diganti oleh anak saudaranya, Maulana Rahmatullah yang memakai gelaran Sunan Ampel. Jika Maulana Malik Ibrahim dianggap sebagai pencipta pondok (pesantren) yang pertama maka Maulana Rahmatullah adalah perancang negara Islam yang pertama di Tanah Jawa.

Maulana Ishak yang banyak membantu abangnya Sunan Ampel tidak ketinggalan meninggalkan jasanya. Daerah Balambangan hampir dibawanya tunduk di bawah Islam kalau tidak kerana perancangan mertuanya Raja Menak Sembayu yang bertekad hendak membunuhnya. Beliau akhirnya berhijrah ke Pasai (Aceh) dan Melaka merupakan destinasi yang terakhirnya.

Anaknya Raden Paku (Sunan Giri) telah membangunkan Giri sebagai pasak yang membawa tertegaknya Kerajaan Islam Demak. Sebagai markas gerakan dakwah yang pertama di Jawa, Giri juga memperlengkapkan gerakan mujahid yang tidak ada tolok bandingnya di samping mubaligh-mubaligh yang berkerja keras menyatukan Pulau Madura, Bawaen, Kangean, Ternate dan Maluku di bawah panji-panji Islam.

Walaupun kedatangan Raja Kemas Jiwa atau Sang Ajit Jaya Ningrat (putra kedua kepada Raja Chermin, Sultan Baki Syah) ke Jawa hanya semata-mata bermotifkan politik tetapi melalui ikatan perkahwinannya dengan Puteri Suhita (cucu Hayam Waruk), dia telah melembutkan hati Ratu Majapahit itu untuk menyerahkan Ampeldenta dan Gerisek menjadi sebahagian daripada wilayah Giri. Raja Kemas Jiwa memakai gelaran Sultan Iskander Syah Nenggiri apabila ditabalkan menjadi Sultan Kelantan setelah kematian abangnya Sultan Sadik Muhammad Maulana Nenggiri.

Semasa Sultan Iskander Syah Nenggiri menjadi Raja Kelantan dan bergelar Bentara Majapahit pada 1432 Masihi, baginda telah mengisytiharkan negeri Kelantan sebagai Majapahit II. Sampai ke hari ini keris kedaulatan negeri Kelantan dipanggil Keris Majapahit. Kerajaan Kelantan-Majapahit II ini lenyap setelah diserang oleh Empayar Melaka (dibawah Sultan Mahmud) pada tahun 1490 setelah Majapahit II lemah akibat peperangan dengan Siam sebelumnya.

Satu kejutan yang telah berlaku sehingga memutuskan nadi Kerajaan Hindu-Majapahit apabila Demak muncul sebagai Kerajaan Islam yang dicita-citakan. Desa Glagah Wangi bertukar wajah, Bintoro Demak mewujudkan ketandaan ‘rahmat’ apabila Raden Patah menjadi pemerintah bergelar Sultan Sri (Syah) Alam Akbar al-Fatah.

Penyebaran Islam di Jawa Tengah sebelah selatan, daerah yang sekarang dinamakan Surakarta dan Yogyakarta diterokai oleh seorang anak murid Sunan Kalijaga, Kiai Ageng Pandanarang atau disebut Sunan Tembayat.
Pemilihan Sunan Tembayat sebagai menggantikan tempat Syeik Siti Jenar (yang menerima hukuman bunuh oleh wali-wali kerana mendedahkan rahsia-rahsia ketuhanan) pada mulanya diragui oleh persidangan para wali kerana bekas Bupati Semarang ini ialah seorang yang kehidupannya dikelilingi kemewahan dunia malah tidak mempercayai Tuhan, tetapi kemudiannya menjadi seorang yang cukup patuh kepada ajaran agama Islam dan sangat alim.

Melalui anak-anak Ali Nurul Alam (Perdana Menteri Kelantan-Majapahit II) iaitu Wan Husein, Wan Bo dan Wan Demali, Kelantan sekali lagi telah meyumbangkan mubaligh-mubalighnya di dalam menyambung tugas-tugas Maulana Malik Ibrahim (bapa saudara mereka) dan membantu Sunan Ampel (sepupu mereka) di Gerisek dan Maulana Ishak di Pasai (Aceh).

Wan Husein dihantar ke Pulau Madura. Wan Bo ke Pasai (Aceh) dan Wan Demali ke kawasan Johor-Riau (Pulau Bentan). Dari sinilah Wan Demali mendapat jolokan Raja Laksamana Bentan.

Generasi Wan Bo (Syarif Abdullah) telah berjaya menegakkan dua buah Kerajaan Islam Banten dan Ceribon di mana anaknya Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati telah dapat menyempurnakan cita-cita datuknya Saiyid Hussein Jamadil Kubra.

Kejayaan para wali dalam perjuangan dakwah mereka mencapai tahap yang gilang gemilang di mana Indonesia lahir sebagai negara yang majoritinya beragama Islam.Turut mendukung di atas kejayaan ini ialah Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Kudud dan Sunan Muria yang disenaraikan dalam kumpulan ‘Wali Songo’ manakala Sunan Prowoto, Sunan Dalem, Syeikh Sutabris (salah seorang guru Sunan Kalijaga) dan lain-lain lagi merupakan watak-watak sampingan yang peranan mereka juga tidak boleh dianggap sepi.

Dengan ini dapatlah disimpulkan bahawa peranan Champa dan Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu (Kelantan-Patani) dianggap begitu penting dalam penyebaran Islam di Nusantara khususnya di Indonesia

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)