Antara Politik dan Bil Hikmah
.
Tengku Puteh Tippi Iktibar Dari Sejarah Ahlul-Bait Rasulullah SAW
Kita perlu belajar dari perjalanan sirah ahlul-bait Rasulullah SAW bahawa kuasa pemerintahan adalah semata-mata urusan Allah SWT semata-mata. Jatuh bangunnya sesebuah dinasti itu adalah takluk bawah takdirNya. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mengejar kuasa sebagai matlamat, ianya merupakan anugerah Allah SWT atas baginda yang kemudian dimenafaatkan untuk tujuan perkembangan agama.
Ambillah iktibar daripada kisah Nabi Sulaiman AS seperti yang diriwayatkan dalam sebuah Hadeeth Rasulullah SAW:
“Nabi Sulaiman disuruh memilih antara harta, kerajaan dan ilmu, maka memilih Sulaiman akan ilmu, maka diberi Allah akan kerajaan dan harta.” (HR Dailamy)
Rasulullah SAW sendiri pernah ditawarkan KUASA oleh puak Musyrikin Mekah asal sahaja baginda berhenti dari menjalankan dakwah Islamiyyah pada masyarakatnya, namun baginda tetap bertekad untuk meneruskan perjuangannya seperti sabdanya:
“Demi Allah jika mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan dakwah Islamiyyah, pasti tak akan aku tinggalkan, sebelum aku diberi
Sebuah lagi Hadeeth Rasulullah SAW membuktikan bahawa kuasa pemerintahan amat berkait rapat dengan Qada’dan Qadar Allah. Perhatikan;
“ Tegaklah pada kamu masa kenabian sampai beberapa lama yang dikehendaki Allah, maka terjadilah ia, kemudian diangkat. Kemudian tegaklah selepas itu pada kamu masa khalifah atas manhaj kenabian, maka terjadilah ia padamu beberapa lama yang dikehendaki Allah, kemudian ia diangkat. Kemudian terjadilah padamu masa kerajaan yang menggigit (Mulkan Ad Dhudhan), maka terjadilah ia beberapa lama yang dikehendaki Allah, kemudian diangkat. Kemudian tegaklah selepas itu kerajaan menyeleweng (Mulkan Jabbariyyan) terjadilah ia beberapa lama yang dikehendaki Allah, kemudian diangkat. Selepas itu tegaklah padamu Khalifah atas manhaj kenabian, yang mengamalkan sunnah Rasul di kalangan manusia. Islam akan tersebar luas di mukabumi yang diredhai oleh penghuni langit dan bumi. Langit tidak akan meninggalkan setitis pun air hujan, kecuali ia mencurahkannya. Dan bumi tidak akan meninggalkan tanaman dan berkatnya kecuali ia akan mengeluarkannya.” (HR Thabarani)
Ringkasnya untuk kembali kepada kegemilangan ummah, umat Islam hari ini perlu membuang mainan politik sekular yang mencemarkan itu dan tumpukan kudrat mereka pada tanggungjawab dan khidmat agama. Kembalikan, betulkan, mantapkan serta pereratkan hubungan Hablumminallah dan Habluminannas yang merangkumi keseluruhan cara hidup yang dapat menggapai keredhaan Allah SWT, iaitu ;
i. Aqidah; iaitu pegangan yang hakikat. Ianya merangkumi kepercayaan, pegangan, doktrin dan yang bersangkutan.
ii. Ibadat, iaitu perhubungan diantara makhluk dengan Allah. Ianya merangkumi perkara-perkara seperi solat, puasa, zikr, kebersihan dan sebagainya.
iii. Muasyarat, perhubungan antara seorang individu dengan masyarakat atau adab bermasyarakat. Contohnya adab sesama keluarga, adab dengan orang tua, jiran, guru, pemerintah dan sebagainya.
iv. Muammalat; perhubungan antara seorang individu dengan individu lain. Contohnya transaksi perniagaan, perjanjian jual beli, perjanjian hutang piutang, amanah dan yang berkaitan.
v. Akhlaq atau Tasawwuff; perhubungan antara seorang individu dengan dirinya sendiri. Ianya termasuklah soal pembersihan jiwa dan nurani, zikir, menjaga moral dan sebagainya.
