Thursday, May 19, 2011

Pemanasan Global Meningkatkan Air Laut, 7 Bandar Bakal Tenggelam

 










    
Kajian tempatan dan antarabangsa mengesahkan air laut semakin meningkat akibat pemanasan global, sekali gus mencetuskan gesaan masyarakat antarabangsa supaya isu berkenaan diberi perhatian serius oleh semua negara.

Menurut Laporan Penilaian Perubahan Iklim Keempat oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang dikeluarkan pada 2007, ada bukti kukuh paras air laut dunia meningkat beransur-ansur dalam abad ke-20, dan dijangka semakin serius pada abad ini akibat dua punca utama, iaitu pengembangan air laut daripada faktor haba serta kecairan bungkah ais.

Kajian oleh Ketua Program Geoinformasi, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Khali Aziz Hamzah bersama Hamdan Omar, bertajuk ‘Vulnerability Assestment of Coastal Zones Using Geospatial Technologies’ yang diperoleh dari internet, turut memetik laporan IPCC 2001 yang menjangkakan peningkatan tambahan 48 sentimeter (sm) air laut, menjelang 2100, iaitu dua kali ganda kadar peningkatan untuk abad ke-20.

Menurut kajian itu, peningkatan paras air laut mengakibatkan masalah banjir dan hakisan, di mana kenaikan satu sentimeter boleh menghakis pantai kira-kira satu meter secara mendatar.

Kajian itu turut memetik sumber Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2008 yang menyatakan 40 meter tanah di sebanyak 33 lokasi sepanjang pantai Malaysia hilang setiap tahun, yang berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk peningkatan air laut serta hakisan.

Khali Aziz ketika diminta mengulas mengenainya, berkata isu berkenaan harus diberi tumpuan serius semua agensi berkaitan bagi memastikan persediaan sewajarnya dari peringkat awal.

Hasil pelbagai kajian itu selari dengan penemuan pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), bahawa beberapa bandar di kawasan rendah di negara ini, terutama berhampiran pantai, mungkin ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena paras air laut meningkat, akibat pemanasan global.

Akhbar ini semalam melaporkan jika fenomena itu berterusan secara konsisten dan tiada langkah pencegahan dirangka dari awal, antara kawasan berisiko tinggi ditenggelami pada 2020 ialah Batu Pahat, Melaka, Pulau Pinang, Miri, Klang, Selangor dan Pekan.

Penemuan pakar UTHM itu adalah berdasarkan hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004 sehingga awal tahun ini yang menunjukkan paras air laut negara meningkat secara purata 10 sm setiap tahun.

Laporan Iklim Dunia, iaitu blog mengenai perubahan iklim mendedahkan pada 2007 purata peningkatan air laut global berlaku pada kadar 1.8 milimeter (mm) setahun antara 1961 hingga 2003. Bagaimanapun, kadar peningkatan itu bertambah pantas kepada 3.1 mm sepanjang 1993 hingga 2003.

Bagaimanapun, Khali berkata, kajian lanjut yang lebih terperinci penting dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengesahkan kemungkinan berlaku ancaman berkenaan dengan mengambil kira pelbagai faktor secara kolektif.

Beliau berkata, persediaan awal amat penting bagi menangani kemungkinan itu berlaku kerana sebarang tindakan perlu mengambil kira langkah jangka panjang dan tidak boleh dilakukan pada saat akhir.

Antara cadangan beliau ialah memastikan pemuliharaan hutan bakau yang mampu menghalang hakisan tanah di pantai serta mengawal pembangunan di kawasan tepi pantai.

Sementara itu, perunding alam sekitar, Brent Hoare yang juga Pengarah Eksekutif Green Cooling Association yang berpangkalan di Australia, mengakui fenomena peningkatan paras air laut kini menjadi kebimbangan global, termasuk dakwaan ia bakal menenggelamkan kawasan di negara tertentu.

“Kejadian alam boleh berlaku di luar jangkaan. Justeru, amat penting membuat persediaan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana hasil daripada tindakan yang diambil hanya boleh diketahui dalam jangka masa panjang. Ini tanggungjawab kita demi generasi akan datang,” katanya. -BH

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)