Allah S.W.T. Tuhan pencipta alam seluruhnya dan pencipta manusia khasnya. Manusia tidaklah seperti keadaan kayu dan batu, dan tidaklah seperti keadaan haiwan-haiwan yang lain, tetapi manusia adalah sejenis makhluk yang kejadiannya tersusun dari jasmani dan rohani, serta berkeadaan dengan sifat-sifat istimewa berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Oleh itu maka tak patut manusia hanya tinggal manusia, tidak lebih dari itu, bahkan wajiblah ada perhubungannya dengan Allah penciptanya; maka jalan perhubungan seseorang dengan Allah itu tidak lain melainkan Al-Qur'an al-Karim. Di dalam Al-Qur'an ada keterangan-keterangan, ada tunjuk ajar untuk seseorang mencapai keselamatan; ada yang berupa suruhan, ada yang berupa larangan, sama ada dalam bahagian ibadat, mahu pun dalam bahagian bidang-bidang kehidupan, yang wajib dipatuhi, di mana seseorang itu berada dan dalam zaman mana ia hidup, hingga hari kiamat.
ltulah sebabnya Al-Qur'an itu disifatkan dengan "Tali Allah" yang teguh kukuh, sesiapa yang berpegang dengannya selamatlah dia, dan sesiapa yang mencuaikannya binasalah dia.
Firman Allah Taala, maksudnya: "Dan hendaklah kamu sekalian berpegang teguh kepada kitab Allah Al-Qur'an .. (103, Ali-Imran).
".. Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya ..." (7, Al-Hasyr).
tidak dapat disaksikan oleh orang-orang kemudian, kecuali satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat, yang lebih berguna dari harta benda, bukan sahaja untuk waris-warisnya bahkan untuk umat manusia seluruhnya dalam segala tempat dan segala zaman.
Peninggalannya itu ialah "Kitab Allah Al-Qur'an" yang diwahyukan kepadanya dan "Sunnah"nya yang meliputi, perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya).
Kedua - Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia:
Jaminan keselamatan yang diberi melalui "Kitab Allah" dan "Sunnah RasulNya itu ialah dengan jalan tiap-tiap seorang mengamalkan sendiri segala ajaran keduanya, menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya; bukan dengan jalan menyimpan keduanya di rumah untuk diambil berkat sahaja, bukan dengan jalan dibaca dengan tujuan yang lain daripada mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla dan bukan pula dengan cara menumpang amalan orang lain, walau pun di antara anak dengan ayah, atau di antara isteri dengan suami; tidaklah seperti keadaan keselamatan dalam alam nyata ini, yang biasanya seseorang yang lebih kuasanya boleh memberi perlindungan selamat kepada orang lain yang ia kehendaki.
Usaha untuk mencapai keselamatan yang sejati ialah berpegang teguh kepada ajaran-ajaran kitab Allah dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w.
Dari Al-'Irbaadh bin Sariyah, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah menasihati dan mengingati kami, pada suatu hari lepas sembahyang Subuh, dengan satu nasihat dan peringatan yang sangat-sangat mendalam dan berkesan, yang menjadikan (Pendengar-pendengarnya) menitiskan air mata dan menjadikan hati (mereka) gerun gementar. Lalu berkatalah salah seorang lelaki (di antara kami): "Sesungguhnya nasihat ini nasihat orang yang memberi selamat tinggal, maka apakah pesanan yang tuan hendak pesankan kepada kami Ya Rasulullah? " Baginda menjawab: "Aku berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah, dan mendengar serta taat kepada (pemerintah kamu) sekalipun ia seorang hamba bangsa Habsyi, kerana sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup (selepas ku) akan melihat perselisihan yang banyak dan (dengan yang demikian) berjaga-jagalah kamu, jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya perkara-perkara itu adalah sesat; oleh itu sesiapa di antara kamu yang berada dalam zaman berlakunya yang demikian, maka hendaklah ia menurut jalanku dan jalan khalifah-khalifah (ku) yang mendapat pimpinan lagi beroleh hidayat pertunjuk; berpegang teguhlah kamu kepadanya dengan seteguh-teguhnya."
Menurut hadis Abu Daud, (Baginda bersabda): "Dan berjaga-jagalah kamu! Jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya tiap-tiap perkara yang diada-adakan) itu bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat. " (H.R At Tarmizi)
wassalam
No comments:
Post a Comment