Wednesday, October 6, 2010

HAKIKAT PERTEMUAN AULIYA , wali Allah

Kalau jumlah para Anbia dikatakan mencapai ribuan orang sejak Allah menjadikan bumi dan melantik manusia sebagai Khalifah-Nya, maka jumlah para Aulia tentulah lebih ramai daripada itu.

Sementara Allah melantik para Anbia dan Rasul pada masa yang tertentu sahaja, namun Allah melantik para Aulia sepanjang masa, walaupun pada masa ketiadaan Anbia.

Kalau Allah pernah melantik lebih daripada seorang Nabi dan Rasul-Nya pada suatu masa, maka Allah juga berhak melantik lebih daripada seorang Wali pada suatu masa, hanya martabat para Aulia itu berbeza.

Pada suatu masa Allah melantik Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Ismail a.s. sebagai Nabi dan Rasul. Allah juga melantik Nabi Musa a.s dan Harun a.s. sebagai Nabi dan Rasul-Nya pada satu ketika.

Kemudian Allah melantik Nabi Ya’aqub a.s. dan Nabi Yusuf a.s. juga pada satu masa.

Oleh itu tidaklah menghairankan jika Allah melantik seorang Wali atau beberapa orang Aulia pada suatu masa. Bahkan Allah pernah melantik seorang Wali dan beberapa orang Aulia ketika Allah melantik seorang Nabi atau Rasul bagi sesuatu kaum.

Misalnya, Allah memberi Karamah kepada waliNya Asif bin Barkhaya pada zaman Nabi Sulaiman a.s. dan Allah melantik Siti Maryam, ibu Nabi Isa a.s. serentak dengan masa diutusnya Nabi Zakaria a.s.

Dan seterusnya, disebut Karomah Khidhir pada zaman Nabi Musa a.s. dan dikenal pasti pula Karomah beberapa orang sahabat yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

Berdasarkan maklumat tentang berbagai martabat yang diberi kepada para Aulia, jelaslah bahawa para Auliaullah telah wujud sejak Allah mula-mula menjadikan manusia hingga sekarang.

Sudah lebih 1,410 tahun yang lalu Allah tidak mengutuskan lagi Nabi dan Rasul-Nya kepada manusia kerana Nabi Muhammad s.a.w. adalah Nabi dan Rasul yang terakhir menjelang kiamat.

Tetapi sejak Nabi Muhammad s.a.w. wafat Allah terus melantik beberapa orang Aulia dari masa ke masa, dari para sahabat besar yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w. sebagai ahli syurga hingga kepada para Imam Besar dan ulama tabiin yang jasa kebaktian mereka kepada Islam dan umatnya sentiasa dikenang hingga sekarang.

Setengah ulama berpendapat bahawa pada zaman ketiadaan Nabi dan Rasul ini, peranan para Aulia lebih besar dan lebih berat. Mereka itulah ulama Mujaddidun yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pengganti para Anbia dan Rasul.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda : (maksudnya) :

‘Pada awal setiap 100 tahun Allah mengirim seorang Mujaddid yang memperbaiki agama umatku.'

Maka selama 1,400 tahun sesudah Rasulullah s.a.w. telah wafat telah muncul sekurang-kurangnya 14 orang Mujaddid yang diutus untuk memperbaiki agama umat Islam. Para Mujaddidun itu pula tidak syak lagi adalah para Aulia yang termulia diantara para ulama pada zamannya.

Malangnya, tidak semua para Mujaddidun itu dikenal pasti oleh umat Islam pada masanya, kecuali mungkin oleh para Aulia yang dilantik oleh Allah di kalangan para Muttaqin dan Salihin di tengah ummah.


Sesudah kita membaca segala huraian mengenai Mukjizat dan Karomah yang diberi oleh Allah kepada para Rasul dan kepada sebahagian hamba-hamba-Nya yang dikasihi, wajarlah kalau kita membuat kesimpulan bahawa Karomah kepada para Aulia itu adalah hak atau benar, seperti juga Mukjizat kepada para Rasul itu adalah hak atau benar.

Setengah orang mungkin meragukan atau menolak sama sekali hakikat adanya Karomah dan para Aulia itu kerana sebab-sebab tertentu, hingga setengahnya mungkin menganggap kisah-kisah luar biasa di sekitar para Aulia itu adalah dongeng yang dicipta oleh para penulisnya sendiri.

