Thursday, August 13, 2009
Apa itu kitab Al Quran
Umat Muslim dan Kristian sama-sama menuntut bahawa mereka masing-masing memelihara pegangan iman Nabi Ibrahim (as). Kedua-duanya menuntut bahawa Nabi-nabi mereka dan tulisan mereka telah memelihara wahyu Tuhan atau Allah dengan tepatnya. Tetapi apakah ertinya ‘Wahyu’ bagi kedua-kedua umat ini?
Kita semua yang ingin menyembah Tuhan Maha Esa Yang Benar bersetuju bahawa Tuhan mestilah mendedahkan ataupun memperkenalkan diriNya kepada kita. Kita tidak dapat ‘menemuiNya’ dengan daya usaha kita sendiri tetapi sebaliknya kita perlukan pendedahan wahyuNya kepada kita.
Tetapi bagaimanakah Allah memberikan wahyuNya?
“Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi) atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja) atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana. Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): Apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: Cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,” ( 42:51-52)
Ayat diatas dengan jelas menyatakan bahawa Allah s.w.t. tidak bercakap dengan manusia melainkan melalui suatu ruh – Quran (kalamullah) yang menghidupkan hati. Inilah sebabnya Allah 'mendedahkan' diriNya melalui Nabi-nabi terpilih yang digelar ‘Rasul’ yang bererti ‘yang diutus’. Nabi-nabi ini hanya manusia sahaja dan terhad kebolehan mereka. Wahyu dalam Islam ialah daripada Allah kepada manusia melalui nabi-nabi. Wahyu terakhir dan yang paling utama, menurut Islam, adalah Al-Qur’an. Ia diturunkan kepada Muhammad di antara 610-632 TM, melalui malaikat Jibril dalam proses yang dipanggil Nazil (‘untuk menurun’ tanzil ) yang membawa erti wahyu secara kata-demi-kata.
“(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz."( 85:21-22)
Wahyu yang akhir ini yang dibawa melalui perantaraan nabi Muhammad s.a.w. adalah suci dan tidak dapat didugai atau dikritik oleh manusia. Jadi Al-Qur'an yang kita miliki hari ini adapun suci dan muktamad dari sediakala dan tidak boleh diubahkan teksnya.
Kita sepatutnya menyanjung al-Quran ini yang diturunkan Allah dan janganlah mempersoalkan hujah-hujahnya. Dapatkah seorang hamba mempersoalkan pemiliknya? Tidak! Jadi seorang Muslim tidak boleh mempersoalkan al-Quran.
Semoga difahami
By: Perihatin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment