Sunday, April 3, 2011

KALAM
            Adapun sifat wajib bagi ALLah Taala yang ke tiga belas iaitu Kalam. Kalam ertinya berkata-kata. Kalam adalah sifat yang berdiri di atas zat yang diiktibarkan bahawa ia tidak boleh ujud dengan sendirinya melainkan bergantung kepada ujud zat.

            Sifat Kalam adalah sifat yang ujudiah yang berdiri dengan zat tanpa wasilah suara, alat seperti mulut dan lidah, dan tanpa bantuan sesuatu jua pun. Berkalam ALLah Taala itu dengan zatNya semata-mata.

            Adapun sifat Kalam ALLah Taala itu iaitu sifat menunjuki iaitu perintah dan tegah. Takluk perintah itu iaitu menyuruh kepada kebaikan seperti amal dan taat. Contohnya perintah solat, puasa, berbuat baik sesame makhluk dan lain-lain. Dan takluk tegah itu seperti melarang kepada berbuat kejahatan dan keengkaran kepada perintah. Contohnya pula seperti jangan berzina, jangan syirikkan ALLah, jangan membunuh dan lain-lain.

            Dan takluk sifat Kalam ini kepada yang wajib, yang mustahil dan juga kepada yang harus. Adapun takluk kepada yang wajib itu seperti Firman ALLah Taala bermaksud “Akulah ALLah, tiada Tuhan melainkan aku”. Ertinya ALLah Taala berkata bahawa Dialah Tuhan yang tiada sekutu bagiNya. Dan takluk kepada yang mustahil itu pula seperti FirmanNya bermaksud “Telah berkata Yahudi: ALLah Taala itu fakir (miskin) dan kami yang kaya”. Ertinya ALLah Taala menghikayatkan perkataan orang Yahudi. Dan takluk kepada yang harus pula seperti FirmanNya bermaksud “Dan ALLah menjadikan kamu dan segala apa yang kamu lakukan” ertinya ALLah menyatakan bahawa segala yang harus dari alam adalah ciptaanNya jua.

            Dan takluk Kalam ini kepada patut pada azali. Ertinya ALLah Taala boleh berKalam ALLah Taala kepada sesuatu yang sepatutnya akan dicipta melalui IlmuNya. Dan takluk kepada Ketentuan pada azali yakni boleh berkalam ALLah Taala kepada sesuatu yang sudah ditentukan untuk dicipta. Dan takluk kepada setelah dicipta yakni seperti mewahyukan al-Quran kepada Nabi dan Rasul-Rasull.

Kalam nafsi dan Kalam lafdzi
            Untuk memahami sifat Kalam ini, sangatlah penting untuk difahami apakah maksud kalam nafsi dan kalam lafdzi. Kerana dua istilah telah menimbulkan fitnah dan mehnah yang cukup dahsyat dalam sejarah Islam. Imam Ahmad bin Hanbal telah menjadi mangsa kerana salah faham tentang apakah hakikat al-Quran itu makhluk atau Qadim.

            Adapun Kalam Nafsi ini ialah Kalam yang tidak berhuruf dan tidak bersuara yang berdiri pada zat ALLah Taala. Ia Qadim sebagaimana Qadimnya zat itu. Jika Kalam nafsi ini tidak berhuruf dan tidak bersuara, bagaimanakah pula ia dikatakan sebagai Kalam? Bukankah Kalam itu adalah berkata-kata? Inilah yang sangat tidak difahami oleh kebanyakan orang kerana mereka tidak mahir mengambil ibarat dalam memahami Tauhid. Kalam Nafsi ini diibaratkan sebagai sesuatu yang difikirkan mahu dicakap oleh kita manusia. Sebelum kita bercakap tentunya kita akan memikirkan dan menentukan di dalam kotak fikiran apakah perkaranya yang mahu dicakapkan itu. Ketika ini perkara itu masih dalam pemikiran dan penentuan kita, dan belum jadi perkataan. Ertinya sesuatu itu masih dalam maksud yang umum yang masih dalam pengetahuan kita. Inilah maksud Kalam Nafsi. 