Setiap orang mukmin wajib beriman bahawa para Aulia itu ada, kerana Allah dan Rasul-Nya menegaskan adanya mereka di tengah masyarakat manusia mukmin dari dahulu hingga sekarang dan akan datang.

Banyak kisah Karomah para Aulia itu ditulis oleh beberapa orang ulama dahulu. Para ulama yang menulis atau meriwayatkannya adalah alim ulama yang warak dan ikhlas. Bahkan mereka juga amat taqwa. Maka adalah mustahil jika dikatakan mereka telah berdusta dan sengaja mencipta kisah-kisah yang tidak ada.

Zikrullah atau Tariqat

Karomah kepada para Aulia itu adalah hak dan benar, seperti juga Mukjizat kepada para rasul itu adalah haq dan benar. Golongan Muktazilah misalnya terkenal kerana sikap mereka menolak sama sekali karamah bagi para aulia kerana mereka mengutamakan akal daripada naqal ( nas Quran dan Hadis).
 Jika Al Quran hanya menyebut empat kisah karamah, tidaklah bererti bahawa kisah-kisah karamah lain yang tidak dirakamkan di dalam Al Quran, boleh dihukumkan tidak ada. Hadis Rasulullah saw dan riwayat para sahabat baginda juga banyak meriwayatkan kisah2 karamah pada sebahagian orang yang dikasihi Allah kerana orang-orang itu amat patuh, taqwa dan ikhlas berbakti kepada Allah untuk mencapai keredhaanNya semata. Banyak kisah karomah para Aulia itu ditulis oleh beberapa orang ulama dahulu. Para ulama yang menulis atau meriwayatkannya adalah alim ulama yang warak dan ikhlas. Bahkan mereka juga amat taqwa. Maka adalah mustahil jika dikatakan mereka telah berdusta dan sengaja mencipta kisah-kisah yang tidak ada.Sebahagian daripada para Aulia itu adalah juga pengasas suatu bentuk amalan yang diajarkan pula kepada para muridnya supaya manfaat dan khasiat amalan itu dapat dinikmati pula oleh orang-orang yang ingin berbakti kepada Allah dan mengharap keredhoan-Nya.Bentuk-bentuk amalan zikrullah yang diajarkan kepada para pengikut mereka itu ada yang dipanggil ‘Tariqat’, dan ada pula yang dipanggil ‘Aurad’. Sesudah pengasas Tariqat itu wafat, amalan itu diwarisi seterusnya oleh para pengikutnya.

Bacaan-bacaan yang diamalkan itu biasanya terdiri dari ayat-ayat Quran dan lafaz-lafaz zikrullah yang tidak bertentangan dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Quran dan Hadis Rasul.

Zikrullah adalah amalan yang diamalkan dan telah dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya sepanjang hayat mereka.

Maka ‘Tariqat’ yang menyimpang dari garis panduan Quran dan hadith Rasul, tidak mungkin dapat diterima sebagai Tariqat yang benar.

Tidak mustahil bahawa setengah amalan yang dipanggil ‘Tariqat’ itu memang terpesong sesudah dipesongkan oleh para pengamalnya sendiri kerana kepentingan tertentu.

Tetapi Tariqat yang benar tetap benar. Maka ramai ulama berpendapat bahawa orang mukmin ‘harus’ atau bebas mengamalkannya, terutama jika pengasas Tariqat itu masyhur alim dan warak sepanjang hayatnya.

[Sebahagian para Aulia yang dicatat riwayatnya dalam buku ini adalah juga pengasas Tariqat masing-masing. Tetapi sebahagian pengasas Tariqat tidak dicatat dalam buku ini]

Tariqat dan Syariat

Seperti pernah dijelaskan oleh ulama, Tariqat hanyalah suatu cara atau  wasilah untuk mempertingkatkan iman dan menghampirkan diri kepada Allah menerusi latihan dan amalan yang berdasarkan pada petunjuk syariat.

Dalam pengertian lain, Tariqat berdiri di atas Syariat. Tanpa Syariat tidak mungkin ada Tariqat. Oleh itu pengasas Tariqat yang benar adalah orang-orang yang tinggi ilmu syariatnya, tinggi pula martabat taqwa dan warak serta ikhlas beramal kerana Allah.

