Wednesday, May 25, 2011

Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun

: KAEDAH TRADISIONAL ::

1. Matahari Istiwa atas Kaabah
Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun. Fenomena ini berlaku pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang (mengikut waktu piawai Malaysia). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah qiblat. Lihat Rajah 1.
Rajah 1: Kedudukan matahari di atas Kaabah yang menyebabkan bayang-bayang tegak di seluruh dunia membetuli arah qiblat.

2. Kaedah Buruj Bintang
Buruj bintang ialah satu kumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit yang hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain. Menurut International Astronomical Union (IAU), langit dibahagikan kepada lapan puluh lapan (88) kawasan buruj bintang. Bintang-bintang yang berada di suatu kawasan yang sama adalah dalam satu buruj. Pemerhati purba telah menetapkan sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah mereka kenalpasti seperti bentuk-bentuk haiwan, geometri dan seumpamanya. Dengan mengetahui bentuk buruj-buruj bintang tertentu, arah utara dan arah qiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan.
 
2.1 Buruj al-Babadur/Belantik (Orion)
Buruj bintang yang boleh dijadikan panduan untuk berijtihad arah qiblat ialah buruj al-Babadur. Tiga bintang berderetan dalam buruj ini iaitu Mintaka, an-Nilam dan an-Nitak yang diunjurkan pada arah barat adalah membetuli arah qiblat bagi penduduk Malaysia dan negara sekitar. Buruj al-Babadur berada tinggi di langit Malaysia ketika waktu Maghrib di antara bulan Disember dan Mac. Lihat Rajah 2.
Rajah 2 : Buruj al-Babadur yang boleh digunakan untuk berijtihad tentang arah kiblat
2.2 Menggunakan Kedudukan Bintang al-Qutbi/Kutub (Polaris)
Bintang-bintang akan kelihatan secara ketara mengelilingi paksi kutub yang ditunjukkan oleh bintang Qutbi. Oleh itu bintang Qutbi menunjukkan arah Utara Benar dari mana-mana tempat di muka bumi ini. Bintang Qutbi terletak dalam buruj Bajak (al-Juddah/Ursa Majoris) dan buruj ini berada di langit Malaysia waktu tengah malam pada bulan Julai hingga Disember setiap tahun. Kedudukan bintang Qutbi boleh dikenali berdasarkan bentuk buruj bintang ini. Lihat Rajah 3.
Rajah 3: Buruj al-juddah (Bajak / Ursa Majoris)
Arah Qiblat boleh ditentukan berdasarkan perbezaan sudut sebanyak 68° (bagi Malaysia) ke kiri dari kedudukan bintang Qutbi seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 4.
Rajah 4: Kedudukan arah qiblat daripada bintang Qutbi
Gunakanlah petunjuk sudut dengan jari untuk menentukan nilai beza sudut. Lihat Rajah 5.
Rajah 5: Panduan jari untuk nilai sudut

3. Kaedah Matahari Terbenam
Secara umum merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah qiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah-ubah dari azimut 235° hingga 295°. Walau bagaimanapun sebagai salah satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan sekiranya diketahui perbezaan sudut di antara arah matahari terbenam dengan arah qiblat. Anggaran perbezaan sudut antara arah qiblat dengan matahari terbenam bagi kegunaan di Malaysia dinyatakan secara purata dalam Jadual I.
Bulan
Anggaran Arah Qiblat Dari Matahari Terbenam
Januari
ke kanan 45 °
Februari
ke kanan 40 °
Mac
ke kanan 25 °
April
ke kanan 15 °
Mei
ke kanan 5 °
Jun
ke kiri 1 °
Julai
ke kanan 1 °
Ogos
ke kanan 5 °
September
ke kanan 15 °
Oktober
ke kanan 30 °
November
ke kanan 40 °
Disember
ke kanan 45 °
Jadual I: Anggaran perbezaan sudut di antara arah qiblat dengan matahari ketika terbenam di Malaysia
Gunakan perbezaan sudut oleh petunjuk jari dan halakan ke kiri atau ke kanan dari titik terbenam. Lihat Rajah 6.
Pada bulan Mac azimut matahari terbenam = 267 ° , arah qiblat = 292 ° . Jadi kita mestilah menghala 25 ° ke kanan daripada kedudukan matahari terbenam.
Rajah 6: Kaedah matahari terbenam

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)