Wednesday, October 16, 2013

PERBEZAAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH DALAM AGAMA ISLAM DAN AGAMA KRISTIAN



PROF MADYA DR KHADIJAH MOHD HAMBALI
JABATAN AKIDAH DAN PEMIKIRAN ISLAM,
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM,
UNIVERSITI MALAYA

1. Realiti Nama Tuhan Dalam Agama Kristian

1.1 Penegasan penganut agama Kristian terhadap pemakaian istilah Allah sebagai kata ganti nama “God” dalam kitab-kitab terjemahan dan upacara-upacara keagamaan mereka hanya membuka kelemahan mereka kepada tatapan umum bahawa masyarakat Kristian tidak tahu nama sebenar Tuhan mereka.

1.2 Ajukanlah kepada sesiapa sahaja dalam kalangan penganut Kristian termasuk para paderi, nescaya pelbagai jawapan akan terpacul dari mulut mereka. Sebahagian daripada mereka akan merujuk kepada Jesus atau Yesus (Indonesia) sebagai Tuhan dan segelintirnya merujuk kepada Jeremiah, segolongan lagi merujuk kepada Allah. Terdapat juga penganut Kristian yang merujuk kepada Yahweh, Yehuwa, Yahova atau Jehovah. Ini kerana tidak terdapat satu pun istilah yang menepati dan merujuk kepada Tuhan dalam Bible penganut Kristian. Bible mereka yang terlalu kerap disunting tidak memaparkan nama Tuhan yang wajar disebut dalam ritual keagamaan Kristian.

1.3 Justeru, untuk mengelakkan kesukaran dan kekeliruan, penganut Kristian mengambil keputusan untuk meminjam nama Tuhan yang sering digunakan oleh masyarakat setempat. Sebagai contoh yang diperakui sendiri oleh para pemimpin Kristian Malaysia antaranya Joseph Masilamany yang mengemukakan pendapat bahawa─

“penggunaan perkataan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan dalam kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak Negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam.”

1.4 Penyunting akhbar mingguan Katholik tempatan iaitu Paderi Lawrence Andrews dan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Rev. Herman Shastri menyokong kenyataan tersebut. Paderi Lawrence dilaporkan mendakwa bahawa─

“Istilah ”Allah” yang digunakan oleh orang Kristian atau dalam tulisan mereka tidak bermaksud menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan. Kami mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan “Allah” sebagai terjemahan istilah “God” dan “Tuhan” sebagai terjemahan untuk istilah “Lord”.” (The Sun: 24 Disember 2007)

1.5 Beliau seterusnya mendakwa bahawa─

“mulai awal abad ke-19, para penganut Katholik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan “Allah” telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah “God”.”

1.6 Beliau turut menyatakan bahawa─

“para penganut Katholik Malta juga menggunakan perkataan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.”


1.7 Menurut Rev. Herman Shastri─

“para penganut Kristian yang tinggal di Negara-Negara majoriti Muslim menggunakan kalimah “Allah” apabila merujuk kepada Tuhan dalam upacara doa umum (liturgy) mereka. Biarpun pihak berkuasa tidak membenarkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu, pihak gereja akan terus memakainya kerana perkara ini bersangkut-paut dengan buku-buku suci kami.”

1.8 Selain itu, merujuk kepada sebuah buku bertajuk KEBENARAN YANG MEMBIMBING KEPADA HIDUP YANG KEKAL yang diterjemahkan oleh Kumpulan Siswa-Siswa Alkitab (Bible) Indonesia, cetakan tahun 1973, kumpulan penulis buku ini menceritakan tentang usaha mereka untuk menghapuskan semua bentuk “bidaah” yang wujud dalam masyarakat dan amalan Kristian di seluruh dunia.

1.9 Pihak Kristian sendiri mengakui bahawa mereka mengalami masalah besar untuk menentukan nama Tuhan mereka yang sebenar. Menurut mereka, nama Tuhan mereka sebagaimana yang terkumpul dan tercatat dalam kitab-kitab suci yang berada di tangan mereka hanya mencatatkan perkataan “YHWH” (diRomankan dari huruf-huruf bahasa Hebrew yang berbunyi “Yod, He, Vau, He” atau “Yet, Huv, Wah, Huv”). Bahasa Hebrew jarang menggunakan huruf-huruf vokal untuk memudahkan cara pembacaan dan bahasa ini hanya fasih dibaca oleh mereka yang bertutur dalam bahasa tersebut. Justeru, pihak pemimpin agama Yahudi (Rabbi) tidak dapat mengagak bentuk sebutan sebenar perkataan “YHWH” itu. Rabbi-Rabbi Yahudi mengharamkan mana-mana individu Yahudi dari menyebut perkataan “YHWH” tersebut kerana ketidakpastian yang timbul. Sehubungan dengan itu, sebagai alternatif, mereka memasukkan perkataan “Adonai ” atau adakalanya “Elohim” untuk diganti sebut apabila ternampak perkataan “YHWH” dalam kitab mereka. Menurut Rabbi Yahudi, menyebut “YHWH” tanpa mengetahui cara sebutannya yang betul akan mengundang dosa.

1.10 Dalam “New Testament” atau “Perjanjian Baru” pula yang bahasa asalnya adalah bahasa Greek, nama Tuhan disebut dengan perkataan “Kyri.os” yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “Lord” dan perkataan “The.os” yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “God”.

1.11 Justeru, realiti nama sebenar Tuhan dalam kedua-dua Old Testament dan New Testament (Perjanjian Lama dan Baru) yang terkandung dalam Bible menjadi suatu ketidakpastian sehingga kini. Ia kekal sebagai satu misteri sebagaimana agama mereka sendiri yang penuh dengan misteri-misteri yang tidak boleh dihuraikan oleh penganutnya.