Hanya sesudah mendalami segala segi ilmu Syariat barulah seseorang itu layak meneroka ilmu Allah yang lain. Hanya dengan sendi ilmu Syariat yang kukuh, barulah seseorang itu akan terpelihara dari kesesatan ketika ia meneroka ilmu lain disebalik ilmu Allah yang zahir.

Para Aulia adalah orang-orang yang dikurniai Allah dengan sebahagian ilmu-Nya yang maha luas dan yang tidak diberi kepada kebanyakkan orang lain.

Di antara kesan atau ganjaran dari usaha mendekati dan menerokai ilmu Allah itu, para Aulia dikurniai Karamah oleh Allah, seperti Allah mengurniakan mukjizat kepada para Rasul dengan khudrat dan iradat-Nya jua.

Berhubung dengan Tariqat yang diasaskan oleh para Aulia itu,telah  dirumuskan bahawa Tariqat yang benar hendaklah berupa zikrullah yang diajarkan atau diterima secara langsung dariRasulullah s.a.w.

Oleh kerana Tariqat dikenal hanya sesudah Nabi s.a.w. wafat, maka timbullah pertanyaan bagaimana Rasulullah s.a.w. yang telah wafat boleh memberikan zikir atau wirid Tariqat itu kepada sesiapa.

Untuk menyampaikan zikir itu pula pertemuan secara langsung harus berlaku di antara penerimanya dengan Rasulullah s.a.w. Maka timbul pula pertanyaan, apakah pertemuan itu berlaku di dalam mimpi sahaja atau ketika penerima itu dalam keadaan jaga?

Dalam senarai kisah para Aulia yang dirakamkan dalam buku ini, sebahagian daripada mereka diriwayatkan sering menemui Rasulullah s.a.w. dalam keadaan jaga.

Dengan Karamah yang dikurniai Allah kepada mereka, pertemuan di antara para Aulia dengan Rasulullah s.a.w. itu adalah ‘harus’ dan tidak menghairankan.

Mungkin cara pertemuan itu (antara Nabi dan Wali) adalah sama seperti pertemuan Nabi Muhammad s.a.w. dengan Nabi Musa a.s. dalam peristiwa Mikraj, hingga Allah berfirman (Sajadah : 23) :

‘Maka janganlah kamu ragu tentang pertemuanmu (dengan Musa ketika Mikraj).

Dalam pertemuan (di antara Rasulullah s.a.w. dengan Nabi Musa a.s.) itu Nabi Muhammad s.a.w. telah bertanya sesuatu dan pertanyaan baginda telah dijawab oleh Nabi Musa a.s.

Bahkan pertemuan dan soal-jawab di antara para Rasul itu berlaku juga di masjid Al-Aqsa di mana menurut Hadis Sahih, Nabi s.a.w. telah sembahyang berjemaah dengan mereka.

Allah berfirman (Az-Zuikhruf : 45) :

‘Dan tanyalah orang-orang yang kami utus sebelum kamu (wahai Muhammad) di antara para Rasul Kami itu.’  

Oleh kerana para Anbia dan Mursalin yang ditemui oleh Rasulullah s.a.w. itu semuanya telah wafat,maka pertemuan Rasulullah s.a.w. dengan mereka itu ketika Mikraj adalah dengan Ruh mereka, yang telah digambarkan oleh Allah dalam bentuk jasad mereka yang asal.

Demikian juga halnya  pertemuan di antara para Aulia dengan Rasulullah s.a.w. Para Aulia itu diizinkan bertemu dengan Ruh Rasulullah s.a.w. (yang telah wafat), sedangkan mereka itu dalam keadaan jaga barkat dari mukjizat baginda dan Karamah para Aulia itu sendiri.

Imam Asy-Syarani dlam Kitabul Mizan, menegaskan bahawa para ulama Mujtahidin seperti Imam Malik, Asy-Syafii dan Ahmad bin Hanbal diriwayatkan pernah melihat zat atau jasad Nabi s.a.w. bukan hanya dalam mimpi mereka, bahkan dalam keadaan jaga. Dalam pertemuan itu mereka mengajukan beberapa pertanyaan dan Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan mereka.

