Friday, January 20, 2012

AHLUL BAIT & PERISTIWA MUBAHALAH





Mubahalah dilakukan ketika terjadi perbezaan dan perbalahan di antara dua orang atau lebih; masing-masing menolak dalil dan hujah yang dikemukakan oleh pihak lain. Untuk memperoleh kejelasan dalam perbalahan itu, maka kedua-dua pihak berdoa (bermubahalah) kepada Allah SWT agar pihak yang batil (salah) di antara keduanya menarik diri sehingga kebenaran dizahirkan.
Pada waktu itu, Rasulullah SAW telah menyebutkan di hadapan kaum Nasrani Najran bahawa Nabi Isa AS adalah makhluk dan hamba Allah SWT dan sesungguhnya Nabi Isa AS telah menyampaikan berita gembira tentang kenabian Baginda SAW. Lalu Baginda SAW meminta agar mereka memanggil sekelompok kaum Nasrani Najran ke Madinah supaya Baginda SAW dapat berdialog dengan mereka.
Kemudian mereka datang dan menetap di Madinah selama beberapa hari. Meskipun demikian, mereka tidak sepakat atas ucapan Baginda SAW. Kata mereka: "Bagaimana mungkin Isa itu seperti manusia lain, sedangkan dia tidak mempunyai ayah? Oleh kerana itu, dia adalah anak Allah, bahkan menyatu di dalamNya." Rasulullah SAW menjawab dakwaan palsu mereka dengan firman Allah SWT:
"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)." (QS Ali Imran: 59)
Penciptaan Nabi Isa AS tanpa ayah tidaklah lebih sukar untuk difahami berbanding Nabi Adam AS yang telah melalui proses penciptaan tanpa ayah dan ibu. Bahkan penciptaan Nabi Adam AS lebih membangkitkan rasa takjub. Andaikata keadaan itu dilihat sebagai dalil untuk meletakkan Nabi Isa AS pada kedudukan 'Ilahiyyah' (Ketuhanan), maka adalah lebih utama untuk memberikan kedudukan tersebut kepada Nabi Adam AS. Apabila kaum Nasrani Najran tidak meyakini kewujudan kedudukan tersebut pada Nabi Adam AS, bapa umat manusia, maka sewajarnyalah mereka tidak mengatakan dakwaan seumpama itu terhadap Nabi Isa AS.
Kaum Nasrani Najran tidak menerima dalil Ilahi tersebut bahkan semakin keras menunjukkan penentangan mereka terhadap Rasulullah SAW. Baginda SAW kemudian mengajak mereka berdasarkan perintah Allah SWT untuk melakukan 'Mubahalah'. Allah SWT berfirman :
"Maka sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (kisah Nabi Isa) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru (memanggil) anak-anak kami serta anak-anak kamu dan wanita-wanita kami serta wanita-wanita kamu dan diri-diri kami serta diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah (memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) dan kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta." (QS Ali Imran: 61)
Hikmah Peristiwa Mubahalah
Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah SAW turut membawa bersamanya Saidina Ali k.w., Saidatina Fatimah Az-Zahra, Saidina Hasan dan Saidina Hussein. Antara beberapa hikmah besar dan penting melalui kehadiran mereka dalam peristiwa Mubahalah tersebut ialah:
1-Penetapan dan pernyataan pasti tentang kebenaran dakwah dan kenabian Rasulullah SAW. Baginda SAW sanggup membawa bersama dua orang belahan jiwanya iaitu Al-Hasan dan Al-Hussein, satu-satunya puteri kesayangan baginda iaitu Fatimah az-Zahra dan Saidina Ali k.w. Rasulullah SAW datang dengan Ahlul Bait Baginda untuk melakukan Mubahalah supaya Allah SWT mencabut benih kedustaan dan kebatilan sehingga ke akar umbinya, seolah-olah Baginda SAW ingin mengisytiharkan: "Sesungguhnya aku berada di atas keyakinan yang mutlak bahawa kebenaran sentiasa bersamaku sementara yang lain sentiasa berada di atas kebatilan. Keyakinan ini kumiliki hingga ke tahap aku berani membawa bersamaku orang-orang yang amat kucintai untuk melakukan Mubahalah."