1.12 Selepas abad ke-16, terdapat usaha-usaha daripada pihak sarjana Kristian untuk menyelesaikan masalah ini dengan memperkenalkan cara sebutan terbaik kepada perkataan “YHWH”. Segelintir membacanya dengan sebutan “YaHWeh” dengan memasukkan huruf vokal “a” dan “e”. Sesetengahnya pula menyebutnya dengan sebutan “YeHuWaH. Walaupun begitu, tanpa alasan yang kukuh, sebutan “YaHWeh” dan “YeHuWaH” tersebut bertukar menjadi Jehovah dalam beberapa mazhab Kristian seperti Protestant dan Jehovah Witnesses. Justeru, untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, mazhab Kristian lain cuba dengan sedaya upaya mengelak daripada menggunakan perkataan tersebut. Sebagai langkah selamat mereka menggunakan apa saja nama yang biasa digunakan masyarakat setempat bagi menggambarkan identiti Tuhan.

1.13 Isu sebegini sewajarnya tidak timbul jika tiada sebarang percanggahan fakta mengenai nama Tuhan dalam Bible agama Kristian. Dalam Bible (versi King James), Tuhan sebagaimana dalam kitab suci mereka telah beberapa kali memperkenalkan namaNya untuk dikenali oleh masyarakat penganut Kristian dan Yahudi. Sebagai contoh pernyataan di bawah yang dipetik daripada Old Testament ─

Exodus, 6 : 2 & 3 (Bible Versi King James)

“6:2 And God spake unto Moses, and said unto him, I am the LORD: 6:3 And I appeared unto Abraham, unto Isaac, and unto Jaco, by the name of God Almighty, but by my name JEHOVAH was I not known to them”.

1.14 Kesimpulannya, pernyataan tersebut menjelaskan bahawa sebelum zaman Nabi Musa, Tuhan hanya dikenali dengan nama “God”, yang merupakan terjemahan bahasa Inggeris terhadap versi asal pernyataan dalam gospel Exodus yang bahasa asalnya adalah bahasa Hebrew yang menggunakan perkataan “YHWH” sebagai kata ganti nama diri Tuhan. Bermula dengan Nabi Musa, Tuhan mula memperkenalkan namaNya sebagai “YHWH”. Tetapi setelah diterjemahkan dan dipersetujui oleh sekumpulan sarjana Kristian, dalam versi King James ini mereka menukarkan “YHWH” dengan nama “Jehovah”. Hakikatnya, menurut sarjana Katholik, nama Jehovah itu sendiri tidak pernah dikenali pada zaman-zaman sebelum ini.

1.15 Sehubungan itu, sewajarnya pihak gereja di Malaysia menggunakan perkataan “Jehovah” atau “YaHWeH” atau “YeHuWa” atau “YHWH” dan banyak lagi nama yang disabitkan dengan Tuhan mereka yang sememangnya tercatat dalam kitab asal mereka dalam bahasa Hebrew dan Greek. Istilah “Allah” merujuk kepada Tuhan yang mempunyai kualiti-kualiti yang sewajarnya dipenuhi terlebih dahulu untuk melayakkan setiap sesuatu yang cuba mendakwa dirinya sebagai Allah. Semua ciri yang sewajibnya wujud pada Allah, sewajarnya menepati ciri-ciri yang disebut dalam surah Al-Ikhlas. Imam Turmudzi, Imam Hakim dan Imam Ibnu Khuzaimah telah meriwayatkan sebuah hadis melalui Abul ’Aliyah, yang ia terima daripada Ubay ibnu Ka’b, bahawasanya orang-orang Musyrik telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Ceritakanlah kepada kami Rabbmu.” Maka Allah menurunkan firmanNya seperti dalam surah Al-Ikhlas─

”Katakanlah: ”Dialah Allah Yang Maha Esa”. Allah, Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tiada yang setara denganNya”. (Al-Ikhlas : 1 - 4).

1.16 Selain itu, Professor Dr. Syed Tawfik Ali al-Attas telah melontarkan komentar yang amat bernas berhubung dengan penggunaan istilah ”Allah” dari aspek semantik. Beliau menegaskan bahawa cara untuk mempengaruhi pemikiran adalah melalui bahasa dan bahasa memberikan kesan terhadap cara seseorang berfikir. Kita telah diperingatkan oleh dakwaan penganut-penganut Kristian bahawa─

“Bible bahasa Melayu menggunakan “Allah” untuk “God” dan “Tuhan” untuk “Lord”.”.

1.17 Makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk adalah jelas salah dan seolah-olah mereka ingin menunjuk dan mengajar orang-orang Melayu mengenai peristilahan yang betul dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu menterjemahkan istilah “Tuhan” untuk merujuk kepada “God” dan bukan istilah “Lord”. Orang Melayu memahami bahawa apabila istilah “ilah” digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris “God” dan istilah Melayu “Tuhan”, dan apabila istilah Arab “rabb” digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris “Lord”. Justeru, apabila kalimah syahadah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, bunyinya adalah “tiada Tuhan melainkan Allah” yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “there is no God except Allah”. Sekiranya istilah “God” diterjemahkan sebagai “Allah”, maka terjemahan tersebut akan berbunyi “Tiada Allah melainkan Allah” (“There is no Allah but Allah”), yang merupakan satu percanggahan. Terjemahan yang sebegitu janggal bukan sahaja mengeruh dan menimbulkan masalah, malah akan mengundang perselisihan dan rasa bingung.