Dalam kitab yang berjudul ‘Tabaqaatul Aulia’ disebut bahawa di antara para ulama dan Aulia yang pernah dan sering bertemu dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan jaga ialah :

1.                 Syeikh Ibrahim Dasuki
2.                 Syeikh Jalaluddin As-Suyuti
3.                 Syeikh Az-Zawawi
4.                 Syeikh Al Mursi
5.                 Syeikh Abu Madyan
6.                 Syeikh Abu Su’ud
7.                 Syeikh As-Syazali
8.                 Syeikh Abdul Rahim Qunawi   
  
Imam Asy-Syeikh Jalaluddin As-Suyuti pernah mencatat dalam sebuah kitabnya yang memetik isi sepucuk surat dari seorang ulama besar yang bertaraf Kasyaf bahawa ia (orang itu) mendakwa telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. sebanyak 75 kali secara jaga hingga waktu surat itu ditulisnya.
  
Seorang ulama besar Tasawuf yang terkenal Ibnu Arabi, pernah menulis bahawa adalah harus (khususnya bagi orang-orang yang diberi Karamah) untuk bertemu dengan zat Nabi s.a.w. baik ruhnya atau jasadnya, kerana Rasulullah s.a.w. seperti lain-lain Nabi dan Rasul, semuanya hidup bila mereka dikembalikan (kepada jasadnya) serta diizinkan Allah keluar dari kuburnya

Maka orang yang mendapat Karamah itu, tidak terhalang melihat Rasulullah s.a.w walaupun pada masa yang sama Rasulullah juga dilihat oleh orang lain, kerana baginda adalah diibaratkan seperti matahari yang dapat dilihat di mana sahaja pada masa yang sama.

‘Kalaulah Wali Qutub dapat memenuhi bumi (seperti yang ditegaskan oleh Ibnu Atta’illah), maka kedudukan Nabi s.a.w. tentulah lebih daripada itu.’ Demikianlah kenyataan yang terdapat dalam kitab ‘Fara’idul Fawa’id’ oleh Ibnu Arabi.

Oleh beberapa ulama lain dijelaskan pula bahawa berdasarkan pertemuan Nabi Muhammad s.a.w. dengan ruh para Anbia dan Rasul pada malam Israk dan Mikraj itu, pertemuan seperti itu harus juga berlaku di antara para Aulia dengan Nabi s.a.w.

Imam Sadaruddin Al Qanawi di dalam kitabnya, Syarah Al Arba’in, antara lain menulis :

‘Di antara yang boleh berlaku dan tidak mustahil berlaku ialah pertemuan di antara Ruh para Anbia dan para Aulia (secara Karamah) bila-bila masa mereka kehendaki, sama ada pertemuan itu di dalam mimpi atau dalam keadaan jaga.’
  
Menurut Imam Muhyiddin Ibnu Arabi pula, pertemuan di antara para Aulia atau ruh mereka dengan ruh para Anbia itu boleh berlaku dengan beberapa cara:

Cara Pertemuan

Cara pertama : Bila dikehendakinya, ruh itu turun ke alam dunia. Pertemuan itu mungkin berlaku secara berjasad dalam bentuk ‘Misliyah’ seperti bentuknya yang sebenar semasa hayatnya dahulu.

Cara kedua : Bila dikehendaki, pertemuan boleh berlaku dalam masa tidur (mimpi), atau

Cara ketiga : Bila dikehendaki, dengan penjelmaan rupa dalam bentuk asalnya hingga sempurna gambarannya menurut martabat para Aulia itu.

Menurut Imam Al Qanawi, Karamah seperti itu adalah sebagai warisan daripada Mukjizat Nabi, seperti yang difirmankan oleh Allah dalam Surah Az-Zukhruf, ayat 45 yang bermaksud :

‘Tanyalah orang Kami utus sebelum kamu daripada para
     Rasul Kami dahulu.’

          Andainya Nabi Muhammad s.a.w tidak bertemu dengan para Anbia dan Rasul pada malam Israk dan Mikraj itu dalam keadaan jaga, tentulah Hadith mengenai peristiwa itu adalah bohong belaka, padahal sebaliknya Hadith-hadith mengenai Israk dan Mikraj diakui sahih belaka.

