KITA
sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadan yang dirindui oleh
para kekasih Allah SWT. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir
Ramadan yang menandakan Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam
beberapa hari yang pendek.
Hari-hari
ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan
ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka
seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada.
Begitu
banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat ilahi. Masih
banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya.
Di
suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek
kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang
tiba.
Pelbagai
persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak
urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadan dan Aidil Fitri yang belum
selesai.
Jika
tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadan ini mudah pudar dan
tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadan
inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita
lalui ini.
Keutamaan
lailatul qadar
Keutamaan
utama hari-hari terakhir Ramadan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan
keutamaan lailatul qadar.
Satu
malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu
agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang
khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr.
Bagi
mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian
dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah SWT yang
‘haram’ dilepaskan.
Sangat
malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada
Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan
baik.
Benarlah
pesan Rasulullah SAW bahawa, “Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam
itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan. (daripada mendapat segala
kebaikan)”.
Memang
lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama
meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada
umat Nabi Muhammad SAW kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh
lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.
Dengan
beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah
umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang.
Harus
diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama lailatul qadar
bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam
tersebut.
Dalam
mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada
rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut.
Oleh
itu memburu lailatul qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu
bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita
bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat
Allah SWT kepada kita.
Mendapatkan
lailatul qadar
Sesuai
sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah
sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha.
Walaupun
kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan
para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar,
masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.
Akhirnya,
bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah
bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang
terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan
paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan.
Juga
harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar
juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya.
Sesuai
sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu
sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan
Ramadan.
Bulan
Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan
adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.
Walaupun
sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan
menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa
untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya
terlalu sukar.
Imam
Malik dalam kitabnya al-Muwatto’ misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul
Musayyib bahawa, “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul
qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian
daripadanya (lailatul qadar)”.
Pandangan-pandangan
yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga
solat-solat fardu pada malam tersebut.
Jika
pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya
terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha
Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta
untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan.
Semoga
Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong
dalam golongan yang lalai.
Zikir
dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek
mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di
hari-hari ini, Allahumma innaka ‘Afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘nniy yang
maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan
maka ampunilah aku”.
Walaupun
pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka
di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak
menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam.
Mereka
yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah
dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh
meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk
mendapatkan dan menghayati lailatul qadar.
Menghantar
Pulang Tetamu Agung
Ramadan,
tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi
meninggalkan kita sedikit masa lagi.
Mereka
yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadan dengan
menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah
tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur
kebimbangan dan pengharapan.
Sedih
mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan
diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa
diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan
Ramadan yang akan datang.
Inilah
sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada
Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan. Setelah itu
mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah SWT menerima amalan
mereka di bulan Ramadan yang berlalu.
Semoga
Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka.
Marilah kita menghantar pulang Ramadan kali ini hingga ke ‘hujung desa’. Ibarat
menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadan kali
ini bersisa sedikitpun.
Ibarat
suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di
peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat.
Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadan kali ini dan
mengisinya dengan sebaik mungkin.
Sesungguhnya
La hawla wala quwwata illa billah al-’Aliyyil ‘Adzim yang maksudnya, “Tiada
daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan
dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.
No comments:
Post a Comment