1.18 Walau bagaimanapun, Paderi Lawrence sememangnya sarat dengan percanggahan. Beliau menggunakan rangkai kata “bahasa Malaysia” merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam terbitan mingguan mereka untuk memenuhi keperluan “ramai penganut Katholik yang bertutur dalam bahasa Malaysia” di Negara ini. Beliau kemudiannya berhujah dengan menggunakan peristilahan yang terdapat hanya dalam bahasa Melayu dan bergantung kepada fakta dan ketetapan siasah dalam medan siasah yang diputuskan oleh Jemaah Menteri bahawa bahasa Melayu dirujuk sebagai “bahasa Malaysia”. Menurut Professor Dr Syed, apabila seseorang itu merujuk kepada satu bahasa yang mencerminkan faham-faham maknawi ajaran-ajaran atau kelaziman akidah yang tertentu (dalam hal ini bahasa Melayu) dia tidak seharusnya melalaikan pengertian penting bahasa tersebut bernisbah kepada bahasa-bahasa yang lain. Bahasa Melayu khusus bernisbah kepada orang-orang Melayu. Menurut Professor Dr. Syed, bahasa Melayu adalah satu bahasa yang faham-faham utamanya adalah berkenaan dengan hakikat insan dan nisbah antara yang kudus dengan yang nista yang telah dilahirkan dari rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu. Budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada agama Islam. Oleh itu, jika peristilahan dari agama lain mengenai faham-faham utama diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang berpunca daripada agama Islam. (Utusan Malaysia: 6 Januari 2008).

2. Analisis Perbandingan Konsep Tauhid dan Konsep Unitarian Aliran Eastern Church

2.1 Biarpun pelbagai penjelasan telah dikemukakan, pihak gereja begitu tegas dalam penggunaan kalimah Allah. Antara yang telah lama menggunakan istilah Allah adalah Gereja Timur yang sering dikaitkan sebagai gereja yang meyakini unitarian iaitu Tuhan adalah satu.

2.2 Pihak Gereja Timur sering mendakwa bahawa terdapat perbezaan yang jelas berhubung dengan konsep ketuhanan yang dipraktikkan oleh para penganut Kristian Roman Katholik di Negara Barat dengan para penganut Kristian di Negara Arab. Kebanyakan penganut Kristian di Negara Arab mempraktikkan agama Kristian Timur atau dikenali sebagai Eastern Church yang berpusat di Iskandariah atau Alexandariah. Para penganut Kristian Arab ini meyakini konsep ketuhanan mereka adalah unity iaitu tuhan adalah satu atau dirujuk sebagai esa.

2.3 Konsep unity merujuk kepada maksud konsep ketuhanan iaitu Allah (Tuhan) itu tidak mempunyai ciri Bapa, Anak dan “Hantu Suci” (Father, Son and Holy Ghost). Konsep Tuhan yang satu atau unity ini didakwa selari dengan konsep Allah yang Esa seperti yang dianuti dan diyakini oleh Muslim. Walau bagaimanapun, kenyataan atau dakwaan ini wajar diperhalusi untuk mengetahui kebenaran dan ketelusan konsep unity dan konsep tauhid.

2.4 The Encyclopedia of Christianity mendefinisikan maksud Eastern Church sebagai─

“Eastern Church is a relative term that goes back to the division of the – Roman Empire in 395 and denotes the church that developed in the eastern branch and that engaged in – mission beyond its borders. After the schism it came to be synonymous with Orthodoxy, in distinction from the Latin church of the West.” (Fahlbusch E. & Bromiley G.W:867)

2.5 Secara umum, Eastern Churches adalah mana-mana gereja (churches) yang lahir dan tumbuh di luar empayar Rom seperti Parsi, Syria, Armenia, Mesir, Etiopia dan India.

2.6 Apabila ditelusuri dengan lebih mendalam, tiada satu pun Eastern Church yang mempunyai akidah yang sama atau selaras dengan Islam dalam konsep ketuhanan. John Meyendorff, seorang pakar modern Orthodox menjelaskan di dalam bukunya Christ in Eastern Christian Thought bahawa─

“The true concept of God is Trinitarian.- A little ealier we mentioned the Cyrillian christological formula – ‘One of the Holy Trinity suffered in the flesh.’ – A formula sung at every liturgy as part of the hymm ‘Only Begotten Son’.” (Meyendorff J.:181)

2.7 Sergeǐ Nikolaevich Bolgakov turut menjelaskan di dalam The Orthodox Church bahawa─

“There is one fundamental Christian dogma confessed by St. Peter in the name of all Apostles and thus in the name of the Church: “Thou are the Christ, the Son of the living God.” This same dogma served as the subject of the Apostles at the time of Pentecost. Jesus Christ is the eternal Word, the Son of God, Who has taken upon Himself human nature, without division or confusion, true God and true man, Who came into the world to save mankind, died on the Cross, rose again from the dead, ascended into heaven and is seated at the right hand of the Father, and Who will come again to this world for the Last Judgment and for His eternal reign. Concerning this article of faith there is no different whatever between Orthodoxy and the belief of Catholicism or those Anglicanism – at least Anglo-Catholicism-or those of orthodox Protentantism.” (Bulgakov S.N.:100-101)

2.8 Berasaskan penjelasan-penjelasan tersebut, umumnya, kesemua Eastern Church percaya kepada ketuhanan Jesus Christ dan hanya berbeza pendapat dalam beberapa perkara berkaitan dengan bentuk ketuhanan Jesus. Sebagai contoh dalam persoalan sama ada Jesus adalah sepenuhnya Tuhan sahaja atau sepenuhnya Tuhan pada masa yang sama sepenuhnya manusia.

2.9 Pernyataan-pernyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa semua aliran Kristian sama ada Catholics, Protestants, atau Eastern Churches adalah berkonsepkan trinitirian dan bukannya unitarian dalam hal ketuhanan. Oleh itu, kenyataan yang menjelaskan bahawa keyakinan penganut Kristian di Negara Arab lebih menekankan konsep ketuhanan yang esa adalah tidak absah. Malah konsep keyakinannya adalah selaras dengan ketuhanan penganut Kristian di Negara Barat yang meyakini triniti. Apatah lagi, konsep unitarian ini sebenarnya berkembang pesat di Negara-Negara Eropah dan dibawa masuk ke Negara-Negara Arab. Justifikasi yang meletakkan keyakinan yang berasal dari Negara Arab adalah senada dengan keyakinan Islam adalah tidak wajar.