          Dalam kitab ‘Syarah As-Salawat’ oleh Syeikh Abdul Ghani An-Nabilsi, dirakamkan bahawa Syeikh Abdul Qadir Jailani pernah berkata :

‘Kami dikurniakan dengan kemudahan melihat ruh Rasulullah

 s.a.w. dengan mata kepala dalam keadaan jaga.’

Imam Al Ghazali pula dalam kitabnya ‘Al Munqizu Minadh-Dhalal’ menegaskan :

‘Bahawa orang-orang yang bermartabat Irbabul Qulub (yang berilmu Kasyaf), dalam keadaan sedar kadang kala melihat para malaikat, roh para Anbia dan mereka dapat mendengar suara mereka, serta dapat mengambil daripada mereka perkara-perkara yang berfaedah.'

Dalam kitab ‘At-Tarhib Wat-Targhib’ oleh Syeikh Umar al-Lihyaani

ditegaskan bahawa peristiwa pertemuan (orang-orang salih dan Waliyullah) dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan jaga itu telah diakui sahnya oleh Imam Al Gazali, Al Baariziy, Imam As-Subki, Imam Al Yaafi’I, Imam Al Qurtubi, Ibnu Abi Jumrah, Imam Jalaluddin As-Suyuti, Ibnu Al Hajj dan Imam Malik serta ulama mazhabnya.

          Kata Ibnu Majri : ‘Perkara itu (pertemuan denagn Nabi s.a.w.) telah disampaikan kepada aku oleh orang-orang yang salih dan yang tidak pernah tercemar namanya oleh fitnah’.

Nabi Ma’sum dari Iblis



          Dalam bab yang lalu kita telah mengetahui serba ringkas tentang martabat para Aulia dan Karamah mereka seperti yang ditulis oleh para ulama terkenal dalam kitab-kitab karangan mereka.

          Para ulama yang menulis kitab-kitab itu tentulah menulisnya dengan ikhlas dan dengan tujuan mencari kebenaran semata-mata. Untuk meragukan keikhlasan mereka atau menuduh mereka memalsukan fakta-fakta yang mereka tulis tentulah tidak wajar.

          Memang ada setengah ulama (yang mirip kepada fahaman Muktazilah) menolak atau meragukan adanya Karamah bagi para Aulia, kerana kisah Karamah mereka dianggap berlebihan dan tidak dapat diterima oleh akal atau logik mereka.

          Bagaimanapun, daripada keterangan yang lalu nyata bahawa hakikat Karamah itu tidak boleh ditolak, kerana di alam Quran itu ada sekurang-kurangnya empat kisah (Ashabul Kahfi, Khidir,Asif bin Barkhaya, Siti Maryam) yang membuktikan dengan jelas tentang berlakunya Karamah di kalangan orang-orang yang dikasihi oleh Allah. Kesemua kisah itu berlaku lama sebelum Rasulullah s.a.w. diutus.

          (Setengah orang berpendapat bahawa Asif bin Barkhaya yang berjaya memindahkan istana Puteri Balkis ke hadapan Nabi sulaiman a.s. adalah ahli sihir. Namun setengah ulama tidak berpendapat sedemikian).

          Di samping itu, banyak lagi keterangan dari Hadis Rasul dan riwayat para sahabat, yang membuktikan bahawa Karamah itu ada dan diberikan oleh Allah kepada para Aulia yang dikasihinya.

          Bahkan orang-orang yang diberi martabat ‘Aulia’ itu disebut oleh Allah di dalam Quran dengan sifat-sifat mereka sekali (lihat surah Yunus, ayat 62,63, dan 64).

          Allah berfirman : (maksudnya) :

          ‘Sesungguhnya para Aulia Allah itu tidak ada kebimbangan atas mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang yang beriman dan bertakwa. Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan di dunia dan diakhirat.’ 

          Setengah orang hanya mempercayai adanya para Aulia tetapi menolak hal-hal luar biasa yang boleh dilakukan oleh para Aulia itu, dengan alasan bahawa kisah luar biasa itu banyak ditokok tambah.
          Di antara perkara yang tidak dapat diterima oleh para pengkritik itu ialah kebolehan para Aulia itu bertemu dengan Rasulullah s.a.w. ketika mereka dalam keadaan sedar, sedangkan baginda telah wafat.

