Saturday, December 3, 2011

Al Quran adalah penawar duka


MUSIBAH kematian orang tersayang atau kehilangan harta benda, kemusnahan tempat tinggal adalah ujian yang terpaksa dilalui oleh seluruh umat manusia. Di sebalik kesedihan dan kedukaan itu hadir perkhabaran gembira kepada mereka yang menghadapinya.

Allah yang Maha Kuasa memberi isyarat bahawa perkhabaran gembira di sebalik kesedihan itu. Allah menurunkan ujian kepada umat manusia untuk menunjukkan bahawa Allah Maha Kuasa untuk mengaturkan segala perkara berkaitan perjalanan alam.

Firman Allah bermaksud: “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun). Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.” (At-Takwir: 29).

Ujian juga simbolik sebagai perbandingan antara orang yang taat dan ingkar. Ini juga untuk melihat sejauh mana kesabaran dan ketaatan hamba-Nya menerima ujian itu.

Seterusnya, ujian itu membentuk keperibadian dan mengangkat martabat serta menghapuskan dosa yang dilakukan. Ujian yang diterima juga adalah medan memperkasakan kesabaran dan membiasakan diri serta menetapkan pendiriannya untuk meneruskan kehidupan.

Kehidupan yang dipayungi ujian perlu diiringi dengan sabar dan tabah kerana ini adalah tahap iman paling tinggi di sisi Allah.

Dua peristiwa terpenting dalam sejarah Islam yang mengharu dan menggoncang iman serta kesabaran boleh dijadikan landasan sebagai panduan mendidik jiwa menerima qada dan qadar Allah.

Peristiwa itu dihadapi Rasulullah saw iaitu kematian Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib Bin Abdul Mutalib.
Peristiwa itu dicatatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun duka cita atau kesedihan bagi Rasulullah. Abu Talib ialah bapa saudara Baginda yang memeliharanya sejak kecil. Beliau memimpinnya pada masa remaja dan selepas Baginda dewasa. Ketika Nabi diangkat menjadi utusan Allah, Baginda dicemuh dengan pelbagai bentuk tindakan. Abu Talib walaupun tidak menerima dakwah Baginda dan tidak memeluk agama Islam, beliau yang melindungi Baginda daripada perbuatan jahat orang Quraisy.

Selepas kematian Abu Talib, Nabi menerima tamparan  hebat dengan kematian isteri Baginda, Khadijah. Beliau adalah wanita yang sentiasa bersama Rasulullah ketika senang atau susah. Khadijah juga penghibur pada saat Baginda gelisah. Isteri yang taat, patuh dan berbudi mulia.

Selepas kematian Khadijah, Rasulullah berasakan kehilangan yang besar. Kesepian dirasai Baginda dengan hilang kegembiraan pada wajahnya untuk berdakwah. Pada saat itulah penderitaan yang teramat sangat menyelubungi Baginda. Kaum Quraisy turut menggandakan tentangan terhadap Baginda selepas kematian dua pembela dan pelindung Rasulullah ketika ditimpa kesusahan.

Anaknya, Saidatina Fatimah melihat keadaan itu dengan penuh kesedihan. Lantaran itu, beliau menangis dihadapan Rasulullah. Baginda memujuknya dengan berkata: “Janganlah menangis wahai anak kesayanganku, Allah melindungi ayahmu daripada kejahatan manusia.”

Namun Allah mengurniakan ketabahan dan kesabaran pada jiwa Rasulullah dan Baginda kembali tenang untuk meneruskan perjuangan menyampaikan risalah Allah.

Peristiwa kewafatan Nabi juga lembaran penting dalam sejarah Islam yang turut menggoncang iman dan kesabaran umat Islam seluruhnya. Pada saat kota Madinah diselubungi kesedihan, sebilangan sahabat tidak menerima hakikat itu.

Antaranya ialah Saidina Umar Al-Khattab. Umar menghunuskan pedangnya dan menggertak akan membunuh sesiapa yang mengatakan Baginda sudah wafat. Umar seolah-olah kebingungan tidak mahu membenarkan berita kewafatan itu.

Abu Bakar As-Siddiq mententeramkan Umar. Beliau walaupun dalam kesedihan, menenangkan sahabatnya dengan berkata: “Wahai manusia! Sesiapa menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad sudah wafat. Namun, sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah tidak mati.”

Kewafatan Rasulullah adalah ujian yang maha hebat kepada umat Islam untuk menerimanya dan memberi kesan besar kepada iman seseorang. Hal ini berlaku kepada sanak saudara, sahabat handai, jiran dan rakan taulan, khususnya seluruh umat Islam. Justeru, Islam sentiasa menyarankan umatnya mengharungi kehidupan yang dilanda musibah dan malapetaka dengan penuh kesabaran dan kecekalan hati.

Bagi mengubat kedukaan dan kesedihan akibat ditimpa musibah, Islam menawarkan penawarnya. Firman Allah bermaksud:
“Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (al-Baqarah: 156 – 157).

Kalimah (istirja) iaitu Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji’un adalah penawar paling mujarab dan berguna bagi orang yang ditimpa musibah. Sesiapa yang mendengarnya serta menghayatinya pasti akan terhibur dan lapang dada menerima ujian itu dengan penuh redho.

Ujian pasti menimpa mereka yang beriman dan member nilai paling berharga kepada keimanan seseorang. Dalam melayari kehidupan yang ditakdirkan oleh Yang Maha Esa, usaha, doa dan tawakal perlu beriringan.
Di samping itu, Islam meletakkan asas penting bagi umatnya agar sentiasa mendampingi al-Quran dalam kehidupan.

Bagi merawat diri daripada musibah, Islam menyediakan penawar antaranya:
# Menghayati kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya dengan melihat perjalanan alam dan fenomena yang berlaku.
# Sentiasa memperhatikan al-Quran dan sunnah dengan mengamalkannya dalam kehidupan.
# Mencontohi Rasulullah saw ketika menghadapi ujian ketika menyebarkan seruan dakwah.
# Melihat sesuatu perkara dan kejadian yang berlaku dengan mata hati dan berlapang dada.
# Sentiasa memohon kepada Allah dan bertawakal kepada-Nya.
# Mengingati musibah yang berlaku dan mengulangi istirja.
# Nikmat dunia yang diperoleh wajar disyukuri dan berserah diri kepada Allah dengan pengharapan rahim-Nya di akhirat.
# Menguatkan keyakinan diri dengan ketabahan dan kesabaran.
# Dunia adalah tempat cubaan dan ujian yang wajib disedari dengan sepenuh hati.
# Mohon perlindungan Allah daripada sebarang godaan syaitan.
# Menginsafi diri dengan musibah yang berlaku dan menyingkap hikmah di sebaliknya.
# Mendampingi diri dengan ajaran agama yang sebenarnya.
# Mengingati Allah sepanjang masa dan ketika.
# Sikap keluh kesah tidak akan membantu memulihkan diri daripada trauma yang dialami.
# Allah akan sentiasa bersama orang yang sabar menghadapi ujian-Nya dan sekali-kali tidak akan mengecewakan hamba-Nya.

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)