2.10 Selain itu, terdapat sebuah aliran gereja di Negara Mesir dan Syria yang dikenali sebagai Kristian Koptik atau Coptic Orthodox Church of Alexandria (Iskandariah). Gereja ini merupakan gereja terbesar bagi penganut Kristian di Mesir. Gereja ini juga sering dikaitkan sebagai mempraktikkan ketuhanan yang satu atau unity. Namun begitu, para penganut Coptic Church berfahaman bahawa Jesus Christ adalah tunggal, Tuhan sebenar dan manusia sebenar. Jesus Christ mempunyai sifat Tuhan dan juga sifat manusia (Otto Friedrich August Meinardus:54). Pemahaman dan keyakinan ini dikenali sebagai miaphysitism, iaitu istilah yang berlawanan dengan dyophysitsm yang menjadi keputusan Council of Chalcedon. Walaupun menolak keputusan Council of Chalcedon, jelas di sini Coptic Orthodox Church of Alexandria telah menganggap Jesus Christ mempunyai sifat ketuhanan.

2.11 Oleh itu, penganut-penganut Kristian di Negara Arab yang menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan yang esa adalah tidak absah dan amat bertentangan dengan konsep tauhid Islam walaupun mereka mendakwa bahawa unitarian lahir dalam Negara Arab yang memahami maksud unity berbanding trinity.

2.12 Allah S.W.T. menegur kesilapan dan kesalahan pemahaman ahli kitab di tanah Arab yang meyakini bahawa Isa al-Masih atau Jesus Christ adalah lebih daripada sekadar nabi dan juga pemahaman bahawa tuhan itu tiga (trinity). Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran─

“Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhny Al-Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang Pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian) supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).” [al-Nisa’ 4:171]

2.13 Ayat di atas memperlihatkan bahawa fahaman triniti bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat Kristian di tanah Arab pada ketika itu. Justeru, dakwaan yang menyatakan unitarian lahir di dalam Negara Arab adalah wajar diselidiki.

2.14 Walau bagaimanapun, agama Kristian menegaskan bahawa trinity itu merupakan satu bentuk kewujudan Tuhan dalam tiga individu yang bersatu sebagai Tuhan yang satu. “YaHWeH” yang merupakan Tuhan pertama dalam trinity, wujud dalam bentuk spiritual, tanpa bentuk dan daging. Manakala individu kedua dalam trinity iaitu Jesus Christ adalah Tuhan yang mengambil bentuk manusia yang mempunyai dua sifat. Sifat pertamanya adalah berupa ketuhanan dan sifat keduanya berupa manusia. Manakala, Holy Ghost (Ruhul Qudus) pula wujud dalam bentuk roh dan sering digambarkan dalam mana-mana potret lukisan trinity sebagai burung merpati putih yang terbang dengan cahaya yang bersinar di belakangnya sebagai simbol keamanan atau sebagai puting beliung yang melambangkan simbol kekuatan. Gospel Matthew, 3:16 mengukuhkan kenyataan ini─

“3:16 And Jesus, when he was baptized, when up straightway out of the water: and, lo, the heavens were opened unto him, and he saw the Spirit of God descending like a dove, and lighting upon him”.

Kesimpulannya, Tuhan dalam konsep trinity wujud dalam tiga bentuk yang bercanggahan dengan Tuhan Yang Maha Esa sebagaimana yang diyakini oleh Yahudi dalam kitab Perjanjian Lama mereka yang merupakan sebahagian daripada Bible.

3. Realiti Sejarah Penggunaan Kalimah Allah

3.1 Apabila ditelusuri aspek sejarah, tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan kalimah Allah ini telah lama digunakan dalam kalangan bangsa Arab sebelum lagi penurunan al-Qur’an mahupun perlantikan nabi Muhammad s.’a.w. sebagai nabi dan rasul. Ini bererti dalam aspek sejarah masyarakat Arab, Timur Tengah dan Asia Barat, istilah Allah telah lazim digunakan oleh setiap individu biarpun agama anutannya bukan ajaran Islam.

3.2 Penggunaan kalimah Allah itu merujuk kepada Tuhan yang satu iaitu tuhan yang diyakini sebagai tuhan sembahan masyarakat ketika itu. Bahkan penggunaan kalimah Allah adalah milik sejagat. Tidak terhad hanya kepada etnik atau kaum tertentu.

3.3 Apabila nabi Muhammad s.’a.w dilantik sebagai nabi dan rasul dan al-Qur’an diwahyukan, penggunaan kalimah Allah terus diguna pakai dalam mengekalkan pengertian Tuhan yang satu iaitu kalimah yang telah lazim diyakini dan difahami oleh manusia sejagat waktu itu. Kalimah Allah juga merupakan istilah Arab yang digunakan oleh umat manusia Arab, Bani Israel (Yahudi, Nasrani, Najran dan sebagainya waktu itu dan juga dalam penulisan kitab suci mereka waktu itu) sebagai merujuk Tuhan yang disembah dan istilah yang selamat bagi tujuan mengekalkan pengertian Tuhan yang satu. Pun begitu, al-Qur’an telah memurnikan kalimah Allah dengan menegaskan bahawa kalimah Allah adalah merujuk kepada Allah yang Maha Esa, Allah itu mutlak dan abadi, Allah itu tidak memperanakkan dan tidak diperanakkan dan Allah tidak disetarai oleh siapa pun dan apapun (Surah al-Ikhlas). Ini merupakan sifat-sifat asas Allah yang wajib difahami dan diyakini oleh umat Muslim selain daripada 99 sifat Allah yang lain (Asma’ al-Husna). Tuntasnya, kalimah Allah digunakan sebagai istilah yang paling selamat untuk terus mengekalkan dan menyatakan konsep ketauhidan yang telah ditegaskan al-Qur’an dan ajaran Islam. Ini bererti al-Qur’an dan Islam telah menegaskan kualiti kalimah Allah dengan prinsip dan sifat asas yang sempurna bagi Allah yang Maha Esa.