Ingatlah bahawa politiklah yang mula-mula sekali memecahbelahkan umat Islam dalam peristiwa Tahkim Billah kerana sebagai sifatnya politik manusia, ia dibuat bukan berlandaskan pegangan Benar-Salah, tetapi kerana kepentingan kuasa. Bukan tidak boleh berpolitik, tetapi harus difahami ianya bukan untuk santapan rakyat awam tetapi adalah tanggungjawab serta ijmak golongan Ahl al-Hall Wa Al-Aqd (Anggota Pemilih) yang telahpun digariskan kelayakan-kelayakannya mengikut hukum-hakam agama .
Sirah ahlul-bait Rasulullah SAW harus dipelajari oleh umat Islam, bahawa urusan kuasa bukan boleh dipaksa-paksakan, apatah lagi dalam hal merebut kuasa dalam sistem politik sekular hari ini. Sebenarnya ada cara yang lebih baik dan berkesan yang dapat membantu umat Islam MENDAPATKAN KEMBALI KEKUATAN SERTA KEDAULATAN MEREKA tanpa menggunakan perantara politik merebut kuasa yang banyak terkandung fitnah dan amat memecah-belahkan itu.
Perhatikan sejarah ahlul-bait Rasulullah SAW yang bersangkutan dengan hal ini.
Sabda baginda SAW :
“ Dari Abdullah bin Mas’ud RA katanya, ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang sekelompok anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihat akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinangan dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya:’ Mengapakah kami melihat pada wajahmu sesuatu yang kami tidak sukai?”. Baginda menjawab. “ Kami ahlul-bait telah Allah SWT pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran sepeninggalanku kelak sehingga datangnya suatu kaum dari sebelah timur yang membawa bersama mereka panji-panji hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan memperolehi kemenangan, lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu, tetapi mereka tidak menerimanya, hingga mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana bumi dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak diatas salji. Sesungguhnya dia adalah Imam Mahdi.”
(HR Abu Daud, At-Tarmizi, Ibnu Majah)
Hakikatnya, kempen membenci dan menzalimi ahlul-bait yang bermula semenjak zaman Sayyidina Ali RA tidak pernah reda dan padam sampai saat ini. Bagaimanapun dalam buku ini kita tidak akan mengupas sejarah kezaliman yang dibuat keatas ahlul-bait Rasulullah SAW , cuma kita akan memberi fokus kepada sejarah perkembangan perjuangan mereka yang mana dengan beralih prinsip daripada mencari kuasa sebagai alat atau perantara untuk khidmat agama, kepada melaksanakan tanggungjawab agama secara ‘bil hikmah’ semata-mata tanpa melibatkan diri dalam gejolak politik, telah memberikan faedah yang amat luarbiasa kepada perjuangan mereka yang dapat dimenafaatkan secara langsung oleh umat Islam.
Rujuk semula kepada peristiwa perpecahan yang berlaku diantara penyokong-penyokong Sayyidina Ali dalam masalah perselisihannya dengan Sayyidina Muwaiyyah, iaitu yang berpecah kepada golongan Khawarij yang langsung menentang Sayyidina Ali dengan golongan Syi’atu ‘Ali yang tetap setia kepadanya. Perpecahan hebat yang membawa kepada Perang Siffin diantara pihak Sayyidina Ali dengan Muawiyah telah menyemarakkan hati-hati yang panas, dan ini telah membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan zindiq dan munafik untuk memusnahkan kemurnian Islam dari dalam.
Kekhalifahan Muawiyyah kemudiannya dilanjutkan oleh dinastinya yang terkenal dengan jolokan Dinasti Umaiyyah. Khalifah-khalifah seterusnya dalam Dinasti Umaiyyah telah berlaku kejam kepada cucu-cicit Rasulullah SAW (kecuali khalifah Umar bin Abdul Aziz) kerana merasa terancam dengan martabat ahlul-bait yang diutamakan di sisi ajaran agama Islam.