          Di antara alasan para pengkritik dalam perkara ini ialah bahawa iblis atau syaitan boleh melakukan penipuannya dengan merupakan dirinya seperti rupa Rasulullah s.a.w. hingga orang yang mendakwa menemui Rasulullah s.a.w. itu sebenarnya menemui syaitan.

          Tetapi Hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim menolak andaian itu kerana Rasulullah s.a.w. menjamin bahawa syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti baginda.

          Hadis itu berbunyi :

‘Sesiapa bermimpi melihatku, maka dia telah melihat aku, kerana syaitan tidak boleh merupaiku.’   

          Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Masud dan salah satu dari lima buah Hadis dengan pengertian yang sama.

          Namun masih juga diragukan, misalnya bagaimana ruh Rasulullah s.a.w boleh dilihat dengan jelas seperti keadaan sebelum wafatnya.

          Kepada kritikan ini, para penyokong ‘Karamah’ menegaskan bahawa para Anbia yang sudah lama wafat pernah dilihat seperti keadaan pada masa mereka hidup, kerana ada Hadis yang menyebut tentang pertemuan Rasulullah s.a.w. dengan para Anbia (yang sudah wafat) dalam masa Israk dan Mikraj.

          Telah ijmak oleh ulama Ahlussunnah wal Jamaah bahawa Israk dan Mikraj itu berlaku dengan tubuh dan ruh Nabi s.a.w., bukan dengan ruhnya sahaja. Dan Rasulullah s.a.w. telah dibawa oleh Allah ke langit dalam keadaan jaga hingga ke Sidratul Muntaha di mana baginda dapat melihat Malaikat Jibril dengan sifat asalnya bagi kali kedua (An-Najmi ayat 14), sebelum baginda mengadap Allah.

          Rasulullah s.a.w. telah melihat Jibril dengan sifat asalnya bagi kali pertama ketika baginda menerima wahyu yang pertama di Gua Hirak.

          Tentulah kisah pertemuan agung yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w. di antara baginda dengan Allah, Jibril dan para Anbia itu adalah benar belaka, kerana syaitan tidak boleh merupakan dirinya seperti Jibril atau seperti para Anbia, apatah lagi seperti Allah dalam peristiwa Mikraj itu.

          Andainya syaitan boleh berbuat demikian, nescaya peristiwa Israk dan Mikraj itu tentulah tidak ada (kerana semuanya itu mungkin hasil tipu muslihat syaitan), sedangkan perjalanan bersifat Mukjizat itu dinyatakan oleh Allah dengan jelas di dalam Quran (lihat Surah Al Israk).


Maksum Sesudah Wafat


         
          Seperti diketahui salah satu sifat Rasulullah s.a.w. (dan para Rasul yang lain) ialah ‘Maksum’ atau terpelihara. Istilah ‘Maksum’  bagi Nabi s.a.w ini amat luas.

          Rasulullah s.a.w. bukan sahaja maksum daripada perbuatan dosa, bahkan juga terpelihara daripada tipu muslihat syaitan dalam apa cara sekalipun, baik dalam masa jaganya atau tidurnya.

          Maksum bagi Rasulullah s.a.w. telah dibahagi kepada tiga jenis :
1.     Maksum pada masa hidupnya.
2.     Maksum selepas wafatnya.
3.     Maksum pada nama ‘Muhammad’ itu sendiri.

Menurut Imam Syeikh As-Syarani bahawa para Malaikat turun membawa wahyu kepada Rasulullah dari segala penjuru. Kerana itu baginda dikawal dari segala penjuru hingga syaitan tidak mempunyai celah untuk mengodanya.

Allah berfirman (Surah Al Jin, ayat 27) : maksudnya :

‘Kecualilah kepada Rasul yang diridhai-Nya. Maka sesungguhnya Dia mengadakan pengawal (malaikat) yang mengawalnya dari depan dan belakangnya.’ 

Maka terkawalnya para Rasul dari godaan syaitan itu termasuk dalam istilah maksum sebagai sifat yang wajib bagi mereka.

Dalam firman-Nya yang lain Allah menegaskan :

‘Sesungguhnya Allah memelihara engkau daripada gangguan manusia.’
                                                                   (Al Maidah, ayat 67)

Menurut tafsir Tabari dan An-Naisaburi, maksum yang dimaksudkan di sini ialah makum Rasulullah s.a.w. dalam masa hidupnya. Bagaimana pula sifat maksum Rasulullah s.a.w. sesudah baginda wafat?