3.4 Keadaan ini adalah amat berbeza di sebelah nusantara khususnya Tanah Melayu. Ini kerana Islam disebarkan dengan roh Islam. Ini bererti kalimah Allah yang diguna pakai sebagai merujuk Allah yang Maha Esa itu adalah dalam bentuk yang telah dimurnikan dan ditegaskan oleh al-Qur’an sebagai Yang Maha Esa. Roh Islam telah mewarnai dakwah Islam waktu itu. Worldview masyarakat Muslim nusantara khususnya Tanah Melayu adalah berpaksikan hakikat roh Islam. Justeru, worldview masyarakat Muslim Tanah Melayu adalah berbeza sama sekali dengan masyarakat Arab. Atas alasan ini, walaupun kalimah Allah telah lazim digunapakai di sebelah Arab tetapi persekitarannya adalah berbeza dengan Tanah Melayu-Malaysia. Umat Muslim Malaysia telah ditanamkan dengan budaya dan pemikiran yang jelas dan murni bahawa kalimah Allah adalah milik ajaran Islam dengan merujuk kepada Allah yang Maha Esa dan bukannya Allah triniti dan sebagainya. Sensitiviti ini yang wajar difahami dan dipelihara agar maslahah umat Muslim di Malaysia terus dipelihara dan ketenangan dan keharmonian dapat dicapai dalam masyarakat majmuk Malaysia. Justeru, keputusan Kerajaan seperti yang dinyatakan dalam kertas kerja bertajuk “Hujah Menolak Penggunaan Kalimah ‘Allah’ oleh Kristian” tulisan Mohd Aizam bin Mas’od (rujuk lampiran) adalah amat relevan.

3.5 Sehubungan itu, ‘penjenamaan semula’ kalimah Allah yang cuba dibawa oleh pihak gereja dan Kristian adalah bukan lagi merujuk kepada kualiti konsep ketauhidan Allah sebagai Yang Maha Esa. Tetapi ia turut merujuk kepada konsep triniti yang jauh berbeza dengan uniti dan apatah lagi tauhid. Kualiti tauhid telah tiada dalam penjenamaan kalimah Allah dalam ajaran Kristian kini. Atas faktor ini telah menyebabkan kualiti kalimah Allah terjejas dan tercalar. Penyelewengan penggunaan kalimah Allah telah mengakibatkan istilah tersebut turut terheret kepada pengertian yang lemah dan tidak sempurna. Iaitu Tuhan disetarakan dengan makhluk. Tuhan tidak lagi Yang Esa tetapi Yang Tiga walaupun Tiga tadi dikatakan sebagai Yang Satu. Namun ia adalah berbeza walaupun kalimah Allah digunakan sebagai merujuk konsep kepercayaan Kristian.

3.6 ‘Peniruan’ penggunaan kalimah Allah yang tidak original ini hanya menjejaskan pengertian tauhid dalam kalimah Allah yang ditegaskan oleh al-Qur’an dan ajaran Islam. Analogi yang sama diguna pakai dan sebagai contohnya; dalam memperlihatkan jenama Calvin Klein yang asli dan yang tiruan. Kualiti adalah amat berbeza walaupun jenama tiruan seolah-olah mampu menyamai jenama asal dan tidak dapat dibezakan oleh individu awam tetapi individu pakar dapat merasai perbezaan ketara. Bahkan jenama tiruan boleh ditolak dan disaman hanya kerana menghasilkan suatu produk yang tidak setaraf dan merosakkan imej yang asli. Tegasnya penggunaan kalimah Allah yang digunakan oleh pihak gereja dan Kristian tidak menggambarkan keaslian maksud kalimah Allah tetapi telah berubah kepada maksud dan falsafah ajaran Kristian. Ini menjejaskan keaslian kalimah Allah yang telah sedia difahami dan diyakini umat Muslim Malaysia.

4. Realiti Tauhid

4.1 Kalimah Allah digunakan dalam konsep ketauhidan Islam adalah dengan tujuan penegasan bahawa Allah adalah yang Maha Esa. Tiada penyekutuan. Allah juga digunakan bagi menghindari daripada pengertian yang tidak sewajarnya bagi Allah. Perkara yang tidak wajar itu adalah:

a. Tuhan yang tidak beridentiti umpama tuhan dalam kepercayaan pantheisme yang meletakkan tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya itu adalah tuhan.Ini memperlihatkan tiada perbezaan antara tuhan dan makhluk. Tiada beza antara tuhan adalah pemilik segalanya dan segalanya adalah milik tuhan.

b. Tuhan sebagai entiti yang tidak mutlak.Tuhan tidak memiliki identiti yang jelas.Kabur dan tidak dapat dijelaskan dengan rencam.

c. Tuhan yang disifatkan dengan sifat makhluk iaitu bergender, makan, minum dan sebagainya.

d. Tuhan sebagai jelmaan iaitu tuhan dijelmakan dalam bentuk objek, patung dan umpamanya bagi memudahkan komunikasi antara mahkluk yang menyembahnya.

e. Tuhan yang diangkat iaitu tuhan yang ditarafkan statusnya sama seperti tuhan.