Bagaimanapun, kekejaman mereka telah menjadi ‘backfire’, kerana kesannya telah mendatangkan belas simpati yang jauh menusuk kalbu dari kalangan umat Islam. Kezaliman yang dibuat oleh khalifah-khalifah Umaiyyah jauh tidak berpadanan dengan martabat ahlul-bait yang ramai mempunyai akhlak Nabawiyyah dengan sifat sufisme yang tinggi seperti jujur, tulus, berakhlak mulia, tawadhu’, taqwa, kedermawanan, kepimpinan dan keramah-tamahan. Tokoh-tokoh ahlul-bait seperti Imam Ali Zainal Abidin, Muhammad Baqir, Jaafar Sadiq, Zaid, Musa Al-Kazim, Hassan Al-Muthana dan ramai lagi terbilang akhlak dan keperibadian mulia, sedangkan kebanyakan khalifah-khalifah Umaiyyah jauh berbeza daripada mereka.
Perbandingan ini telah mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan umat Islam yang mahukan keturunan Rasulullah SAW menjawat kerusi Khalifah. Mereka rata-rata berpendapat;
Bukankah ahlul-bait ramai yang memiliki ciri-ciri kelayakan (meritrokrasi) sebagai kepimpinan tertinggi umat Islam?
Bukankah mereka harus diberi keutamaan berdasarkan ketinggian martabat mereka di sisi ajaran Islam (berbanding dengan khalifah-khalifah Umaiyyah)?
Bukankah jawatan Khalifah sepatutnya diserahkan kembali kepada pemuka-pemuka umat Islam sebagai syarat penyerahan kerusi Khalifah daripada Sayyidina Hassan kepada Muawiyah, mengapa pula diambil oleh anaknya Yazid yang tidak berkelayakan itu?
Mengapakah ahlul-bait Rasulullah SAW yang serba ikhlas dan taqwa itu menjadi mangsa politik, mengapa Sayyidina Ali dibunuh, mengapa Sayyidina Hassan diracuni, mengapa Sayyidina Hussein dipenggal lehernya, mengapakah kaum kerabat ahlul-bait yang menjadi kesayangan Rasulullah SAW ramai yang menjadi korban dalam tragedi Karbalak???
Persoalan-persoalan yang sentiasa bermain di benak umat Islam ini, yang melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana cucu-cicit kecintaan Nabi SAW dizalimi sekeras-kerasnya oleh kebanyakan khalifah-khalifah Umaiyyah, sedangkan dalam masa yang mereka tetap tabah, bersabar dan bertawadhu’ menempuh segala ujian yang amat menonjolkan keperibadian mereka yang mulia itu, maka sudah tentu menjadi hasrat terpendam umat Islam untuk menggantikan khalifah Umaiyyah dengan tokoh-tokoh ahlul-bait Rasulullah SAW.
Menifestasi daripada kecintaan, simpati, kemuliaan dan kekaguman umat Islam kepada ahlul-bait, pendirian bahawa golongan merekalah yang hakikatnya terserlah WIBAWA, AKHLAK, TAQWA, ILMU dan KEPIMPINAN yang tinggi, ditambah dengan KEUTAMAAN (nasab) di sisi agama Islam, akhirnya dizahirkan melalui sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada penggulingan Dinasti Umaiyyah oleh kelompok Abbasiyyah, yang menggambil kesempatan di atas imej dan kemurnian ketrampilan ahlul-bait ahlul-kisa’ (ahlul bait yang paling ‘pekat’) yang menjadi kaum kerabat mereka dari Bani Hasyim. Malangnya, kelompok yang menggulingan Khalifah Umaiyyah yang terakhir itu berbuat demikian bukan atas nawaitu yang betul, bukan atas dasar pemurniaan semula kepimpinan ummah, melainkan semata-mata atas tujuan politik peribadi juga, iaitu merebut kekuasaan.
