Zamzuri Abdullah Fri. 12:03
Khadam ialah pembantu atau orang suruhan yang akan membantu tuannya apabila di minta. Khadam pada asasnya terbahagi kepada dua golongan, iaitu :-
1. Khadam Asal.
Khadam asal adalah terdiri daripada rohani Malaikat dan Jin Islam peringkat tinggi yang nama mereka adalah seperti nama malaikat. Ia tidak mendatangkan apa-apa syarat kepada ahlinya untuk berkhidmat. Khadam jenis ini adalah diharuskan oleh syarak.
2.Khadam Bersyarat.
Khadam jenis ini adalah terdiri daripada Jin alam rendah samada terdiri daripada Jin Islam atau Jin kafir. Golongan ini datang kepada ahlinya dengan perjanjian dan beberapa syarat khusus dan umum, samada yang bertepatan dengan hukum syarak ataupun yang diharamkan oleh syarak. Khadam jenis ini adalah diharamkan oleh Islam.
Khadam bersyarat ini akan datang menolong ahlinya dengan melalui salah satu daripada cara berikut :-
1. Dampingan Luaran.
Khadam ini akan mendampingi dan menolong tuannya melalui luaran sahaja, iaitu hanya melalui perbuatan, ucapan atau qasad hati.
2. Dampingan Dalaman.
Khadam jenis ini juga dikenali sebagai Tanasakhul Aruah atau penjelmaan khadam atau Jin dalam diri seseorang (menurun) dengan menamakan diri mereka, semasa menurun dengan nama-nama tertentu seperti Nabi Khaidir, Panglima Hitam, Wali Songo dan sebagainya. Jin yang meresap melalui cara ini membolehkan orang yang diresapi itu menunjukkan keajaiban dan perkara-perkara yang luar biasa seperti bercakap dalam bahasa Siam, Jawa, Arab dan sebagainya sedangkan sebelum itu orang tersebut tidak mengetahui sedikit pun bahasa-bahasa tersebut.
Punca Lahir Dan Berkembangnya Amalan-Amalan Karut.
Dari situ amalan Jahiliah mula bertapak semula dan ianya diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain sehingga ke hari ini dan seterusnya jika tidak di benteras akan berterusan hingga ke hari kiamat. Amalan yang ada hubung kait dengan puak Jin alam rendah ini pun berpindahlah dari satu jasad ke satu jasad yang lain pada anak cucu cicit pengamal tersebut, yang mana ianya di panggil " SAKA-BAKA " atau " DATUK-NENEK ".
Kebiasaannya kesinambungan ini terjadi dengan anak atau keturunan mereka di suruh menggantikan tempat datuk nenek mereka setelah menerima isyarat-isyarat samada melalui mimpi seperti datangnya seorang tua berjubah putih atau orang tua yang berpakaian hitam atau yang menyerupai datuk nenek mereka yang pada hakikatnya adalah jelmaan daripada Jin, yang menyuruh mereka mewarisi ilmu kedukunan, ilmu latihan pertahanan diri, ilmu perbidanan dan sebagainya atau melalui perjanjian yang di terima daripada ibu atau bapanya sebelum mereka meninggal dunia.
Bagi anak cucu yang menerima amalan dari datuk nenek mereka, mulailah mereka mematuhi syarat-syarat atau juga di kenali sebagai "Jamu Jin " yang telah ditetapkan itu, mengikut jenis Jin yang mereka sahabati tersebut, antaranya :-
Syarat dan Alatan Jamu Jin.
Jika Jin Islam yang soleh dari Alam Rendah.
Antara syarat-syaratnya yang biasa ialah syarat yang tidak bertentangan dengan hukum syarak yang wajib seperti, tidak boleh meninggalkan sembahyang lima waktu, tidak boleh meninggalkan puasa Ramadhan, patuh dan taat kepada kedua ibu bapa, mesti berbuat baik kepada orang tua, tidak boleh makan dan minum benda-benda yang haram, tidak boleh berjudi dan sebagainya.
Pada zahirnya syarat ini nampak baik kerana melaksanakan syariat Allah, tetapi yang menjadi kesalahan pula ialah, ketaatan ini berlaku setelah seseorang itu mengikat janji dengan khadam itu untuk menunaikan hajatnya setelah semua perintah tersebut dilaksanakan dengan sempurna.
Jika Jin Islam yang fasik.
Antara syarat perjanjian yang mesti dipatuhi ialah terdiri daripada perkara-perkara yang harus di sisi syarak seperti, nasi kuning, ayam panggang, bertih, telur separuh masak, darah ayam hitam, kain yang berwarna, bubur merah ( bubur kacang hijau yang di masak dengan gula merah ), bubur putih, bertih yang di tabur di atas telur dadar, tidak boleh lalu di bawah penyidai kain, memakai pakaian khas seperti warna hijau atau kuning dan sebagainya.