4.2 Berasaskan ketidakwajaran tersebut memperlihatkan bahawa Allah adalah kalimah yang mutlak bermaksud Tuhan yang satu dan satu-satunya (Cowan, 24). Atau dalam erti kata lain, Tuhan dalam bentuk nama dan identiti khas terkandung dalam pengertian Allah iaitu Esa. Sekiranya tuhan digunakan sebagai merujuk kepada Allah bererti, istilah tersebut boleh diubah menjadi tuhan (t kecil) atau Tuhan (T besar), tuhan-tuhan (ramai) atau tuhan (satu) dan penambahan nama terbitan seperti ketuhanan dan sebagainya. Analogi ini boleh diguna pakai dalam istilah god dengan meletakkannya sebagai satu, ramai, umum, khas dan bahkan ‘memperempuankannnya (godmother) atau melelakikannya (godfather) dan sebagainya.

4.3 Ini berbeza dengan kalimah Allah yang tidak boleh dijadikan umum, banyak atau ramai atau sedikit dan sebagainya. Tuntasnya, istilah Allah tidak boleh dimanupulasikan dalam apa metode sekalipun dalam bahasa asalnya (Ahmad Deedat, 1981, 33). Ini bererti dari aspek linguistik, istilah Allah adalah ‘superior’ daripada apa jua istilah, apa jua bahasa sebagai satu bentuk memelihara dan mempertahankan secara dalaman (in built) pengertian keEsaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak diyakini dan disembah.

4.4 Sehubungan itu, sekiranya Allah yang ingin diguna pakai oleh pihak gereja dan Kristian sebagai merujuk kepada pengertian triniti bererti “Tuhan yang satu sebagai tiga” atau ‘Tiga dalam satu’ yang merujuk Allah tuhan bapa (To be Omnipotent implies that God is transcendent (the Father), Allah tuhan anak (To be a Sustainer of mankind implies that God is incarnate (the Son) dan Allah tuhan Roh Kudus (To be Omnipresent implies that God is immanent (the Holy Spirit) yang dikatakan tidak bercanggah dengan konsep keMahaEsaan Allah menurut Islam bahkan memutlakkan keEsaan Allah itu (Joachim Ng 1987, 11) wajar diperhalusi. Ini kerana kelogikan triniti sentiasa dipersoalkan. Umpamanya sekiranya Allah dalam penjelmaan anak, siapa pula yang menjaga perjalanan alam semesta sedangkan alam ini sentiasa diketahui dalam pengurusan Allah. Persoalan kritikal seperti ini tidak dapat dihuraikan oleh agama Kristian dan gereja dengan rencam kerana penjelmaan Tuhan sebagai anak bukanlah secara simbolis tetapi secara realiti dengan berjasad manusia. “His (Jesus) resurrection from the dead, more than anything else convinced His disciples that He was indeed the Son of God” (B.C Ang 1980, 99).

4.5 Tuntasnya, tauhid dan pengEsaan Allah yang sebenarnya tidak memadai dengan hanya menyatakan perakuan bahawa Allah yang disembah itu adalah Allah yang satu. Pengertian Maha Esa bukanlah hanya bersifat kuantitatif iaitu dari aspek bilangan Tuhan tidak melebihi satu tetapi wajar dari aspek kualitatif iaitu memperlihatkan bahawa sifat-sifat dan identiti Allah adalah tersendiri dan sama sekali tidak setaraf dan setara dengan makhluk-makhluk ciptaanNya walau dalam apa bentuk dan cara sekalipun. Ini bererti bahawa mentauhidkan Allah adalah dengan memelihara pengertian dan konsep ketuhanan daripada sebarang bentuk dan cara sama ada dari aspek teori, amali, lahir atau batin yang boleh menjejaskan pengertian keEsaan dan keunikan Allah.

5. Terjemahan Dan Penggunaan Kalimah ’Allah’ Yang Hakiki

5.1 Secara umum, Syariah merujuk kepada maksud memelihara agama. Menurut kaedah fiqh, kemudaratan adalah wajar dicegah. Justeru, pencegahan adalah lebih baik daripada isu penggunaan kalimah Allah ini terus berkembang.

5.2 Saya menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di dalam kitab-kitab pengajaran agama Kristian terbitan gereja-gereja ini mendorong kitab tersebut dibaca dengan mudah oleh individu Muslim. Kebimbangan ini adalah berasaskan seandainya individu Muslim tersebut kurang mendapat pendidikan agama dan mempunyai sikap toleransi beragama yang amat tinggi, kitab-kitab ini boleh mencetuskan kekeliruan akidah Muslim tersebut dan mendorong mereka untuk berpendapat bahawa Tuhan adalah sama.

5.3 Istilah “Allah” dan bukannya “Tuhan” digunakan oleh umat Islam untuk mengelakkan dari makna-makna lain yang tidak dikehendaki seperti Tuhan yang tidak beridentiti daripada fahaman pantheisme iaitu Tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya adalah Tuhan, Tuhan sebagai entiti yang tidak mutlak dan kabur daripada pandangan idealist, Tuhan sebagai sifat makhluk yang mempunyai jantina dan perlu memenuhi kehendak-kehendak biologi seperti makan, minum dan berkeluarga, Tuhan yang mempunyai kehendak sosial seperti berkawan, berkelompok, berpolitik dan beragama, Tuhan sebagai satu bentuk manifestasi atau jelmaan iaitu yang dijelmakan dalam bentuk objek-objek yang dapat dilihat dan Tuhan yang asalnya bukan Tuhan diangkat menjadi Tuhan seperti harta benda, kekayaan, sanjungan dan kedudukan. Semua sifat-sifat ini bukan ciri ketuhanan yang dikehendaki.