Aulia Tidak Maksum



          Hanya sanya, para Aulia itu tidak mendapat jaminan kawalan dari Allah atau Malaikat dari godaan syaitan atau fitnah manusia, kerana mereka tidak bersifat maksum seperti maksumnya para Anbia.

          Tetapi sesudah diberi Karamah oleh Allah, Karamah itulah yang menjadi benteng untuk mereka menangkis godaan iblis atau fitnah manusia (seperti kisah Syeikh Abdul Qadir Jailani dengan Iblis yang menyamar seperti kucing dan lain-lain).

          Kesimpulannya, mungkin ada baiknya dipetik apa yang termaktub dalam kitab ‘Fatwa’ jilid 2 bilangan 63, tahun 1988, oleh Dato Mufti Brunei, Pehen Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, antara lain:

          Menurut kenyataan beberapa orang ulama besar bahawa soal berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. pada waktu tidur (mimpi) atau pada waktu jaga, dan menerima ajaran doa, salawat atau zikir daripada baginda, adalah boleh dan Harus hukumnya, sebagaiman berlakunya pada sebilangan ulama, ahli ilmu Islam dan para Salihin. Perkara seperti itu termasuk dalam bab ‘Fadha’ilul Ilm’ (kelebihan ilmu).

          ‘Adapun Syariat mengenai hukum halal dan haram, telah tertutup dengan terhentinya Wahyu sesudah Rasulullah s.a.w. wafat’.


Kesimpulan Penulis



          Dari dalil Quran dan Hadis Rasul yang telah dibentangkan dalam buku ini tidak dapat disangkal bahawa Karamah memang ada dan telah diberi oleh Allah kepada orang-orang tertentu, terutama kepada orng-orang yang dikasihi oleh Allah kerana taqwanya dan ikhlasnya berbakti dan beramal untuk mencapai keredhaan Allah semata.

          Dari dalil Quran dan Hadis Rasul juga diketahui bahawa Karamah itu biasanya diberi oleh Allah kepada Auliya’ullah keran mereka adalah di antara orang-orang yang amat dikasihi oleh Allah berdasarkan amalan mereka dan tahap taqwa mereka yang amat tinggi.

          Maka perbezaan antara Karamah bagi para Aulia dengan Mukjizat para Anbia ialah bahawa Mukjizat diberi kepada para Anbia sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka, tetapi Karamah diberi kepada para Aulia sebagai hadiah peribadi dari Allah kepada mereka kerana mereka dikasihi oleh-Nya, dan bukan sebagai bukti bahawa mereka itu adalah Aulia’ullah.
          Satu perbezaan lagi ialah bahawa sementara Nabi dan Rasul itu dilantik oleh Allah dengan khudrat dan iradat-Nya, para Aulia telah dikurniakan martabat tinggi itu sebagai hadiah dari Allah atas usaha dan kegigihan mereka mendampingi Allah hingga Allah amat mengasihi mereka.

          Oleh kerana martabat para Anbia dan Aulia itu sangat tinggi dan istimewa sekali disisi Allah, tidaklah martabat itu boleh dicapai oleh setiap orang dengan mudah.

          Seperti diketahui, Allah tidak lagi mengutus para Anbia atau Mursalin sesudah Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Tetapi para Aulia masih muncul hingga ke hari kiamat, walaupun kemunculan mereka sekarang mungkin amat sedikit.

          Bahkan sepanjang sejarah, martabat para Aulia itu sendiri tidak ketara, bukan hanya oleh orang ramai, bahkan kadang-kadang oleh diri mereka sendiri. Dan bila mereka menyedarinya mereka sering menjadi takut kiranya Karamah itu menimbulkan rasa ujub atau riak yang boleh menggugat keikhlasan hati mereka untuk berbakti hanya kepada Allah seperti sebelumnya.

Bukan Untuk Semu

Maka jelaslah kepada kita bahawa martabat Wali atau Aulia itu bukan untuk semua orang, kerana tidak ramai orang yang sanggup menurut jejak mereka atau mencontohi amalan yang mereka kerjakan dan sanggup menempuh ujian yang mereka tempuh.

Salah satu siakp istimewa para Aulia itu ialah bahawa mereka sanggup mengosongkan hati mereka dari segala kepentingan duniawi untuk berbakti kepada Allah semata.

