Friday, March 25, 2011

Barang siapa berfekah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat), maka ia jadi fasik. Barang siapa bertasawuf (hakikat) tanpa fekah (syariat), maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).

Pesanan Imam Malik Imam Malik r.h.m pernah berkata:“Barang siapa berfekah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat), maka ia jadi fasik. Barang siapa bertasawuf (hakikat) tanpa fekah (syariat), maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”

Bulan November tahun lalu kita dikejutkan dengan berita ajaran sesat yang menganjurkan solat Jumaat tanpa tauliah dan menghalalkan tulang babi kepada pengikutnya. Akibat ketandusan ilmu, ramai di kalangan umat Islam yang mencari-cari petunjuk dan kebenaran sering tersilap langkah dan cuba mengambil jalan mudah untuk mendapatkan takwa, untuk bertaubat dan membaiki diri serta cuba mendalami ilmu tasawuf iaitu ilmu mengenal diri tanpa memilih guru yang sesuai hingga terlepas pandang perkara-perkara asas yang melibatkan hal-hal aqidah dan syariat.

Kata-kata Imam Malik Rahimahullah yang merupakan guru kepada Imam Syafie itu amat sesuai kita jadikan panduan. Supaya lebih jelas lagi, eloklah dibuat beberapa contoh seperti berikut:BERFEKAH TANPA TASAWUFBerfeqah tanpa tasawuf bermakna seseorang itu hanya melakukan amalan-amalan lahir. Katalah semua rukun Islam yang lima itu beres dilakukannya. Ditambah lagi dengan berjuang fisabilillah, berdakwah, belajar, mengajar, menziarah, berkorban dan menutup aurat. Dijaga juga dari melakukan perkara-perkara lahir yang haram dan makruh. Ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat. Pendek kata, semua perintah atau larangan lahir ditaati, tetapi amalan batin yakni hatinya tidak diambil pusing.Dibiarkan saja riyak, ujub, gila nama, ingin glamor, sombong, tamak, bakhil, pemarah, dendam, dengki, cinta dunia dan lain-lain lagi sifat negatif mencorak sikapnya. Inilah dia orang syariat atau orang yang berfekah sahaja. Pada pandangan mata lahir dia seorang yang sangat baik, kerana hukum Islam yang lahir sangat dijaganya. Tetapi di sisi Allah, orang ini masih berdosa yakni derhaka pada Allah kerana dia tidak menjalankan syariat batin yang diperintahkan oleh Allah. Dibiarkan sahaja hatinya dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah.Seperti juga orang yang sembahyang tetapi tidak takut dengan Tuhan.

Kalau ada tasawuf, selepas sembahyang mesti risau, bimbang, takut tidak beradab dengan Tuhan dalam sembahyang. Takut sembahyangnya Tuhan tidak terima. Bila sembahyang atau membuat ibadat-ibadat yang lain, mesti bertambah rasa hamba. Inilah buah tasawuf. Ibadah walaupun tidak timbul riyak dan tidak ujub tetapi kalau tidak rasa takut dengan Tuhan, hakikatnya tertipu. Boleh beribadah tanpa riyak dan ujub baru sekadar selamat. Bila dapat rasa hamba dan rasa bertuhan, itu baru dikatakan darjat.Lihat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (Riwayat At Tabrani)

Maka orang yang melanggar syariat batin ini, Imam Malik menjatuhkan hukum fasik. Yakni orang berdosa, kalau mati tanpa taubat akan masuk Neraka tetapi tidak kekal di dalam . BERTASAWUF TANPA FEKAH.

Bertasawuf tanpa fekah bermakna seseorang yang menjaga hati sahaja, mengamal seluruh atau sebahagian dari syariat batin (amalan batin) tetapi menolak dan meninggalkan syariat lahir semua sekali. Dia sangat menjaga hati dari hasad, dendam, pemarah, jahat sangka di samping menyuburkan kasih sayang, simpati, tawakal, tawadhuk, sabar dan lain-lain sifat mahmudah tetapi tidak melaksanakan rukun Islam yang lima dan hal-hal berkaitan Islam yang lain. Dia memandang enteng soal halal dan haram, mengenepikan soal aqidah dan hukum hakam. Inilah orang yang berhakikat namanya dan menafikan syariat.