5.4 Umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanannya secara formal, iaitu “La Ilaha illa Allah” yang bermaksud “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” dan “Muhammadur Rasulullah”, yang bermaksud “(Nabi) Muhammad itu Pesuruh Allah”. Umat Islam tidak melafazkan perakuan tersebut sewenang-wenangnya seperti “Tuhan yang saya sembah adalah Allah” atau “Allah adalah Tuhan saya”. Ini menjelaskan bahawa seseorang Muslim tegas membuat perakuan ketuhanan mereka dalam bentuk negatif iaitu menegaskan perakuan kewujudan satu Tuhan yang Esa yang dinamakan dan dirujuk sebagai Allah di atas penafian tuhan-tuhan lain. Unsur penafian tuhan-tuhan lain ini adalah tunjang konsep ketuhanan dalam Islam iaitu ketauhidan. Ini merupakan intipati tauhid iaitu penegasan tentang pengesaan Allah dalam konsep ketuhanan Islam yang dititikberatkan dalam akidah Islam.

5.5 Istilah Allah secara mutlak daripada Al Quran bererti “Tuhan yang satu dan satu-satunya” yang merupakan satu nama khas dan bukan ganti nama. Allah tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Perkataan “Tuhan” sebagai bukan nama khas adalah “Ilah” dan bukannya Allah. Allah adalah nama khas bagi Tuhan yang identitinya adalah keesaan. Penggunaan perkataan Tuhan boleh diumumkan dan boleh dibanyakkan dengan menggantikan “T” besar kepada “t” kecil. Sebagai contoh, adalah dengan memanusiakan pengertiannya seperti ”godfather”, “godmother” atau mewanitakannya dengan “goddess” atau memperkecilkannya dengan “godling”. Ini adalah jelas bahawa istilah “Allah” merupakan kata nama khas. Justeru, kalimah tersebut tidak boleh dimanipulasikan daripada bahasa asalnya (Ahmad Deedat, 1981: 33). Istilah Allah adalah lebih agung daripada semua istilah dan bahasa kerana ia mempertahankan dan memelihara makna keesaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

5.6 Selain itu, istilah Allah adalah mushtaq iaitu kata nama khas. Ini kerana sekiranya istilah Allah digandingkan dengan istilah “Ya” dalam bahasa Arab yang bermaksud kata seruan “Wahai”, istilah Allah tetap kekal. Huruf “alif”, “lam” dan “lam” sebagai konotasi nama khas tidak boleh dibuang. Ia tidak boleh disebut sebagai “Ya Lahu”. Ini berbeza dengan kalimah “Al-Rahman” yang meupakan antara sifat Allah iaitu pengasih/penyayang. Apabila ia digandingkan dengan istilah “Ya”, alif lam makrifah (kata nama khas) wajar dibuang dan menjadikannya sebagai “Ya Rahman”. Ini membuktikan bahawa istilah Allah adalah kata nama khas atau mushtaq. (Ibn Manzur, t.t.)

5.7 Surah Al-Ikhlas membahaskan mengenai konflik yang berlaku di kalangan masyarakat penganut agama ketika itu. Masing-masing mendakwa bahawa agama mereka menyembah Allah. Persoalannya siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan dan disembah oleh agama-agama tersebut; Adakah ia tepat dan benar dengan konsep “Allah” yang dirujuk sebagai Tuhan sembahan mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata Ikrimah berhubung dengan faktor sabab al-nuzul (sebab penurunan ayat) tersebut─

Ikrimah: “Ketika orang Yahudi mengatakan: “Kami menyembah U’zair anak Allah”. Orang Nasrani menyatakan: “Kami menyembah Al-Masih anak Allah”. Majusi mengatakan: “Kami menyembah matahari dan bulan”. Orang Musyrikin pula mengatakan: “Kami menyembah berhala”. Lalu Allah s.w.t . menurunkan ke atas Rasulullah s.a.w. surah Al-Ikhlas yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhlukNya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagiNya sekutu”.

5.8 Perbincangan tersebut, membuktikan bahawa maksud kalimah Allah yang digunapakai oleh para penganut bukan Muslim adalah amat berbeza dengan maksud kalimah Allah yang dijelaskan oleh Islam. Islam menegaskan ketauhidan Allah. Manakala agama-agama lain mempunyai konsep yang berbeza iaitu keyakinan terhadap ketuhanan tuhan yang satu yang dimulai dengan angka sifar dan dilanjutkan dengan angka yang berikutnya. Justeru, adalah tidak wajar sekiranya kalimah Allah ini digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memahami realiti maksud kalimah ini yang merujuk kepada zat Allah yang Agung dan Maha Esa. Penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh kerajaan untuk mengelak daripada kekeliruan di kalangan individu Muslim dengan nama Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Agung.

6. Kesimpulan

6.1 Berasaskan perbincangan-perbincangan tersebut, ternyata bahawa pihak Kristian menggunakan metode penghujahan bahasa. Namun, oleh kerana kita menghujahkan hakikat bahawa bahasa dan fikiran adalah saling mencerminkan satu sama lain, sebarang istilah dari satu tradisi pemikiran, apabila diterjemahkan perlulah membayangkan tradisi pemikiran yang asal, jika tidak makna sebenar peristilahan yang diterjemahkan akan menjadi kacau bilau. Dalam hal ini, mereka menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katholik, istilah “God” diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai “Allah”, satu kalimah yang mencerminkan tradisi pemikiran Islam. Justeru itu, makna sebenar istilah asal “God”, seperti tergambar dalam tradisi pemikiran Katholik dengan sengaja sedang dikelirukan.

6.2 Tuntasnya, pihak Kristian tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran akidah agama dengan menggunakan ungkapan-ungkapan tradisi pemikiran akidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi agama Kristian. Rasa hormat perlu diperlihatkan kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persisi sikap orang Islam yang menghormati istilah dan faham dasar agama Kristian. Masyarakat Muslim Malaysia tidak merujuk tempat pemujaan non-muslim sebagai masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan sebagainya. Masyarakat turut tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan non-Muslim sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya. Namun, atas dasar toleransi beragama, masyarakat Muslim Malaysia tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu. Cuma, seandainya ada yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai bahasa Melayu, cukup berdaya cipta dan kreatif untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran akidah agama masing-masing.

