Tujuan Allah SWT menjadikan kita semua berbeza-beza ialah supaya kita dapat kenal-mengenali, belajar-mempelajari daripada satu sama lain. Sudah menjadi ketetapan Allah SWT bahawa setiap apa yang dibuat oleh Allah SWT, sama ada yang zahir atau yang tersembunyi kepada kita, menjadi tanda kepada sekelian orang-orang yang berakal.
Makna orang yang berakal ialah orang yang senantiasa mengingati Allah SWT daripada selainnya, dengan apa juga cara sekalipun. Maha suci Allah daripada bermaksud bahawa orang yang beraqal itu mereka yang lalai atau leka atau lupa kepadaNya. Mereka itu digambarkan sebagai ilmuwan yang senantiasa melihat, mengkaji dan memikirkan kebaikan daripada penciptaan Allah SWT sehingga tidak tergambar kepada mereka adanya sesuatu yang berlaku itu secara sia-sia melainkan kesemuanya ada hikmah dan pengajaran sama ada zahir atau tersembunyi kepada mereka.
Mereka senantiasa takut kepada Allah dengan makna ihsan yang sebenar. Senantiasa berdoa dan berdoa dan berdoa secara berterusan kerana sedar dan maklum bahawa pemberi itu ialah Allah dan usaha mereka hanya sebagai ikhtiar dalam menjalani hidup yang sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT. Di antara doa-doa itu ialah doa mereka untuk diri mereka dan sekelian orang-orang yang beriman. Bahkan mereka itu takut sekiranya ada dalam mereka itu sebarang rasa tidak baik terhadap saudara mereka dan memohon perlindungan Allah SWT daripadanya.
No comments:
Post a Comment