Saturday, July 3, 2010

SYAHIDAH WANITA PERTAMA


by Tigosotigo Al-Kelantani  Monday, June 14, 2010 at 10:20am

SUMAYYAH BINTI KHAYYAT: SYAHIDAH WANITA PERTAMA

Dialah Sumayyah binti Khayyat, hamba sahaya dari Abu Hudzaifah bin Mughirah. Beliau dinikahi oleh Yasir, seorang pendatang yang kemudian menetap di Makkah. Akibatnya, tidak ada kabilah yang dapat membelanya, menolongnya, dan mencegah kezaliman atas dirinya. Sebab, dia hidup sebatang kara, sehingga situasinya sulit di bawah naungan aturan yang berlaku pada masa jahiliyah.

Begitulah Yasir mendapatkan dirinya menyerahkan perlindungannya kepada Bani Makhzum. Beliau hidup dalam kekuasaan Abu Hudzaifah, sehingga akhirnya dia dinikahkan dengan budak wanita bernama Sumayyah. Dia hidup bersamanya dan tenteram bersamanya. Tidak berselang lama dari pernikahannya, lahirlah anak mereka berdua yang bernama Ammar dan Ubaidullah.

Tatkala Ammar hampir menjelang dewasa dan sempurna sebagai seorang laki-laki, beliau mendengar agama baru yang didakwahkan oleh Muhammad bin Abdullah SAW kepada beliau. Akhirnya, berfikirlah Ammar bin Yasir sebagaimana berfikirnya penduduk Makkah. Kerana kesungguhan dalam berfikir dan fitrahnya yang lurus, maka akhirnya beliau memeluk agama Islam.

Ammar kembali ke rumah dan menemui kedua orang tuanya dalam keadaan merasakan lazatnya iman yang telah terpateri dalam jiwanya. Beliau menceritakan kejadian yang beliau alami hingga pertemuannya dengan Rasulullah SAW, kemudian menawarkan kepada keduanya untuk mengikuti dakwah yang baru tersebut. Ternyata Yasir dan Sumayyah menyahut dakwah yang penuh barokah tersebut dan bahkan mengumumkan keislaman mereka, sehingga Sumayyah menjadi orang ketujuh yang masuk Islam.

Dari sinilah bermulanya sejarah yang agung bagi Sumayyah yang bertepatan dengan permulaan dakwah Islam dan sejak fajar terbit untuk yang pertama kalinya. Bani Makhzum mengetahui akan hal itu, kerana Ammar dan keluarganya tidak memungkiri bahawa mereka telah masuk Islam bahkan mengumumkan keislamannya dengan kuat, sehingga orang-orang kafir tidak menanggapinya, melainkan dengan pertentangan dan permusuhan.

Bani Makhzum segera menangkap keluarga Yasir dan menyiksa mereka dengan bermacam-macam siksaan agar mereka keluar dari agama mereka. Mereka memaksa dengan cara mengeluarkan mereka ke padang pasir tatkala keadaannya sangat panas dan menyengat. Mereka membuang Sumayyah ke sebuah tempat dan menaburinya dengan pasir yang sangat panas, kemudian meletakkan di atas dadanya sebongkah batu yang berat, akan tetapi tiada terdengar rintihan ataupun ratapan melainkan ucapan 'Ahad... Ahad...', beliau ulang-ulangi kata-kata tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh Yasir, Ammar dan Bilal.

Suatu ketika, Rasulullah SAW menyaksikan keluarga muslim tersebut yang sedang disiksa dengan kejam, maka Baginda menadahkan ke langit dan berseru: "Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana sesungguhnya tempat kembali kalian adalah Jannah." Sumayyah mendengar seruan Rasulullah SAW, maka beliau bertambah tegar dan yakin, dan dengan kewibawaan imannya dia mengulang-ulangi dengan berani, "Aku bersaksi bahawa Engkau adalah Rasulullah dan aku bersaksi bahwa janjimu adalah benar."

Begitulah, Sumayyah telah merasakan lazat dan manisnya iman, sehingga bagi beliau kematian adalah sesuatu yang remeh dalam rangka memperjuangkan akidahnya. Di hatinya telah dipenuhi akan kebesaran Allah Azza wa Jalla, maka dia menganggap kecil setiap siksaan yang dilakukan oleh para taghut yang zalim. Mereka tidak kuasa menggoyahkan keimanan dan keyakinannya sekalipun hanya satu langkah semut.

Sementara Yasir telah mengambil keputusan sebagaimana yang dia lihat dan dia dengar dari isterinya, Sumayyah pun telah mematerikan dalam dirinya untuk bersama-sama dengan suaminya meraih kejayaan yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW. Tatkala para taghut telah berputus asa mendengar ucapan yang sentiasa diulang-ulangi oleh Sumayyah, maka Abu Jahal laknatullah melampiaskan keberangannya kepada Sumayyah dengan menusukkan tombak yang berada dalam genggamannya terhadap Sumayyah. Maka terbanglah nyawa beliau yang beriman dan suci bersih dari raganya.

Beliau adalah wanita pertama yang mati syahid dalam Islam. Beliau gugur setelah memberikan contoh baik dan mulia bagi kita dalam hal keberanian dan keimanan. Beliau telah mengerahkan segala apa yang beliau miliki dan menganggap remeh kematian dalam rangka memperjuangkan imannya. Beliau telah mengorbankan nyawanya yang mahal dalam rangka meraih keredhaan Tuhannya. 'Dan mendermakan jiwa adalah puncak tertinggi dari kedermawanannya.'

(Sumber: Nisaa' Haular Rasuul, Mahmud Mahdi al-Istanbuli dan Musthafa Abu an-Nashr asy-Syalabi)

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)