"Saya
telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah
baginda berkata atas barang yang saya kerjakan: "Mengapa engkau
kerjakan?" Mengapa tidak engkau kerjakan?". Tidak pernah pula baginda
berkata pada barang yang tidak ada: "Alangkah baiknya kalau barang itu
ada". Kalau pada suatu ketika terjadi perselisihan saya dengan ahlinya,
dia berkata kepada ahlinya itu. "Biarlah sebab apa yang telah
ditakdirkan Allah mesti terjadi."
Memikirkan bunyi hadis yang diriwayatkan Anas itu, dapatlah difikirkan pula apa ertinya redha,
yang telah berkali-kali kita tuliskan sebelum ini. Dapatlah diketahui
hal ehwal Rasulullah itu. Dia sendiri, setelah sempurna makrifatnya
dengan Allah, tidaklah dia lupa Yang Maha Kuasa itu ialah Dia. Dia yang
mentadbirkan. Dia yang menyusun, mengatur, dan alam ini terlingkup kita
di dalamnya, berhaklah Dia bertaharruf, berbuat sekehendak hatiNya di
atas milikNya itu.
Nabi
SAW penuh kepercayaan bahawa Tuhan bijaksana, tidaklah Dia menentukan
satu keputusan di luar pertimbangan seadil-adilnya. Dia menyerah
kepadaNya, lebih daripada penyerahan hamba kepada penghulu. Meskipun
banyak cubaan yang dijatuhkan atas dirinya, namun dia tidak berhenti
selangkah dia haram surut, setapak dia tidak kembali. Dia terima apa
yang ada, tidak mengaduh, tidak merintih dan tidak menyesal. Jika bukit
teguh pada tempatnya, tiada bergoyang oleh terpaan angin dari segenap
penjuru, maka keteguhan hati Rasulullah jika dihembus angin kehidupan,
lebih dari teguhnya bukit, sebab jika gempa datang, bukitpun bergoyang
juga.
Cubalah
perhatikan kehidupan junjungan kita itu. Segenap alam gelap gelita,
satu pun tak ada tanah tujuan dari perjalanan bangsa manusia. Dia
diutus seorang dirinya ke dunia ini, tak berkawan, tak berteman, ahli
rumahnya sendiripun 'masih orang lain'. Kekafiran, kederhakaan kepada
Tuhan, kelupaan dari kebenaran, membelakangi yang hak.
Cubalah
kenangkan bagaimana hidupnya yang dibenci, dihina dan dimaki, sampai
lari menyembunyikan diri kalau perlu. Pernah kakinya luka dan mengalir
darah membasahi terompahnya kena pukulan orang, disangkut orang
badannya dengan kulit unta ketika mengerjakan solat. Dia terima itu
dengan diam dan tenang.
Ketika
kembali dari perlawanan ke Thaif yang hampir saja membahayakan jiwanya
itu, sebab yang empunya rumah tempatnya bertemu sendiri telah
memberitahu kepada penduduk 'bahaya' pengajaran yang dibawanya,
sehingga dia dipukul orang. Ketika akan pulang ia telah bertemu dengan
seorang malaikat, lalu baginda ditanyai, sudikah dia kalau malaikat itu
membinasakan umat yang menolak pengajarannya itu. Dengan lemah lembut
baginda menolak tawaran itu, dengan perkataan bahawasanya orang-orang
yang memusuhinya itu adalah orang tua yang tiada baginda menolak
tawaran itu, dengan perkataan bahawasanya orang-orang yang memusuhinya
itu adalah orang tua yag tiada baginda harapkan lagi, moga-moga anak
cucu turunan mereka kelak yang akan menerima faham ini. Jawapan baginda
itu pun terbuktilah, sebab ternyata bahawa panglima-panglima dan
pahlawan-pahlawan yang menurutkan jejaknya kemudian hari, terdiri dari
angkatan muda, anak cucu orang-orang yang menghalangi dahulu.