Dari satu segi, sikap mereka  memang boleh dianggap sebagai ‘eksterim’, walaupun amalan mereka diizinkan oleh Allah dan menyebabkan mereka dikasihi oleh Allah (seperti amalan Siti Maryam, ibu Nabi Isa a.s.).

Pada dasarnya syariat Islam tidak mendorong atau menggalakkan setiap orang mukmin bersikap demikian. Allah menegaskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah sebagai kalifah-Nya di bumi. Tugas utama manusia, pertama ialah untuk berbakti kepada Allah dan kedua untuk mengimarahkan bumi.

Dalam Surah Al Qasas ayat 77, Allah mengesa orang mukmin supaya berusaha untuk mencapai ganjaran yang disediakan untuk mereka di akhirat,tetapi jangan pula mengabaikan kepentingan mereka di dunia.

Bahkan Sunnah Rasul dan contoh amalan para sahabat menunjukkan bahawa umat Islam tidak harus mengabaikan salah satu daripada dua tugas utama itu, iaitu baik untuk berbakti kepada Allah atau untuk menguasai bumi. 

Oleh itu, jalan yang diikuti oleh para Aulia itu sebenarnya bukan jalan yang harus ditempuh oleh setiap orang mukmin, walaupun kebaktian penuh mereka kepada Allah menyebabkan mereka amat dikasihi oleh Allah dan dikurniai Karamah yang tidak diberikan kepada orang lain.

Dalam kata lain, setiap orang mukmin tidak harus bercita-cita untuk menjadi Wali, kerana bukan untuk itu mereka dijadikan oleh Allah dan bukan pula setiap mukmin mampu mencapai apa yang dicapai oleh para Aulia.

Memang doa orang-orang yang dikasihi oleh Allah itu sentiasa dikabulkan. Tetapi Allah tidak melakukan iradat-Nya bersandarkan doa para Aulia sahaja, seperti Allah tidak melakukan iradat-Nya bersandarkan pada doa para Anbia atau pada doa sesiapa.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. masih perlu bertempur dan berjuang di medan perang walaupun doa baginda sentiasa dikabulkan oleh Allah, dan para Malaikat sentiasa mengawal dan membantunya.

Sementara perintah Rasul wajib dipatuhi dan Sunnahnya wajib diikuti, tidak semua amalannya sanggup diikuti oleh setiap orang mukmin.

Misalnya, Rasulullah s.a.w. diberi oleh Allah mukjizat tetapi Allah tidak memberinya kepada setiap orang lain. Dan Allah membawa Rasulullah s.a.w. Israk dari Makkah ke Masjid Al Aqsa dan Mikraj ke langit hingga mengadap Allah, kemudian pulang ke Makkah pada suatu malam sahaja, tetapi orang lain tidak diberi kemuliaan seperti itu.

Demikian juga para Aulia dengan Karamahnya. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang disukai-Nya dan mengurniakan ilmu kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya sama ada orang itu berusaha mencarinya atau pun tidak. ilmu Allah itu amat luas, dan apa jua ilmu yang diberi-Nya kepada manusia itu hanya sedikit.

Maka apa jua yang dihadiahkan oleh Allah kepada para Aulia itu tentulah hanya sebahagian kecil dari nikmat ilmu Allah yang tidak diberikan-Nya kepada kebanyakkan hamba-Nya yang lain.

Tidak syak lagi bahawa para Aulia itu adalah di antara hamba-hamba-Nya yang amat taqwa kepada Allah, kerana Allah telah berfirman : ‘Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.’ (Al Hujurat, ayat 13).
bahan Rujukan

1.     Jamik Karamatul Aulia
-         Al Allamah Syeikh Yusuf bin Ismail An-Nabhani.

2.     Al Furqan baina Auliaur-Rahman wa Auliausy-Syaitan-Imam Ibnu Tamiyah.

3.     Masalah berjumpa Rasulullah s.a.w.-terjemahan Anuar Hj. Abdul Rahman dari kitab asal oleh Syeikh Husain Hasan Toma’i.

4.     Ihya’ Ulumiddin – Imam Al Ghazali

5.     Tazdkiratul Aulia – Fariduddin Attaar dan lain-lain.

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)