6.3 Sehubungan dengan itu, adalah wajar bagi pihak gereja Roman Katholik dan seumpamanya untuk bersikap lebih teliti, waspada, berhati-hati dan memahami sensitiviti warga Muslim Malaysia dan dunia.

6.4 Secara umumnya dan ilmiahnya, adalah harus kepada non-Muslim menggunakan kalimah Allah kerana kalimah tersebut adalah milik umat manusia sejagat. Namun persoalan di sini bukannya boleh atau tidak boleh non-Muslim menggunakan kalimah Allah. Namun, persoalan di sini ialah sejauh mana telusnya penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja dan Kristian yang secara halusnya cuba memplagiat kalimah Allah dengan maksud tidak lagi menjaga kualiti kalimah tersebut sebagaimana yang ditegaskan Islam dan al-Qur’an tetapi dengan maksud cenderung kepada memperlihatkan falsafah ajaran Kristian. Ini dilihat telah mencabuli hak worldview Islam di Malaysia dan sekaligus boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian. Perkara ini wajar dipertahankan agar kalimah Allah tidak digunakan dengan maksud yang berbeza daripada worldview Islam.

6.5 Umat Muslim Malaysia wajar memahami perpaduan dan keharmonian nasional adalah penting. Namun, jati diri tidak boleh digadai dan dijual beli. Akidah Tauhid adalah dasar dan tunjang umat Muslim yang wajib dipertahankan. Umat Muslim wajar mengetahui perbezaan adalah penting dan memahami bahawa perbezaan wajar wujud dalam penggunaan kalimah Allah. Umat Muslim wajar memahami mengapa kalimah Allah dipertahankan adalah kerana kemampuan kalimah Allah dan konsep ketuhanan Islam memelihara kesucian ketauhidan Allah dan bukannya atas sebab keangkuhan dan etnosentrik mereka.

6.6 Tuntasnya, perpaduan dan keharmonian di Malaysia masih mampu dijayakan dalam keadaan wujudnya perbezaan agama yang ada dengan syarat wujudnya sikap saling ‘hormati perbezaan dan halusi persamaan’. Ini bererti, slogan yang menyatakan bahawa One God, Many Paths bukanlah satu-satunya metode yang baik untuk menyelesaikan masalah perpecahan agama dan sekaligus mampu memupuk perpaduan etnik demi kesejahteraan Malaysia. Tetapi sikap saling menghormati dan memahami mengapa umat Muslim itu memilih untuk berbeza dalam penggunaan kalimah Allah yang sewajarnya hanya digunakan oleh Muslim dan bukannnya pihak gereja dan Kristian itu yang perlu diperhalusi. Sekaligus juga, adalah wajar memperjelaskan mengapa umat Muslim Malaysia begitu beriya-iya mempertahankan kalimah Allah hanya eksklusif kepada mereka walhal realitinya kalimah Allah adalah untuk umat manusia sejagat. Wajar juga dijelaskan mengapa baru sekarang pula pihak gereja dan Kristian begitu beriya-iya untuk menggunakan kalimah Allah dalam maksud yang berbeza dengan realiti maksud kalimah dan kualiti kalimah Allah sebagaimana yang dijelaskan dalam perbincangan ini. “Perbezaan adalah suatu rahmat dan bukannya suatu yang keramat”.

RUJUKAN

-Al-Qur’an al-Karim

-The Holy Bible Containing Old Testament and New Testament, Grand Rapids.

- The Book of Mormon: Another Testament of Jesus Christ, Utah, U.S.A.

- Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

-Ahmad Deedat (1981), Atnatu; a Novel Concept of God, Durban: Islamic Propagation Centre.

-Aliran (1980), One God, Many Paths, Penang.

-Amriah Buang (Prof) (2009), Mengapa Kalimah Allah?”, Interactive Muslimah Association.

-Ang, B.C (1980), One God, Many Paths, Aliran:Penang.

- Bulgakov S.N (1988). The Orthodox Church (Translation by Pravoslavie), St. Vladimir's Seminary Press.

- Chandra Muzaffar (1980), One God, Many Paths, Aliran: Penang.

-Chandra Muzaffar (1987), Islamic Resurgence in Malaysia, Petaling Jaya: Fajar Bakti.

- Enakmen Ugama Bukan Islam (1988), (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam).

-Fahlbusch E. & Bromiley G.W. The Encyclopedia of Christianity, Wm. B. Eerdmans Publishing.

-Ibn Kathir (t.t.), Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Beirut: Dar al-Kitab.

-Ibn Manzur (t.t.), Lisan al-‘Arab, Beirut.

-Jakim (2009), Kalimah Allah, bukan bermakna "God Semata-mata, Cawangan Aqidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM.Perlembagaan Persekutuan

-James Hastings (1913), Encyclopedia of Religion and Ethics, Edinburgh: T&T

Clark.

-James Ng (1987) “Knowing what the Trinity is”, The Sunday Mail, March1, 1987.

- Khadijah Mohd Khambali @ Hambali (1993), “Konsep Trinity Menurut Kristian: Analisis Ilmiah: dalam Jurnal Usuluddin, Bil. 2, Kuala Lumpur: Akademi Islam, Universiti Malaya.

-Mangalam (1980) “A Hindu Views”, One God, Many Paths, Aliran: Penang.

- Meyendorff J (1995). Christ in Eastern Christian Thought, St. Vladimir's Seminary Press.

-Otto Friedrich August Meinardus (2007), Two Thousand Years of Coptic Christianity, American Univ in Cairo Press.

-S.P Subramaniam (1980), ‘A Hindu View”, One God, Many Paths, Aliran: Penang.

-T.C The (1980), “A Buddhist View’, One God, Many paths, Aliran: Penang.

-The Star, 28 December 2007.

-The Sun, 24 December 2007.

- Utusan Malaysia, 6 Januari 2008.

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)