Monday, October 24, 2011

Hati mati tanpa al-Quran, dan sunnah

AL-QURAN dan sunah Rasulullah SAW adalah panduan yang perlu digunakan umat Islam dalam memandu kehidupan di dunia dan di akhirat.

Kedua-duanya adalah harta paling berharga bagi umat Islam kerana al-Quran merujuk kepada perintah secara langsung daripada Allah SWT kepada manusia yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW.

Sunah Rasulullah SAW pula merujuk kepada penjelasan Baginda mengenai sesuatu perkara secara lebih jelas. Kebanyakan sunah yang ada pada masa ini berpandukan kepada penjelasan baginda terhadap soalan yang ditanyakan sahabat pada zaman itu.

Adalah jelas bahawa kedua-duanya sangat penting kepada umat Islam sebagaimana sabda Baginda sendiri yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang pada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku.

” (Riwayat Imam Malik) Jadi, tidak hairanlah al-Quran dan sunah ini ibarat udara serta air yang sememangnya diperlukan oleh manusia. Jika air dan udara diperlukan manusia untuk hidup di dunia, al-Quran dan sunah pula diperlukan manusia untuk menghidupkan hati agar penuh dengan keimanan.

Tanpa panduan dan pegangan daripada al-Quran dan sunah, maka matilah hati seseorang itu dan hiduplah dia dalam kekufuran serta dalam kegelapan baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

Namun, dalam kita berpegang pada al-Quran dan sunah ini, hendaklah kita berhati-hati kerana pada masa ini, wujud banyak cetakan atau petikan daripada ayat al-Quran yang disalah cetak serta dipalsukan.

Sebagai umat Islam, kita perlu peka bahawa tidak semua ayat yang ditulis dalam kaligrafi bertulisan jawi itu adalah ayat al-Quran, walaupun lazimnya ia kelihatan cantik untuk dipandang dan sebagai perhiasan di dalam rumah.

Janganlah kita butakan hati, akal dan fikiran dengan menganggap semua kaligrafi jawi itu adalah petikan ayat al-Quran dan janganlah pula sewenang-wenangnya membeli atau mempamerkan ayat berkenaan tanpa memeriksa kebenaran ayat berkenaan.

Ini kerana, jika ada satu baris yang diletakkan secara salah dalam ayat berkenaan, ia akan membawa maksud berbeza sekali gus akan mencemarkan kesucian kalam Allah.

Periksa dan telitilah ayat berkenaan dengan sebaik-baiknya. Jika kita tidak mengetahui atau fasih mengenainya, adalah lebih baik supaya tidak membeli atau mempamerkannya sebelum merujuk kesahihan ayat berkenaan kepada mereka yang pakar sebagaimana terkandung dalam al-Quran.

Janganlah kerana ingin menunjuk bahawa kita Islam, kita butakan hati dengan membeli perhiasan yang diperindahkan dengan kaligrafi sedangkan kita sendiri tidak fasih untuk membaca serta memahaminya.

Begitu juga halnya hadis yang dikatakan berdasarkan sunah Rasulullah SAW. Pada masa ini, wujud hadis yang dipalsukan serta diadakan- adakan oleh pihak tertentu.

Walaupun secara pandangan mata kasarnya hadis itu mungkin nampak elok serta baik, kesan hadis palsu ini sebenarnya akan mengelirukan umat Islam dalam menentukan kedudukan perkara paling telus dan benar.

Janganlah sewenang-wenangnya mencedok hadis serta petikan ayat al-Quran ini jika kita kurang ilmu mengenainya. Cara yang terbaik adalah dengan mempelajarinya daripada seorang guru yang dipastikan layak dan bukan berdasarkan pembacaan daripada buku atau carian di Internet semata-mata.

Ini kerana, adat untuk belajar hendaklah dengan berguru. Rasulullah SAW sendiri diajar oleh Malaikat Jibril untuk membaca menerusi wahyu pertama iaitu surah al-Alaq, ayat 1-5 yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak tahu.

” Selepas itu juga Jibril kerap kali datang membawa wahyu Allah, selain ada antara wahyu itu diterima sendiri Baginda secara langsung daripada Allah SWT selain pengalaman waktu Israk Mikraj.

Jadi, sebagai manusia yang lemah, janganlah kita mengambil sesuatu perkara itu tanpa pengesahan daripada mereka yang benar-benar layak untuk mengajar atau sekadar melalui pembacaan.

Ini kerana tanpa penunjuk yang betul, seseorang itu boleh diibaratkan sebagai mereka yang sesat dalam cahaya tanpa mengetahui di manakah sumber cahaya itu yang sebenarnya.

Harian Metro

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)