            Kemudian Kalam Nafsi pada zat ALLah Taala itu diciptakan oleh ALLah Taala sebagai huruf. Di dalam huruf-huruf Kalam itulah terkandung segala maksud dan makna ilmu ALLah Taala yang tidak terhingga dalamnya, yang tidak terjangkau oleh akal.  Dan diciptakan pula suatu yang dinamakan Luh Mahfudz yang bererti papan yang terpelihara. Firman ALLah Taala bermaksud “Bahkan ia adalah Quran yang mulia pada papan yang terjaga”. Dan kemudian  ALLah Taala menghantarkan huruf-huruf Kalam itu ke Luh Mahfudz itu untuk disimpan. Dari Luh Mahfudz itu pula ALLah Taala memerintahkan Malaikat Israfil mengambil maksud-maksud Kalam itu ke Baitul Izzah yakni suatu tempat yang dinamakan rumah yang mulia. Firman ALLah Taala bermaksud “Sesungguhnya Kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang berkah”. Dan satu Malaikat yang dinamakan Saprah menjadikan huruf dan  maksud itu sebagai kalimah untuk diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahua alaihi wasallam dengan perantaraan Jibril secara beransur-ansur. Firman ALLah Taala bermaksud “Sesungguhnya telah Kami turunkan Quran itu pada malam Qadr”.

            Kalam Lafdzi adalah Kalam yang telah dijadikan kalimah dan diturunkan kepada Nabi-Nabi itu bermula dari Malaikat Saprah menjadikan huruf dan maksud Kalam Lafdzi itu menjadi kalimah atau ayat. Itulah yang dinamakan kitab samada al-Quran, Injil, Taurat dan Zabur. Ia hanyalah lafadz pada lughah bahasa manusia. Ertinya Kalam Nafsi lughah Arab ialah al-Quran, Kalam nafsi lughahnya Ibrani dinamakan Taurat, lughah Qibti dinamakan Zabur dan lugahah Suryani dinamakan Injil. Semuanya itu pada istilah bagi menghuraikan maksud Kalam Nafsi pada zat ALLah Taala jua. Inilah ibarat untuk menghampirkan kefahaman kita manusia tentang hakikat sifat Kalam ALLah Taala. Sesungguhnya ia semata-mata tamthil dan Maha Suci ALLah Taala dari dibandingkan dengan makhluk.

Penjelasan hukum Kalam Nafsi dan Lafdzi, dengan musyhaf
            Adapun sepakat Ahlussunnah Waljaama’ah mengatakan al-Quran adalah Qadim. Haram mengatakan al-Quran itu baharu kerana ditakuti memberi waham baharu sifat ALLah Taala yang berdiri pada zat itu.

            Mengapakah dikatakan al-Quran itu Qadim? Mungkin akan ada bantahan mengatakan ia baharu kerana lafadznya sudah menjadi lafdzi, sedangkan dikatakan bahawa yang Qadim ialah Kalam Nafsi yang Qadim sebagaimana Qadimnya zat. Maka hendaklah difahami dan diteliti hubungan Kalam lafdzi dan Kalam nafsi seperti aygn telah dijelaskan dengan contoh di atas. Keqadiman Kalam ini adalah dilihat kepada hakikatnya. Hakikat Kalam nafsi pada zat ALLah Taala dan lafdzi al-quran adalah sama. Ertinya nafsi pada zat adalah untuk hakikat sebelum di ujudkan lafdzi al-Quran. Contoh mudah ialah sebelum ALLah menyatakan diriNya ALLah secara lafdzi al-Quran, hakikatnya sudah ada pada zatNya iaitu nafsi. Maka lafdzi itu adalah pernyataan atau pentajalian nafsi itu. Tamthil mudah ialah umpama orang yang menyurat di atas kertas, lafdzinya di atas kertas dari asalnya nafsi di dalam pemikirannya. Maka atas hakikat ini, hukum al-Quran itu Qadim yakni lafdzinya itu.

            Namun jangan silap mengatakan musyhaf itu juga Qadim. Tidak, musyhaf tidak Qadim kerana musyhaf adalah sebuah kitab yang terdiri dari kertas yang dijilidkan. Musyhaf ini tidak termasuk dalam pembicaraan hakikat Kalam. Ia hanya tempat menyurat Kalam lafdzi sahaja. Dan tidak sekali-kali masuk Kalam nafsi itu ke dalam musyhaf dan tidak akan bercerai sekali-kali dengan zat ALLah Taala. Kalam lafdzi itu semata-mata majaz Kalam nafsi. Dan perbezaan lafadz itu menunjukkan hakikat yang satu juga, umpama ibu dalam bahawa melayu, mother dalam bahasa Inggeris, ummi dalam bahasa Arab dan sebagainya. Ia menunjukkan satu peribadi wanita yang melahirkan anak.
            Dan lagi tidaklah orang yang membaca al-Quran itu dikatakan berKalam dengan Kalam ALLah. Contohnya jika seseorang memaca ayat “Akulah ALLah, sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Aku” tidaklah hukumnya dia berKalam dengan KAlam ALLah Taala yang nafsi. Dan tidaklah bercerai Kalam nafsi ALLah Taala dan berpindah kepada orang yang membaca itu.