Maka apabila khalifah-khalifah Abbasiyyah berjaya menerajui kerusi khalifah, kekejaman, tekanan dan penyingkiran ahlul-bait tetap diteruskan, tak ubah seperti halnya yang terjadi di zaman Dinasti Umaiyyah.
Sikap khalifah-khalifah Abbasiyyah ini mendatangkan kekecewaan dan keinsafan yang teramat mendalam kepada alim-ulamak di zaman itu, yang kemudiannya meletakkan harapan kepada beberapa tokoh ahlul-bait ahlul-kisa’ seperti Muhammad Zinaff bin Abdullah, saudaranya Ibrahim bin Abdullah dan Muhammad Al-Ma’mun untuk memperbetulkan keadaan, kerana ajaran Islam menegah sekeras-kerasnya kezaliman atas ahlul-bait Rasulullah SAW. Maka berdasarkan kepada perasaan tanggungjawab yang tinggi (duty bound) untuk menyelamatkan kemurnian kepimpinan umat Islam, maka beberapa gerakan penggulingan Khalifah telah dibuat oleh beberapa tokoh ahlul-bait ini dengan mendapat sokongan daripada imam-imam mujtahid Feqah zaman itu seperti Imam Malik dan Imam Abu Hanifah .
Malangnya kerana sudah Qada’ dan Qadar Allah satu demi satu usaha mereka menemui kegagalan. Berlebih lagi dengan dengan adanya golongan Khawarij dan Syiah Pelampau, atau Syiah Rafidhah yang mengeruhkan keadaan, akhirnya menyebabkan ahlul-bait Rasulullah SAW menjadi patah semangat. Kemuncak kepada gejolak politik hebat di bumi Arab ini ialah kekacauan dan keganasan yang dicetuskan oleh kaum Zinj (bekas hamba Habsyi) dan Qaramithah yang tidak mampu dibendung oleh pemerintah Abbasiyyah, ironisnya dalam masa yang sama mereka masih mempunyai banyak ruang dan masa untuk terus menerus membuat berbagai penyiksaan kepada golongan ahlul-bait yang dianggap sebagai ancaman kepada kedudukan mereka di kerusi Khalifah yang empuk itu.
Disebabkan fitnah, huru hara, haru-biru dan keadaan yang kalut ini, maka ramai ahlul-bait mula berputus asa untuk mengembalikan kemurniaan Islam dalam Daulah Abbasiyyah melalui perampasan kuasa. Di kalangan mereka ada yang mengambil keputusan untuk berhijrah mencari kehidupan baru di tempat-tempat lain supaya dapat terhindar dari kezaliman pemerintahan Abbasiyyah, sebagaimana yang pernah dilalui oleh nenda mereka sendiri Rasulullah SAW yang berhijrah ke Madinah kerana tekanan dan kezaliman kaum Musyrikin Mekah.
Antaranya termasuklah suatu peristiwa penghijrahan yang terkenal dalam sejarah perkembangan Islam, iaitu penghijrahan Imam Ahmad bin Isa, atau Ahmad Al-Muhajir dan kaum kerabatnya, berhijrah kerana Allah, demi mencari tempat baru yang dapat dijadikan tapak buat menyambung semula tugasan nenek moyang dalam memesatkan dakwah Islamiyyah tanpa perlu terlibat dalam gejolak politik yang memudaratkan itu. Dengan ketulusan niatnya, hijrah Imam Ahmad Al-Muhajir telah diberkati oleh Allah SWT. Dari titisannya telah memberanakkan wali-wali karamah, da’iee-da‘iee yang gigih serta alim-ulamak yang terunggul yang bakal meninggalkan warisan Islam yang besar di benua India dan Alam Nusantara kelak.
