Mereka Tidak Sama
Suatu ketika, ada seseorang yang memuji seorang ulama salaf. Ketika itu wajah ulama salaf merah padam
dan menghayunkan tangannya ke wajah orang yang memujinya seraya berkata,
"Apakah di sisi Allah ada Tuhan selain Dia? "
Maksudnya tidak ada yang berhak diagungkan dan disucikan kecuali hanya Allah S.W.T. Adapun kita adalah orang-orang yang sangat senang dan gembira tatkala dipuji dan disanjung, namun ketika dikritik maka kita akan menjadi sangat marah.
Suatu ketika, Ibrahim al-Nakha'ie berada di dalam masjid. Kemudian ada empat orang datang dan duduk dekat dengannya. Seketika itu juga al-Nakha'ie terus berdiri dan pergi meninggalkan keempat orang tersebut. Ini dilakukan kerana dia takut terkenal.
Adapun kita, apabila di antara kita memiliki pengikut dan murid yang sedikit jumlahnya, maka hatinya akan bersedih. Namun jika ia melihat orang ramai yang menjadi pengikut dan muridnya, maka hatinya akan bangga dan sangat bahagia.
Suatu ketika, ramai orang yang berkata kepada Ibnu Sirin, salah seorang pembesar kaum dari golongan tabi'in,
"Kami pinta kamu berkenan untuk menjadi imam solat jenazah bersama kami."
Ibnu Sirin berkata, "Tidak mahu, kerana saya khuatir jika selepas solat nanti dan orang ramai pulang, mereka akan berkata kepada khalayak ramai bahawa sebentar tadi mereka solat bersama Ibnu Sirin."
Adapun kita adalah orang-orang yang gemar berlumba-lumba untuk menjadi imam, bersaing dan saling berebut untuk menjadi orang yang didepan.
Dahulu, setiap kali Umar bin Abdul Aziz (khalifah yang zuhud, soleh dan ahli ibadah) berbicara dan dia merasa pembicaraannya tersebut menarik, maka dia terus memotongnya dan diam kerana takut di dalam hatinya muncul perasaan ujub (sombong dan bangga terhadap terhadap diri sendiri).
Adapun kita, setiap kali para pendengar kita semakin bertambah banyak, maka kita akan memanjangkan pembicaraan kita, semakin meninggikan suara dan begitu senang untuk terus bicara, disebabkan mengikuti hawa nafsu. Abdullah bin Mubarak (seorang yang alim dan warak) tidak mahu menulis pendapat-pndapatnya.
Dia berkata,
"Siapalah kita hingga berani menulis pendapat kita sendiri."
Manakala kita sibuk dengan orang-orang yang kerap memuji dan melebih-lebihkan diri kita, malah di antara kita ada yang penuh semangat berkata,
"Saya telah mengarang buku ini dan itu, saya telah menulis ini dan itu, saya telah melakukan analisis terhadap kitab ini dan itu, saya telah membuat ringkasan kitab ini dan itu, saya telah menghafal ini dan itu, saya telah membaca dan mempelajari buku ini dan itu."
Apakah kamu ingin tahu kenapa kita tidak sama dengan orang-orang terdahulu?
Jawapannya adalah kerana mereka mengetahui dan memahami sedangkan kita bersikap ingkar, mereka menasihati sedangkan kita menipu, niat mereka ikhlas dan tulus sedangkan niat kita keruh bercampur dengan debu-debu riak dan ujub, mereka hanya menginginkan Allah S.W.T. sedangkan kita di samping menginginkan Allah S.W.T. juga menginginkan yang lain. Kami meminta perlindungan kepada Allah S.W.T. daripada sikap menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain sedangkan kita mengetahui perkara tersebut. Kami meminta ampunan kepada-Nya atas bentuk-bentuk kesyirikan yang tidak kita ketahui dan tidak kita sedari.
By Perihatin
No comments:
Post a Comment