Dia
keluar dari rumah, ke dalam Masjidil Haram. Kalau tak berhasil di sana,
dia pergi ke atas bukit Syafa atau Marwah. Tidak pula hasil di sana,
dia pergi ke Mina, ke Jumratul Aqaba di waktu musim haji sambil
menunggu dengan hati yang tetap, kalau-kalau ada dari kabilah lain atau
kampung lain yang suka menerima pengajarannya itu. Selalu dia serukan: "Siapa yang suka membelaku? Siapa yang suka menolongku?"
Begitu
jalan yang dilaluinya, seandainya bukan Nabi, mahulah agaknya dia
kehilangan kesabaran dan dia akan mahulah agaknya berkata: "Ya
Rabbi, bukankah Tuhanku telah berjanji hendak menolong hambaMu, manakah
pertolongan itu kini? Bukankah sudah patut saya menerimanya?"
Di
dalam pertempuran siasat yang masyhur di Hudaibiyah itu, yang kaum
Quraisy di sana telah mengemukakan janji-janji yang amat pincang
menurut pandang selintas lalu. Umar telah berkata: "Bukankah kita berdiri di atas kebenaran? Mengapa kita hendak mendatangkan kehinaan atas agama kita?"
Rasulullah saw, menjawab dengan pendek tetapi jitu: "Saya ini hamba Allah, dan Allah tidak akan mengecewakan daku."
Kalau
ada yang menyangka pada masa itu, bahawa perjanjian itu melemahkan
pihak Islam, bagi Rasulullah SAW, adalah satu kemenangan besar. Sebab
walaupun macam mana corak perjanjian, namun sekarang kaum Quraisy tidak
memandang lagi bahawa golongan kaum Muslimin sebagai golongan
'pemecah', tetapi duduk sama rendah, tegak sama tinggi, telah boleh
mengikat satu perjanjian politik.
Cubalah perhatikan kalimat yang diucapkan Rasulullah untuk mententeramkan fikiran Umar bin Khattab itu: "Saya ini hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakan daku".
Ertinya,
saya hamba Allah (Ana Abdullah), bahawa saya ini di bawah kekuasaanNya,
di bawah perintahNya, digantungNya tinggi, dibuangNya jauh.
Dengan dasar itu dia berjuang: "Saya ini hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakan daku".
Kadang-kadang
lapar perutnya kerana tidak ada yang akan dimakan. Kadang-kadang
sebulan lamannya dapurnya tak berasap. Dia tidak mengeluh, malahan
diambilnya saja batu, diikatkannya kepada perutnya. Padahal kunci Masyriq dan Maghrib telah diserahkan ke tangannya.
Sahabat-sahabatnya
yang setia mati terbunuh, seorang di antaranya bapa saudara baginda
sendiri Hamzah, pahlawan yang gagah berani. Dibedah perutnya, diambil
jantungnya, dan dimakan, dan dihisap orang darahnya. Nabi melihat
semuanya itu dengan tidak merasa cemas. Luka jari tangannya, patah
saingnya, hampir pecah kepalanya. Dia bangun kembali dan berjuang terus
sampai menang.
“Saya hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakan daku.”
Anak-anaknya
meninggal, maka ditumpahkannya kasih sayang kepada cucu-cucunya dari
anak perempuannya Fatimah, iaitu Hasan dan Husain. Diambilnya perintang
hati. Walaupun dia sedang mengerjakan solat dipanjat punggungnya oleh
kedua-dua anak-anak itu. Dia telah tahu dalam ilham Ilahi bahawa
perkara-perkara yang besar akan dihadapi kedua anak itu kelak. Tetapi
supaya orang lain tidak bergoncang hati, hanya dikatakannya saja,
bahawa salah seorang dari anak itu akan mendamaikan perselisihan yang
terjadi di antara dua golongan yang besar. Tidak ditegaskan bahawa
salah seorang anak itu iaitu Husain akan mati dalam satu pertempuran
yang hebat.
Rasulullah
sempat mencintai isterinya yang tua, Khadijah. Kebetulan meninggal
perempuan itu di waktu baginda amat perlu kepada pertolongan dan
bujukannya. Maka dihadapkannyalah kasih sayangnya kepada Aisyah anak
sahabatnya yang setia, Abu Bakar. Tiba-tiba dituduh orang pula isteri
yang tercinta itu berbuat pekerjaan yang merosakkan hatinya.