2-Pengisytiharan tentang tingginya kedudukan dan maqam orang-orang yang bersama dengan Baginda SAW. Mereka adalah orang-orang yang memiliki kedudukan sebagai anak-anak, isteri-isteri dan diri Baginda sendiri. Sesungguhnya perkataan "abnaa-anaa" (anak-anak kami) telah menunjukkan dengan jelas bahawa sesungguhnya al-Hasan dan al-Hussein adalah merupakan putera Baginda SAW. Perkataan "anfusanaa" (diri-diri kami) pula menunjukkan diri Rasulullah SAW dan Saidina Ali, manakala perkataan "nisaa-ana" (wanita-wanita kami) menunjukkan kepada umat Islam bahawa sesungguhnya Fatimah Az-Zahra adalah orang yang memiliki keutamaan di atas seluruh para wanita.
3-Supaya manusia mengetahui bahawa penyertaan mereka bersama Rasulullah SAW merupakan pembuktian status mereka sebagai Ahlul Bait Baginda serta penegakan kebenaran (al-haq) dan pembatalan atas kebatilan (al-batil).
Cara Mereka Bermubahalah
Sebelum kaum Nasrani Najran mencadangkan untuk melakukan Mubahalah, Rasulullah SAW datang di waktu pagi pada 24 Zulhijjah, 10 Hijriyyah. Baginda SAW mengendong al-Hussein di dadanya dan menuntun al-Hasan dengan tangannya sementara Fatimah dan Ali berjalan di belakangnya. Rasulullah SAW berkata kepada mereka: "Ketika kalian mendengar aku melaknat, maka katakanlah: 'Amin' ".
Ketika melihat Rasulullah SAW dan orang-orang yang bersamanya berada dalam keadaan seperti itu, pemimpin Najran berkata: "Ketahuilah, wahai kaum Nasrani, sesungguhnya wajah-wajah yang ku lihat, seandainya mereka bersumpah atas nama Allah agar melenyapkan gunung, nescaya Allah akan melenyapkannya. Oleh kerana itu, berhati-hatilah kalian dengan 'Mubahalah' melawan mereka. Sesungguhnya kalian pasti akan binasa dan takkan ada lagi kaum Nasrani yang akan tersisa setelah itu di atas muka bumi ini."
Lantas mereka berkata kepada Rasulullah SAW: "Kami rasa, kami tidak perlu bermubahalah dengan anda. Anda tetap dengan agama anda dan kami tetap dengan agama kami." Rasulullah SAW lalu bersabda: "Sekarang kalian telah menarik diri dari bermubahalah. Maka menyerahlah kalian (masuklah Islam) untuk bersama-sama kaum Muslimin dalam keadaan bahagia dan susah." Namun mereka semua tetap menolak.
Baginda SAW bertanya: "Apakah kalian ingin berperang?" Mereka menjawab: "Kami tidak memiliki kekuatan untuk berperang melawan kaum Muslimin. Kami ingin berdamai dengan anda agar anda tidak memerangi kami dan agar anda tidak menakut-nakutkan kami serta agar kami tidak keluar dari agama kami. Kami akan memberikan ribuan helai pakaian baru yang harga setiap helai pakaian tersebut ialah 40,000 dirham." Lalu Baginda SAW bersetuju untuk berdamai dengan mereka di atas syarat tersebut.
Faktor Penting Dalam Ayat Mubahalah
Sesungguhnya umat Islam wajib berusaha untuk mendalami peristiwa 'Mubahalah' supaya mereka dapat mengenal dan mengetahui kedudukan, maqam serta keutamaan Ahlul Bait Rasulullah SAW, khususnya yang berkaitan dengan perintah Ilahi kepada Rasulullah SAW agar Baginda datang bersama-sama dengan mereka (anak-anak, wanita-wanita dan diri Baginda) untuk bermubahalah.
Az-Zamakhsyari, salah seorang ulama Tafsir besar di sisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah ketika mentafsirkan ayat al-Mubahalah mengatakan: "Peristiwa Mubahalah merupakan dalil yang kuat dan tidak ada yang lebih kuat darinya atas keutamaan Ahlul Bait." Sementara Fakhru ar-Razi mengatakan: "Sesungguhnya peristiwa Mubahalah merupakan dalil akan keutamaan Ahlul Bait di atas seluruh sahabat Nabi (SAW)."

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)