Keturunan Imam Ahmad Muhajir, iaitu Sayyid Muhammad ibni Ali, yang dikenali sebagai Syeikh Muhammad Al-Faqeh Al-Muqaddam telah mempelopori tindakan ‘ubah prinsip’, iaitu dengan mengambil sikap berkecuali dalam gejolak politik dan menumpukan semata-mata kepada urusan dakwah, pengajian Islam dan amalan Tasawuff. Beliau telah mengajak kaum-kaum Sayyid supaya meletakkan senjata mereka dan menumpukan diri sepenuhnya kepada khidmat agama. Beliau merupakan orang pertama dari kaum Alawiyyah yang menceburkan diri dalam bidang Tasawuff dan mengasaskan TARIQAH ALAWIYYAH pada abad ke 13 Masihi . Semenjak itu golongan Sayyid lebih dikenali sebagai golongan yang mempunyai pengaruh sufi yang kuat pada aliran pemikiran dan cara hidup mereka .
Yang menariknya, pilihan ramai dari kalangan ahlul-bait Rasulullah SAW untuk menjadi alim-ulamak, khususnya MUBALIGH-MUBALIGH SUFI telah ditakdirkan mendatangkan kesan yang tidak terjangkau oleh pemikiran mereka mahupun umat Islam secara umumnya.
Di zaman-zaman belakangan mereka bukan sahaja menjadi alim-ulamak sufi yang mempunyai KARAMAH dan BARAKAH yang dapat dimenafaatkan oleh umat Islam dalam saat-saat yang diperlukan (khususnya dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah pada tempat-tempat yang bermasalah atau dalam kempen jihad memerangi orang-orang kafir), malahan mereka juga dikurniakan Allah SWT daulah-daulah Islamiyyah yang dapat membantu memantapkan kerja agama mereka sebagai memberikan kesinambungan kepada kerja nenek moyang mereka dari zaman Rasulullah SAW lagi dalam usaha menebarkan sayap Islam di seluruh pelosok mukabumi ini.
Ringkasnya atas keikhlasan dan kegigihan khidmat agama mereka serta penonjolan akhlak yang baik serta hikmah yang sempurna, Allah SWT telah mengganjarkan mereka KUASA dalam bentuk Daulah-Daulah Islamiyyah, khususnya di benua India dan Alam Nusantara. Mereka datang sebagai alim-ulamak dan para mubaligh sufi, melarikan diri dari kemelut politik bumi Arab yang penuh fitnah dan tragedi itu, tetapi darah Rasulullah SAW yang mengalir dalam diri mereka yang tersohor dalam bentuk taqwa, wibawa, kepahlawanan dan kepimpinan telah menyebabkan mereka atau keturunan mereka terpilih menjadi Raja-Raja Islam.
Setelah dianugerahkan kuasa sebagai Raja-Raja Islam khususnya di Alam Nusantara ini, ahlul-bait Rasulullah SAW telah menjalinkan hubungan yang mesra dan akrab bukan sahaja dengan Syarif-Syarif Mekah dan para Naqib di Hadhramaut, malahan juga dengan khalifah-khalifah Dinasti Othmaniyyah, iaitu berbeza dengan keadaan mereka di zaman khalifah-khalifah Umaiyyah dan Abbassiyyah dahulu. Hubungan yang akrab inilah yang menjadi kunci kekuatan ummah ( gabungan ampuh diantara umarak, ulamak dan ahlul-bait) pada suatu masa dahulu.
Bagaimanapun apabila telah sabitnya takdir Allah, muncul zaman Mulkan Jabariyyan yang membawa bersamanya kerajaan-kerajaan menyeleweng. Tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh umat Islam walaupun golongan umarak dan ulamak dahulukala telah bekerja keras sehingga menumpahkan darah yang bukan sedikit demi menghalang kemunculan gelombang Mulkan Jabariyyan itu.
Bagaimanapun kita yakin dengan janji Allah bahawa zaman Mulkan Jabariyyan akan berakhir jua dan bakal digantikan dengan era ‘pemerintahan Khalifah yang tertegak atas manhaj Nubuwwah’.