Pada Imam Malik dikatakan kafir zindiq iaitu kafir secara tidak sedar. Bila mati tanpa taubat, akan dimasukkan ke Neraka dan kekal di dalamnya. Wal’iyazubillah.Oleh sebab itu di dalam kehidupan harian kita sebagai umat Islam, kita perlu merujuk setiap satu perkara kepada Al-Quran dan Sunnah serta Jumhur Ulama agar kita tidak kesesatan. Setiap amalan dalam islam itu perlukan gabungan 3 elemen tauhid, fekah dan tasawuf agar berlaku check and balance dan terbentuklah kesyumulan dan keindahan Islam. Dengan sebab itu tidak berlakulah orang yang sembahyang tetapi membuat perkara mungkar, orang yang bersedekah tetapi sombong dan riak, orang yang pergi berdakwah dan membuat kebajikan tetapi mengharapkan liputan akhbar, pujian dan sanjungan orang. Begitu juga tidak akan berlaku orang yang berserban tapi menghisap rokok dan berseluar pendek, orang yang solat sunat dan beriktikaf di masjid sepanjang masa tetapi meninggalkan anak isteri tanpa diberi sebarang nafkah dan keperluan, orang yang ingin berpakaian sunnah tetapi tidak menjaga penampilan dan kebersihan, ataupun yang ingin beramal ibadah tetapi di dalam majlis itu berlaku percampuran lelaki dan wanita yang jelas bertentangan dengan syarak, apatah lagi kalau menjadikan wanita sebagai pemimpin ataupun imam di dalam solat!

Hal-hal sedemikian sudahpun dinyatakan dengan jelas di dalam Al-Quran dan Sunnah maka sewajarnyalah kita berpegang kepada pesanan Nabi SAW agar berpegang teguh kepada keduanya di akhir zaman ini agar kita tidak kesesatan.

Sungguh menyedihkan bilamana di dalam masyarakat hari ini banyak kita temui orang-orang yang memisahkan ajaran Islam dan beramal dengan salah satu darinya. Ada yang bersyariat sahaja. Ada yang berhakikat sahaja. Bahkan ada yang meninggalkan kedua-duanya sekali. Hal ini sebenarnya menyimpang dari ajaran Islam. Islam yang sebenarnya bukan begitu. Ia mesti diamalkan serentak antara fekah dan tasawuf, antara syariat dan hakikat.Bila diamalkan, dia akan memperolehi hasilnya iaitu makrifatullah. Seperti sebiji buah, ada kulit, ada isi dan ada rasa. Mana boleh kita pisahkan-pisahkan antara ketiga-tiganya. Semuanya mesti bagus, barulah kita mengatakan buah itu bagus. Kalau kulit saja busuk, tentu sudah ditolak orang kerana dikatakan buah itu tidak bagus. Tidak akan ada kita lihat orang yang memakan buah yang sudah rosak dan busuk kulitnya. dan tidak mungkin juga ada orang yang akan bercakap atau mempertahankan sambil berkata, hanya kulitnya sahaja yang busuk, akan tetapi dalamnya masih segar dan enak dimakan..!

Kesimpulannya, Islam seseorang itu hanya akan sempurna kalau orang itu mengamalkan syariat, tarekat dan hakikat secara serentak. Maka layaklah ia digelar taslim, yakni tunduk lahir dan batin. Siapa yang tidak sedemikian halnya maka Allah menempelak dengan firman-Nya yang bermaksud:“Mereka bercakap dengan mulut mereka tetapi tidak seperti apa yang ada di dalam hati-hati mereka.” (Ali Imran: 167)

Ciri-ciri ini menyamai sifat orang munafik, yang lahirnya lain, dalam hati pula lain. Moga-moga kita diberi hidayah dan taufik dari Allah SWT. Amin. Selamat beramal..!

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)