Tuesday, February 15, 2011

dibukakan bagimu pintu taat dengan rajin dan tekun untuk mendirikan dan menambah, mempertingkatkan setiap amalan kebajikan yang disukai oleh syarak.

Kadang-kadang(bukannya selalu atau bukan semestinya begitu),  dibukakan bagimu pintu taat dengan rajin dan tekun untuk mendirikan dan menambah, mempertingkatkan setiap amalan kebajikan yang disukai oleh syarak.
  • Rajin sembahyang dan puasa,
  • tekun dalam menuntut ilmu,
  • bersemangat dalam berwirid dan berzikir,
  • suka menganjurkan kebaikan untuk diri sendiri dan umum dan
  • sentiasa cenderung untuk melipatgandakan amal taat yang sedia ada.
Tetapi malangnya, ...... semua amal taat dan kebajikan yang dikerjakan itu tiada dibukakan bagimu pintu Qabul  yakni  tidak diterima oleh Allah.  Dengan kata lain amal taat yang mengunung tinggi banyak sekali pun yang kita kerjakan belum tentu dapat menjamin diterima oleh Allah Taala.  Bila sudah tidak diterima,  maka semakin menjauhlah hamba itu dengan Tuhan-Nya.
Banyaklah punca dan sebab-sebabnya yang menjadikan amal taat itu tidak diterima,  tetapi yang paling besarnya ialah wujudnya hama syirik dalam ibadat;  paling tidak,  ... menilik dan  memandang kepada keupayaan diri.  Orang yang bersyirik adalah mereka yang menduakan Allah.  Bila dua,  maka terlontar jauhlah diri daripada mencapai hakikat Keesaan atau Tauhid.
Apabila jalan taat dan kebaikan tidak dapat menghampirkan diri hamba dengan Tuhan-Nya,  sebagai satu Kurnia dari  Yang Bersifat Pengasih lagi Penyayang,  maka dihukum denganmu dosa  yakni maka Allah akan menjatuhkan dirimu kepada suatu dosa dan maksiat yang amat kau kesali.    Dalam baik-baik kita mengistiqamahkan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah,  maka tiba-tiba timbul satu musibah yang menyebabkan diri tersilap dan terjerumus ke dalam najis dosa dan maksiat.  Mungkin tanpa disedari kita telah mengkhianati saudara kita dengan terpaksa menipu atau menindas mereka demi untuk menjaga maruah dan harga diri kita atau keluarga.  Mungkin tanpa sengaja,  kita terambil hak orang lain yang lebih memerlukan demi untuk memelihara keperluan diri dan mungkin apa sahaja yang menjadikan diri kita bertindak tidak mengikut jalan yang diredhoi oleh Allah.  Bila disedari akan kesilapan dan kesalahan diri itu,  betapa hati(orang mukmin) akan menyesali,  menjadi berterbangan segala jantung   kerana takutkan pembalasan Allah.
Tersumbat hati dengan dirasai bahawa tidak satu makhluk pun yang dapat membersihkan najis yang  terpalit itu,  malah dirasakan tidak ada sesuatu yang dapat menolong dan membantunya melainkan Allah Taala Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengampuni.   Maka adalah dosa itu akan sebab sampaimu kepada-Nya  yakni dengan dosa dan penyesalan itu akan membukakan pintu kesedaran bahawa tidak ada sesuatu lagi melainkan Allah sahaja yang dapat membantunya.  Hati yang penuh kesedaran ini sahajalah yang akan sampai kepada Allah.
  • Tunduk dan merendahkan diri dengan penuh kehinaan dan kedhoifan.
  • Sedar betapa lekeh dirinya,
  • betapa hina dan jahat dirinya ,
  • betapa lemahnya diri dan  segala sesuatu yang lain,
  • betapa dhoif diri sendiri hingga tidak berupaya menguruskan kehidupan dengan baik,
yang menjadikan diri lemah longlai tersandar di dinding tanpa ada ruang lagi di sekeliling dengan memandang dan mengharapkan pertolongan belas ihsan dan kebaikan melainkan dari Allah semata-mata.  Keadaan inilah,   dengan hati yang merujuk terus kepada Wajah Allah tanpa sebarang tolehan kepada yang lain;  akan membawa seseorang berhadapan dengan Hadirat-Nya.  Hal ini tidak sebagaimana yang biasa terjadi kepada ahli taat yang memandang akan wujud upaya dirinya.
Inilah ciri-ciri seorang hamba yang  mukmin  kerana orang yang mukmin itu apabila jatuh daripada dosa,  maka jadilah ia menyesal  dan Ihtiqar dirinya.  Maka adalah demikian itu sebab dalam sampaimu.
Tegasnya sewaktu taat tidak dibukakan pintu kehampiran kerana punya hama syirik yang menilik upaya diri,  sebaliknya pintu kehampiran itu dibukakan buat yang berdosa tetapi menyesali dan menyedari lemah dirinya(dengan maksud tidak wujud sesuatu kuasa yang dapat menolong dirinya bagi mendapat sesuatu kebaikan melainkan dengan limpah kurnia dari Allah Taala)

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)