Dia teguh: “Saya hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakan daku.”
Baru
pekerjaan hampir selesai, tiba-tiba timbul berturut-turut orang-orang
yang bersikap hendak melawannya, hampir semuanya mendakwakan dirinya
Nabi pula. Timbul Musailamah Alkazzab, Aswab al Insiy, Thulaihah Al
Asadi, Sajah binti Al Harits, semuanya mendakwakan dirinya Nabi.
Dia
serukan kebenaran, meskipun dia dituduh pendusta. Diterangkannya agama
yang baik, dikatakan orang dia gila. Namun dia tak bergeser dari
keyakinannya. Tetapi pada keredhaan dan keteguhan. Dia percaya, dia
hamba Allah, Allah tak akan mengecewakannya.
Dalam
kepercayaan yang penuh itulah datang kepadanya penyakit yang berat,
awal dari kematian. Dia meninggal dalam keyakinan bahawa dia hamba
Allah, bahawa Allah tak akan mengecewakannya. Dia menutup mata melepas
nafasnya yang penghabisan, setelah bermohon kembali kepada Ilahi supaya
diizinkan duduk bersama-sama dengan teman sejawatnya yang paling
tinggi, iaitu nabi-nabi dan rasul-rasul yang dahulu daripadanya.
Dia
meninggal di atas sebuah hamparan yang telah tua, berselimut kain
kasar, sedang minyak penghidup lampu semalam itu pun telah habis tengah
malam, tak dapat ditambah lagi, kerana tidak ada minyak lagi.
“Saya ini hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakan saya".
Bilamana
Nabi Nuh AS melihat kesesatan umat yang didatanginya, serta perlawanan
yang mereka hadapkan ke dirinya, beliau berkata: "Jangan ditinggalkan atas bumi ini tempat-tempat buat tinggalnya orang kafir".
Maka dalam hal yang demikian Nabi Muhammad SAW telah meminta kepada Tuhan: Ertinya: "Ya Tuhanku! Berilah petunjuk atas hambaMu, kerana mereka tidak mengetahui".
Musa
Kalimul-Lah ketika melihat kaumnya telah berpaling dari menyembah Allah
kepada menyembah Injil, telah berkata kepada Tuhan: "Ini tidak lain dari fitnahMu jua, ya Tuhan!"
Nabi Muhammad SAW ketika melihat kesesatan kaumnya dan mereka menyesali Tuhan, telah berkata: "Allah tidak mengubah nasib suatu kaum, kalau tidak kaum itu sendiri yang mengubah nasib mereka".
Isa Ruhul-Lah AS pernah berkata: "Kalau Engkau berkuasa ya Tuhanku, memalingkan kematian daripada makhlukMu, palingkanlah dia daripadaku."
Sedang
Nabi Muhammad SAW, ketika disuruh memilih antara dua perkara, iaitu
hidup kekal dalam dunia, atau mati ketika hari kiamat saja, atau mati
seperti orang lain mati, telah dipilihnya kematian, dipilihnya Rafiqil
A'la.
Nabi Sulaiman AS telah memohon kepada Tuhan: "Ya Tuhanku, anugerahi kiranya akan daku suatu kekuasaan". (QS Shad: 35).
Nabi Muhammad SAW telah memohon kepada Tuhan: "Ya Rabbi, jadikanlah rezeki ahli rumah Muhammad sekadar yang akan dimakan sehari-hari".
Demikianlah wahai orang yang hendak mencapai darjat Tasauf sejati. Demikianlah QANAAH yang telah dicontohkan oleh orang yang kenal erti wujud, dan kenal erti yang MAUJUD. Cita-citanya, untuk kemaslahatannya sendiri dikalahkan oleh cita-cita untuk maslahat umatnya. Tenang segala gelora hatinya, tenteram perjalanannya menuju keredhaan Tuhannya, dan dia tidak putus berusaha.
No comments:
Post a Comment