Biasanya majlis tersebut diiringi dengan bacaan tahlil dengan menjemput orang ramai kemajlis itu. Meski pun kerja ini baik namun tujuan jamuan itu diadakan adalah bagi memenuhi perjanjian dengan khadam. Perkara dan syarat inilah yang menjadi kesalahan di sisi syarak.
Jika Jin yang kafir.
Syarat perjanjian yang mesti dipatuhi jika khadamnya terdiri daripada Jin kafir ialah melibatkan perkara-perkara yang diharamkan oleh hukum syarak seperti, ayam hitam yang di sembelih dengan bulu dan darahnya tidak di buang ( semua bulu-bulu dan isi perutnya tidak boleh di buang merata-rata, di panggang dan diletakkan tertiarap di atas pulut kuning atau pulut putih ), kemian yang di asap untuk memanggil Jin, senjata keturunan seperti keris, lembing, pedang untuk di puja dan sebagainya, darah kambing, semah, sangkak, ancak, upih dan sebagainya.
Kebiasaanya upacara seperti ini hanya dilakukan untuk keluarga sahaja atau berseorangan dengan di iringi dengan bacaan serapah, jampi, doa atau kadang kalanya bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Selepas itu samada " Jamu " itu di beri makan kepada keluarganya atau diletakkan di suatu tempat seperti di bawah pokok besar atau di mana yang diarahkan kononnya untuk makanan roh datuk nenek.
Akibat Mematuhi Perjanjian.
Dari saat orang yang berkenaan membuat perjanjian, mulailah mereka mematuhi syarat dan perjanjian itu samada dengan mematuhi segala hukum syarak atau mengadakan " Jamu " untuk khadam-khadam tersebut bagi menjaga kepentingan (amalan keturunan) dan menjaga keselamatan diri mereka dan kaum keluarga daripada di ganggu oleh jembalang-jembalang keturunan yang pada sangkaan mereka adalah terdiri daripada ruh datuk nenek mereka.
Setelah persetujuan di terima atau persetujuan secara keturunan di buat (melalui zuriat ) terjadilah perkara-perkara yang luar biasa ke atas orang yang membuat perjanjian tersebut, antaranya :-
1.Tidak sedarkan diri selama beberapa hari , setelah sedar mereka boleh bersyarah tentang agama atau terus boleh mengubati orang sakit yang pelik-pelik dan sebagainya.
2. Mereka boleh mengadakan dan mewujudkan barang-barang seperti kemian yang di dalamnya terdapat cincin atau batu permata atau dapat mengambil barang-barang yang di tanam oleh orang tanpa pergi ke rumah tersebut dan sebagainya.
3. Boleh dan mahir latihan pertahanan diri walaupun sebelum ini beliau tidak pernah belajar apa-apa jenis latihan pertahanan diri.
4. Boleh menjadi Tok Bidan bagi menolong orang perempuan yang hendak bersalin.
5. Boleh menjadi Tok Dukun atau Tok Pawang yang boleh menurun / menyelap dengan mendakwa dirinya sebagai Nabi Khaidir, Syeh Abdul Kadir Jailani, Panglima Hitam, Wali Songo atau Tok Hijau dan sebagainya.
6. Boleh menjadi Tok Keramat yang mahir dan boleh bercakap tentang ilmu-ilmu agama dan mampu melakukan perbuatan yang pelik-pelik dan luar biasa seperti berjalan di atas air, ghaib dan sebagainya.
7. Sesetengahnya jika penerima tersebut adalah perempuan, maka beliau akan disetubuhi terlebih dahulu oleh Jin (khadam ) tersebut sebagai tanda perhubungan telah terjalin.
Semua kelakuan dan kebolehan tersebut mengikut apa yang telah mereka warisi daripada perhubungan dengan khadam-khadam yang terdiri samada Jin Islam atau Jin kafir. Setelah perjanjian dipersetujui mulalah mereka mengadakan upacara-upacara tertentu sebagai pemujaan terhadap khadam tersebut, seperti mengadakan majlis jamuan atau tahlil setahun sekali dan di arah mengunjungi kubur kubur yang di anggap orang-orang soleh atau wali-wali Allah dengan membawa makanan tertentu atau seperti yang telah dipersetujui dengan menyajikan makanan-makanan khas seperti, pulut kuning, pulut putih, telur separuh masak, kelapa muda, kemian, ayam panggang, kuih muih yang terdiri daripada 7 jenis,berjenis-jenis dan berbagai-bagai lauk pauk dan sebagainya.
Kesan Akibatnya Ke Atas Pengamal Amalan Ini .
Sekiranya tidak di lakukan upacara seperti di atas maka segala hajatnya tidak ditunaikan atau si waris atau keluarganya akan mendapat kesusahan dan bencana, samada semasa masih hidup, di saat-saat kematiannya dan setelah kematian. Contohnya seperti :-
Semasa Masih Hidup
a.Hidupnya sentiasa bermasalah
b.Berniaga tidak menjadi, buatlah kerja apapun tidak akan berjaya, seolah-olah ada sahaja yang menghalang
c. Banyak halangan dalam pekerjaan yang diceburi.
d.Sering sakit yang pelik-pelik yang tidak dapat di kesan oleh doktor seperti histeria, gila isim, panas baran, dapat anak yang cacat dan huduh rupanya, selalu tidak sedarkan diri, sakit kepala bila tiba waktu pagi, waktu matahari jatuh, keluarga selalu berkelahi, di ganggu mimpi ngeri dan menakutkan dan sebagainya.
e. Hilang anak dalam kandungan hasil tumpangan Jin semasa melakukan persetubuhan dan sebagainya.
