08.08.09 Sabtu 2009
Oleh Mohamad Sofee Razak
Kitab suci induk segala ilmu pengetahuan bagi bimbing manusia untuk kesejahteraan dunia, akhirat.
RAMAI yang khatam al-Quran sejak kecil dan bagi mereka yang mempunyai daya ingatan serta kemahuan yang kuat pula mampu menghafal keseluruhan isi kandungan kitab suci itu sehingga digelar al-Hafiz. Namun, berapa ramai yang berusaha menghafal atau khatam kitab terjemahan al-Quran atau sekurang-kurangnya habis sekali membaca sebuah al-Quran berserta terjemahan misalnya Tafsir Pimpinan Al-Rahman, Tafsir Quran Karim oleh Prof Dr H Mahmud Yunus dalam bahasa Melayu dan lain-lain kitab terjemahan yang popular di negara kita sekali seumur hidup.
Malah berapa ramai yang khatam membaca sekurang-kurangnya sekali sebuah kitab tafsir al-Quran yang muktabar seperti Tafsir At-Tabari, Tafsir Al-Qurtubi, Tafsir Ibnu Kathir, Fi Zilal al-Quran oleh Syed Qutb dan banyak lagi yang kini diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.
Amalan membaca al-Quran sangat digalakkan dan mendapat pahala namun lebih baik jika kita berusaha memahami apa yang dibaca serta mendalami pengertian dan segala isi kandungannya yang begitu komprehensif sebagai panduan hidup.
Al-Quran adalah kitab induk yang sangat lengkap mencakupi aspek kehidupan manusia seperti urusan ekonomi, politik, sosial, teknologi, sains, sejarah, ketenteraan, undang-undang dan sebagainya. Hakikat ini hanya dapat diketahui dan diterokai jika kita tahu makna setiap ayat yang dibaca. Jadi amat rugi jika kita tidak memahami apa yang dibaca, sedangkan al-Quran adalah perlembagaan hidup umat Islam dan mengandungi pelbagai hikmah, rahsia, petunjuk, pengajaran dan pedoman terunggul umat Islam sehingga ke akhir zaman.
Perkara ini adalah janji Allah melalui firman-Nya: "Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang keraguan padanya (tentangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa." (al-Baqarah: 2). Malah bagi menguatkan lagi peranan dan kedudukan al-Quran sebagai mukjizat, syafaat, sumber agung dan aset terpenting umat Islam seperti mana sabda Nabi Muhammad SAW dalam khutbah haji Wada' yang bermaksud: "Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepadanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah-Ku (hadis)".
Oleh itu menjadi keperluan kepada kita sebagai generasi al-Quran dan golongan pendakwah memahami serta menghayati apa yang dibaca dengan menelaah terjemahan dan tafsir al-Quran dan seterusnya melaksanakan segala ajarannya dalam kehidupan kita.
Sehubungan itu, kita perlu memiliki sekurang-kurangnya sebuah kitab terjemahan al-Quran dan juga koleksi kitab tafsir al-Quran muktabar di rumah serta di pejabat. Jika kita boleh membeli sebuah buku yang berharga ratusan ringgit, tidak adil jika kita tidak mampu membeli sebuah kitab terjemahan dan tafsir al-Quran sebagai bekalan pelaburan di dunia dan akhirat.
Dalam realiti hari ini yang begitu mencabar dan rencam, kitab terjemahan dan tafsir al-Quran sangat mustahak kepada umat Islam sebagai asas rujukan serta kompas kehidupan. Menurut ulama terkenal Dr Yusuf Al-Qardhawi, manusia dewasa ini amat perlu kepada tafsir al-Quran sehingga kefahamannya betul dan menepati kehendak Allah serta dapat beramal dengan lebih sahih lagi.
Justeru Allah menuntut daripada mereka agar sentiasa bertadabbur al-Quran. Ini membuktikan bahawa di samping kita membaca dan menghafal al-Quran, sudah tentu segala kandungannya juga perlu difahami dan direalisasikan agar kita dapat melihat dan merasai sendiri dengan jelas keindahan serta keunikan al-Quran.
Di samping itu dengan kecanggihan teknologi dan kemajuan ICT yang ada, umat Islam juga perlu berhati-hati apabila membaca atau membuat rujukan kepada terjemahan dan tafsir al-Quran maya yang begitu mudah diperoleh di internet kerana wujud ratusan laman web sedemikian yang menyediakan kandungan yang ditokok tambah, sesat dan meragukan oleh musuh Islam. Malahan ada laman web golongan yang mendakwa Islam liberal serta gerakan intelektual dari kalangan mereka yang terpengaruh dengan Orientalis yang giat menghasut umat Islam agar menolak kitab terjemahan dan tafsir al-Quran sedia ada bagi membolehkan kitab suci itu diterjemah dan ditafsir semula mengikut kehendak dan realiti semasa.
Dipetik dari berita harian
Oleh: Perihatin
No comments:
Post a Comment