Dan demi keyakinan yang tidak berbelah-bahagi ini, maka umat Islam harus mencontohi sirah Rasulullah SAW dan ahlul-bait baginda yang menumpukan khidmat semata-mata kepada urusan DAKWAH dan TARIQAH, serta memperbetulkan mana-mana kesilapan pegangan Aqidah dan amalan Feqah supaya terbendung dalam firqah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Supaya dapat melahirkan ramai Insan Kamil dan Aulia’ Allah yang dapat dimenafaatkan martabat serta keistimewaan mereka di sisi Allah SWT dalam saat-saat yang diperlukan seperti keadaannya hari ini.
Oleh itu haruslah umat Islam hari ini mengambil iktibar dari peristiwa tersebut. Pandang ke langit, bukan ke peti-peti undi pilihanraya. Itulah saham yang paling baik yang harus menjadi pelaburan umat Islam di Akhir Zaman ini. Itulah saham yang mampu mengembalikan kekuatan dan kedaulatan ummah kerana ianya akan melahirkan tokoh-tokoh umarak yang besar seperti Khalifah Omar Abdul Aziz, Khalifah Harun Al-Rasyid, Khalifah Al-Mansur, Sultan Abdul Rahman I, II, III Andalusia, Sultan Muhammad Fatih Othmaniyyah, Sultan Osman Ghazi Othmaniyyah, Sultan Murad Othmaniyyah, Sultan Salahuddin Al Ayyubi Mesir, Maharaja Auarangzeb India, Sultan Shah Muzaffar Haleem Gujerat, Sultan Shah Mohammad Gujerat, Sultan Qutbudden Ahmad Gujerat, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam Acheh, Sultan Muzaffar Shah Melaka, Sultan Babullah Ternate, Sultan Saiful Rijal Brunei dan ramai lagi .
Dan itulah saham yang akan melahirkan ulamak-ulamak yang terunggul dan karamah seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani, Imam Al-Junaid Al-Baghdadi, Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Muhammad Zakariyya Al-Kandhlawi, Syeikh Muhmmad Faqeh Al-Mukaddam, Syeikh Nizamuddin Ad-Dahlawi, Wali Songo, Syeikh Nuruddin Ar-Raniri, Syeikh Abdus Samad Al-Falembani, Syeikh Muhammad Daud Al-Fatoni, Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati dan ramai lagi.
Dan itulah juga saham yang akan melahirkan watak-watak terunggul Akhir Zaman yang khusus disebut dalam kitab-kitab seperti Al-Hasyimi, At-Tamimi, Al-Mansur, Al-Harith Harrats, As-Salam, Ibnu Al-Asb, Amr, Muhammad dan sebagainya yang bakal menjadi para pembantu Imam Mahdi dan Nabi Isa AS dalam menerajui Zaman Kegemilangan ummah yang ke-2.
Firman Allah SWT yang maksudnya :
“Berapa banyak yang terjadi golongan yang sedikit mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah.”
(Al-Baqarah: 249)
“Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba-hambaKu yang soleh.” ( Al-Anbiyaa: 105)
“Allah pembela bagi orang bertaqwa .” (Al-Jatsiyah: 19)
BAHAN-BAHAN RUJUKAN:
Qadhi Md Sulaiman & Salman Manssor Puri, Mercy for the world (Rahamatuleel ‘Alameen), Volume II, Maulvi M. I Nana, Johannesburg, South Africa. hlm 100. Muhammad Zinaff dan Ibrahim merupakan putera-putera kepada Sayyid Abdullah ibni Sayyid Hassan Al-Muthana ibni Sayyid Hassan ibni Fatimah binti Rasulullah SAW.
Imam Malik sendiri telah mengeluarkan fatwa yang memihak kepada Muhammad Zinaff sebagai orang yang lebih berhak untuk menyandang kerusi Khalifah.
Ibid, hlm 100. Imam Abu Hanifah secara peribadi telah menyumbang sebanyak 4000 dirham kepada Ibrahim untuk tujuan penggulingan Khalifah.
Dikutip oleh: Perihatin
No comments:
Post a Comment