Saturday, November 13, 2010

Keutamaan doa dalam kehidupan


DOA merupakan satu pengharapan yang dipohon oleh manusia kepada Allah. Doa memainkan peranan yang amat besar dalam kehidupan umat manusia. Melalui doa manusia akan dapat ketenangan dan berfikiran positif untuk mencapai kejayaan yang memuaskan dan cemerlang dalam apa jua perjuangan dan kehidupan manusia. Ianya menjadikan manusia tidak akan kecewa di sebalik kegagalan-kegagalan yang dialaminya, malahan menyedari bahawa usaha dan bekerja keras perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Apabila tidak memperolehi apa yang dihajati, dia akan memujuk hatinya dengan berkata bahawa, setiap kejadian itu ada hikmah yang tersirat di sebaliknya. Disinilah kesabaran dan ketabahan hati menjadi perisai kepada diri sendiri. Melalui doa, manusia menyedari bahawa dia sebenarnya tidak keseorangan dalam melayari kehidupan ini. Dia sentiasa ada Allah sebagai Tuhan Yang Maha Agung, tempat dia berdoa, mengadu masalah kehidupan dan meminta perlindungan untuk keselamatan di dunia dan juga di akhirat kelak.
Berdoa ertinya memohon atau meminta sesuatu yang baik daripada Allah Subhanahu Wata'ala Yang Maha Pemurah. Allah Subhanahu Wata'ala menyuruh orang-orang Islam berdoa atau meminta sesuatu kepada-Nya. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 tafsirnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dan takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina"
.
Riwayat At-Termizi sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Sesunggguhnya doa itu memberi manfaat terhadap bala bencana yang telah berlaku dan masih belum berlaku dan tidak menolak qada Allah melainkan doa, maka sayugialah kamu berdoa".

Pentingnya berdoa ini dalam hidup seseorang telah Allah gambarkan di dalam Al-Qur'an. Hampir setiap surah atau setiap seratus ayat di dalamnya menyebut perkataan yang ada kaitan dengan doa. Ternyata Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan umat manusia agar sentiasa meminta pertolongan daripada-Nya.
Ramai manusia yang menghidap penyakit jiwa akibat gagal apabila berhadapan dengan pelbagai ujian kehidupan yang mendatang. Ada yang menderita kerana gagal dalam percintaan, pekerjaan, peperiksaan dan sebagainya. Kecewa diri yang tidak diperdulikan oleh orang lain. Ada yang merana apabila sebarang perkara yang dihajati tidak tercapai. Ada juga yang sangat bersedih dan hilang arah apabila kehilangan seseorang yang terlalu rapat atau yang sangat dikasihi.

Begitulah perasaan-perasaan sedih dan kecewa yang akan menimpa kepada sesiapa yang tidak mahu menyerahkan dirinya kepada kekuasaan Allah ataupun menyedari bahawa di sebalik kejadian sesuatu itu adalah di sebaliknya Allah yang mengizinkan ianya berlaku.

Oleh demikian itu, penderitaan dan keresahan jiwa akan terus memburu manusia yang tidak mahu menyerahkan (berdoa) segala masalah yang hidup yang dihadapinya kepada Allah. Sebagaimana yang diketahui, kehidupan di dunia ini memang penuh dengan ujian, dugaan dan cabaran.

Mengetahui dan menjaga adab berdoa juga ada kaitannya dengan cepat atau lambat sesuatu doa itu dimakbulkan oleh Tuhan. Adalah perlu bagi manusia menjaga adab-adab dalam berdoa agar doa yang dipohonkan cepat dimakbulkan oleh Allah. Memilih waktu yang baik untuk berdoa contohnya pada waktu Wukuf pada Hari Arafah dalam setahun dan pada hari Jumaat, Hari Arafah dan hari Jumaat adalah waktu berkumpul segala keinginan dan harapan dan turunnya hujan rahmat dari Allah. Di samping itu antara bulan-bulan hijrah, bulan Ramadan adalah bulan yang paling afdal berdoa iaitu pada waktu bersahur dan seper tiga malam. Inilah salah satu kemuliaan waktu, selain dari rahsia yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia.

Pada waktu tengah malam, orang yang ingat pada Allah akan bangun menghidupkan malam dengan Sembahyang Tahajud, Tasbih, Hajat, Witir, istighfar, membaca Al-Qur'an dan juga melakukan amalan-amalan baik yang lainnya. Itulah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat Baginda dan orang-orang yang soleh. Sekurang-kurangnya mereka akan bangun seketika untuk bersembahyang dua rakaat, beristighfar, berzikir dan mengadu serta menyerah diri kepada Allah. Allah Subhanahu Wata'ala telah menentukan bahawa waktu malam yang hening itu para malaikat turun ke bumi membawa rahmat-Nya dan Allah berjanji akan menyampaikan hajat orang-orang yang berdoa.
Berdoalah dalam keadaan merendah diri. Tetapi janganlah pula sampai memaksa-maksa dirinya dalam berdoa dengan bersajak-sajak. Sebaik-baiknya janganlah sampai melampaui doa-doa matsurah (doa-doa yang dihafal dari Rasulullah). Ini dikhuatiri ianya akan melampaui batas di dalam doanya. Lalu seseorang itu meminta apa-apa yang tidak patut. Perlu diingati bahawa bukan semua orang pandai menyusun doa kepada Allah. Hendaklah berdoa denga penuh perasaan rendah diri. Penuh dengan rasa kekhusyukan, penuh dengan harapan, kecendrungan dan juga penuh rasa takut kepada Allah. Berdoa dengan menetapkan hati dan menyakini bahawa doa tersebut akan diterima. Yakin dan berharap bahawa doanya itu akan dikabulkan oleh Allah.

Merendahkan diri dalam berdoa adalah sesuatu yang mutlak wajib. Manusia itu lemah. Sewajarnya kita menampakkan kelemahan di hadapan Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta. Doa hendaklah diiringi denga rasa takut dan bimbang tidak diterima dan rasa penuh diterima akan memberi nilaian yang tinggi dalam sesuatu doa.

Berdoa dengan mengucapkannya adab dan pengagungan yang lebih besar. Ketika seseorang menyampaikan permohonan dan permintaan kepada raja, sudah pasti tidak menyampaikannya dengan suara yang tinggi tetapi akan merendahkan suara. Sesungguhnya Allah mempunyai perumpamaan yang lebih tinggi. Jika Allah mendengar doa dengan suara yang lembut, maka tidak ada adab yang lebih tepat di hadapan-Nya selain dengan merendahkan suara ketika berdoa kepada Allah.

Berdoa hanya kepada Allah kerana hanya Allah semata-mata yang berhak disembah. Doa adalah termasuk ibadah yang perupakan kewujudan dari penyembahan dan permohonan kepada-Nya. Malahan inti pati ibadah itu sendiri adalah doa. Melalui doa bermakna kita merayu kepada Tuhan supaya Allah Subhanahu Wata'ala memberikan kepada kita amal kebajikan di dunia dan di akhirat. Kita yakin bahawa amal kebajikan yang banyak itulah yang akan memberatkan timbangan kita di akhirat kelak.

Amin Ya Rabbal'alamin.

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)