            Dan orang yang berkata al-Quran itu makhluk adalah fasik tetapi tidak kafir.

Tribulasi Imam Ahmad Ibn Hanbal
            Kaum yang mengatakan dan berikitqad al-Quran adalah makhluk ialah kaum Mu’tazilah. Mereka berhujah apabila nafsi telah menajdi lafdzi maka ia telah baharu. Ia bertentangan dengan hujah Ahlussunnah Waljaama’ah. Pemuka ulamanya ialah Ahmad bin Abi Daud, berdalilkan Firman ALLah Taala bermaksud “Bahawa Kami jadikan al-Quran itu dalam bahasa Arab”, maka apabila telah menjadi bahasa manusia ia baharu.

            Khalifah al-Ma’mun ketika itu menjadikan Mu’tazilah sebagai mazhab resmi. Dan ia memaksakan rakyat menganuti iktiqad al-Quran adalah makhluk. Namun Imam Ahmad ibn Hanbal, Imam Ahmad bin Nadzir dan seorang lagi menentang dan menyeru rakyat menolak iktiqad sesat itu.

            Mati al-Ma’mun dan diganti oleh saudaranya al-Mu’tasim. Diriwayatkan Imam Ahmad dipukul sebanyak lima belas kali dan dikatakan satu pukulan boleh membunuh seekor unta. Namun karomah aulia’ ALLah menjadi penahan kematian Imam Ahmad. Apabila dipukul putus tali seluarnya dan memandang ia ke langit sambil terketar menahan kesakitan hingga tidak sempurna tasbihnya. Apabila penentangan rakyat mula memuncak, khalifah membebaskannya.

             Mati al-Mu’tasim diganti al-Wathik. Imam Ahmad bin Nadhir mati dipancung dan kepalanya digantung untuk tuntunan umum. Namun pada maalmnya didengar orang kepala itu bertahlil Laa iLaaha ILLaLLah. Seorang lagi ulama rakan mereka menyerah kerana tidak tahan siksaan.

            Mati al-Wathik diganti oleh al-Mutawakkil. Dengan nasihat seorang ulama Abdul Aziz bin Yahya, al-Mutawakkil insaf. Dicelanya kelakuan saudara-saudaranya yang zalim dahulu itu. Dibebaskannya Imam Ahmad dan dimuliakannya dan diberinya hadiah, namun Imam Ahmad tidak menerimanya.


Pertunjuk Imam Syafi’e
            Imam Syafi’e pernah bermimpi bertemu RasuluLLah Sallahu alaihi wasallam. RasuluLLah telah menyatakan akan berlaku fitnah hebat al-Quran makhluk dan ia melibatkan Imam Ahmad bin Hanbal. Maka hendaklah ia jangan tunduk dengan fitnah itu. Mimpi ini diberitahu oleh Imam Syafi’e kepada Imam Ahmad bin Hanbal melalui surat. Maka tidak hairanlah Imam Ahmad mempertahankan iktiqad al-Quran itu Qadim bukan makhluk walaupun nyawanya hampir melayang. Maka berkata ulama muhaqqiqin bahawa imam Ahmad dikurniakan ALLah maqam yang tinggi di sisi ALLah Taala seumpama maqam Nabi-Nabi. kerana itu Imam Syafi’e mengambil dan menyimpan baju yang koyak-koyak akibat sebatan di tubuh Imam Ahmad, dibasahkan dengan air dan diminumnya, dan apabila sakit sahabatnya diminumkan dengan air rendaman baju itu. Maka sembuh sakitnya dengan izin ALLah Taala.

            Berkata sufi Basyir al-Khafi: “Tiada lelaki yang terlebih teguh memegang perkataannya (iktiqad) dalam fitnah al-Quran makhluk melainkan Ahamd bin Hanbal. Maka diberikannya maqam anbia’ ”.
            Seorang telah berjumpa Imam Ahmad bin Hanbal di dalam mimpinya lalu ditanya apakah yang diperbuat ALLah Taala kepada Imam Ahmad. Jawab Imam Ahmad, “diampunkan ALLah bagiku dan diizinkan ALLah dapat aku melihat zat ALLah itu”.

Dalil sifat Kalam bagi ALLah Taala
            Adapun dalil naqli bersifat ALLah Taala dengan sifat Kalam iaitu FirmanNya bermaksud “Telah berkata-kata ALLah Taala dengan Musa dengan perkataan yang sempurna”.
            Adapun dalil akli, jika tidak berkata-kata ALLah Taala maka jadilah Dia bisu. Bisu adalah sifat kekurangan dan sifat makhluk. Maka mustahil Tuhan bisu. Jika Tuhan bisu maka Dia tidak layak diangkat menjadi Tuhan.

 


No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)