Di Saat-saat Kematian.
Saat kematian orang yang bersahabat dengan Jin biasanya amat menyulitkan kerana kesukaran untuk melepaskan diri daripada khadam Jin yang telah sekian lama menjadi teman karibnya. Antara syarat-syarat untuk kematian atau memudahkan kematiannya iaitu bagi membolehkan Jin khadamnya keluar ialah :-
a. Perlu membuka perabung rumah
b. Mesti mencungkil lantai rumah
c. Menyapu sedikit tanah ke muka pesakit
d. Membubuh ranting kering di atas dada si sakit
e. Membuat kuih tujuh jenis dan di panahkan ke bukit
f. Memecahkan dinding rumah si sakit
g. Meletakkan si sakit di rumah kosong.
Kematian.
Kadang-kadang berlaku juga kejadian yang aneh-aneh ke atas si sakit yang bersahabat dengan Jin ini sewaktu kematiannya. Antara kejadian-kejadian tersebut adalah seperti ;-
a. Mati sudah dua atau tiga hari tetapi masih kelihatan hidup dan sangat kuat makan, bila sudah mati mayat itu telah berbau busuk dan hampir reput.
b. Mayat ditumbuhi bulu yang banyak
c. Mayat di bawa lari oleh puak-puak Jin
d. Mata dan mulut mayat kelihatan ternganga dan kelihatan ngeri
e. Selepas kematiannya kadang kala didapati diri si mati itu (sebenarnya Jin peliharaannya) balik semula kerumah dan ada yang tidur serta bersetubuh dengan isterinya. (yang pada sangkaan isteri si mati, bahawa suaminya itu hidup semula atau bekas suaminya itu keramat atau wali )
f. Sesetengah mayat pula selepas kematiannya hilang di bawa lari oleh Jin peliharaannya ke dalam hutan untuk santapan puak-puak Mereka.
Pantang Larangnya.
Pewaris keturunan ini atau penerima amalan ini tidak boleh melanggar pantang larang yang telah ditetapkan, kerana akibat yang buruk akan terjadi ke atas dirinya atau ke atas keluarganya. Antara pantang larang tersebut ialah :-
a. Tidak boleh pakai kain masuk melalui kepala
b. Tidak boleh lalu di bawah penyidai kain
c. Tidak boleh menziarahi jenazah
d. Tidak boleh makan atau minum di kedai orang kafir
e. Tidak boleh meninggalkan bacaan serampah atau jampi
f. Tidak boleh sembahyang di masjid atau berjemaah
g. Tidak boleh masuk ke rumah dengan kaki kanan
h. Tidak boleh memakan benda-benda bernyawa dan sebagainya.
Ringkasnya dari keterangan-keterangan yang telah di kemukakan di atas jelaslah bahawa berkawan dan bersahabat dengan Jin memberi banyak keburukan kepada manusia samada semasa mereka masih apatah lagi setelah mereka meninggal dunia. Tidak kira apa juga niat dan sebab mereka menjadikan Jin sebagai sahabat atau Khadam mereka.
Menurut sesetengah ulama, berkawan denagan Jin boleh menyebabkan manusia dan Jin yang menjadi sahabatnya itu, jika Jin tersebut terdiri dari pada Jin Islam, sama-sama menjadi kafir dan kedua-duanya akan di humbankan oleh Allah kedalam Neraka. Keadaan ini berlaku kerana manusia yang bersahabat dengan Jin merasa Takbur dan lupa daratan kerana mereka memiliki kuasa yang luar biasa yang tidak boleh di miliki oleh manusia lain dan apa-apa yang mereka hajati dapat diperolehi melalui pertolongan Jin tersebut.
Mereka juga menganggap mereka lebih berkuasa daripada Allah dan menyuruh manusia lain meminta pertolongan hanya kepada mereka sahaja Perbuatan ini menyebabkan mereka Syirik kepada Allah kerana meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah, sedangkan Syirik merupakan suatu dosa yang amat berat dan tidak akan di ampun oleh Allah.
Manakala Jin yang menjadi Khadam manusia, menjadi kafir pula kerana mereka juga telah Takbur kepada Allah kerana seronok di sanjung dan di puja oleh manusia. Kadang-kala Jin tersebut juga mengaku mereka adalah tuhan dan menyuruh manusia menyembahnya dengan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti Jamu Jin setahun sekali, kenduri, sembelih kambing, korbankan sesuatu kepada Jin dan sebagainya, jika inginkan pertolongan dari mereka.
Dikutip oleh: Perihatin
No comments:
Post a Comment