Friday, November 19, 2010

Kembali kepada fitrah manusia

Allah S.W.T menjadikan faktor kisah dalam al-Quran sebagai ibrah atau pengajaran yang sifatnya alamiah dan tetap releven sepanjang hayat hidup insan. Contohnya, kisah yang terpahat dalam surah Ashabul Kahfi yang menceritakan perihal tujuh pemuda yang beriman memberikan kita petanda kebesaran Allah dalam memahamkan faktor zaman dan perubahan. Begitu juga kisah Nabi Lut A.S yang menghadapi kaumnya yang lari daripada fitrah kejadian manusia. Ia adalah gambaran gelagat manusia yang hilang pedoman dan menjadikan nafsu-nafsi sebagai tunggangan hingga nilai hedonistik yang melampau menjadi amalan yang akhirnya membawa musibah. 

Dalam kisah Nabi Nuh A.S. pula, dibentangkan bahawa usaha melakukan dakwah mengajak manusia kembali kepada fitrah adalah perbuatan mulia. Jelasnya, apabila isteri dan anaknya enggan mengikuti jejaknya, ia adalah gambaran bahawa cabaran perjuangan ke arah kebenaran tidak saja datang dari faktor luar diri, malah daripada keluarga atau kerabat terdekat. 

Baginda Nabi Muhammad S.A.W. dalam usahanya meningkatkan dakwah untuk mengajak manusia Makkah kembali kepada fitrah ditentang oleh kerabat keluarganya. Akhirnya dengan perintah Allah, Rasulullah melakukan hijrah ke Madinah. Peristiwa hijrah ini amat bermakna kerana ia memberi landasan pendekatan strategik menghubungkan manusia dengan Allah untuk memperkayakan khazanah pengalaman manusia sesama manusia. 

Sebenarmnya Kisah Nabi Lut A.S. tidak memiliki batas zaman. Ia berlaku pada zamannya dan boleh berulang kembali pada masa kini. Ia juga boleh menjelma semula pada masa depan sekiranya manusia tidak menjadikan pedoman Allah untuk mengukuhkan fitrah diri serta memandu cara hidup yang berlandaskan tabii dan sunatullah. Pada hari ini kita telah menyaksikan kisah yang sama seberti mana yang berlaku pada zaman Nabi Lut A.S. yang telah menjadi amalan hidup orang Barat dan sedang ditiru oleh masyarakat kita, yang tidak menjadikan kisah itu sebagai pedoman dan peringatan. Kecenderungan hidup secara 'gay' dan 'lesbian' adalah bayangan tergelincirnya manusia daripada fitrah. Manusia tidak lagi melihat hikmah di sebalik mengapa Allah S.W.T menjadikan manusia berpasang-pasang sebagai asas kekenalan atau 'lita, arrafu' yang mampu membimbing manusia membina keluarga dan masyarakat, malah tamadun yang mengekalkan kehidupan itu berada dalam fitrah. 

Kita lihat sahaja masyarakat yang berkembang dan berubah tanpa rujukan kepada kisah yang dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran yang mengaku mereka berada di dalam ambang kemajuan. Mereka terus melakukan percubaan, untuk mencari makna diri, kehidupan, hubungan diri, kehidupan dan persekitaran hingga melampaui batas. Akhirnya, mereka kehilangan arah dan menjadikan kehidupan atau 'tamadun' yang tidak lagi fitrah. Lalu Allah turunkan musibah AIDS/HIV yang menyebabkan manusia binasa serta sistem kemasyarakatan dan social rosak. Etika kemanusiaan menjadi kabur dan mutu kemanusiaan turut lebur. 

Kisah Nabi Nuh A.S. adalah kisah sepanjang hayat manusia. Dalam apa zaman pun akan wujud manusia yang insaf melakukan penyeruan terhadap yang makruf dan pencegahan terhadap yang mungkar. Sebagai daie‚ atau pendakwah, Nabi Nuh A.S. tetap istiqamah atau teguh hati terhadap risalah mengajak manusia menjadi baik supaya kerosakan di muka bumi ini dapat dihindarkan. Tetapi harus barang di ingat bahawa dalam setiap zaman akan wujud orang yang ingkar, perkara ini bukanlah suatu yang pelik. Keingkaran itu akan berlaku walaupun di kalangan kerabat atau keluarga yang terdekat. Kita mengambil iktibar dari kisah Nabi Nuh A.S., hampir seribu tahun, Baginda melakukan proses dakwah ini, namun yang kembali kepada fitrah hanya segelintir. Kisah ini amat menarik untuk dijadikan pedoman bahawa asas benda sudah menjadi tarikan dan 'tuhan' kepada manusia, cara hidup hedonistik iaitu tabiat bersenang-senang dan berfoya-foya yang lari daripada fitrah menjadi minat harian, ia memberi petanda nilai murni dan kemanusiaan bakal hancur. Begitu pun, tidak pula bermakna usaha penyeruan dan pengajakan harus berhenti. Usaha melakukan dakwah sebijaksana mungkin harus terus dilakukan kerana setiap orang Islam sifatnya adalah daie. Kalau tidak daie dalam pengertian mutu diri yang menjadi contohan, tetapi daie yang memahami faktor zaman yang sifatnya berubah dan sentiasa cekal melakukan dakwah supaya manusia kembali semula kepada fitrah. Apa yang dilakukan oleh Nabi Nuh A.S. itu juga dihadapi oleh Nabi-nabi dan Rasul-Rasul terkemudian. 

Baginda Rasulullah S.A.W dalam menjalankan dakwah di Makkah berdepan dengan kaum Musyrikin yang amat pahit dan mengancam bagi Rasulullah S.A.W hingga timbul pakatan supaya Baginda dibunuh. Usaha memadamkan obor kebenaran adalah fenomena sepanjang zaman. Dalam setiap zaman akan ada golongan yang menganjurkan kemungkaran dan kefasadan. Begitu juga akan terus ada orang berjiwa murni, cekal dan tabah untuk menyuburkan kebaikan dan kemakrufan. Kadang-kadang yang ingin melakukan kefasadan dan kemungkaran ini memiliki kekuatan dalam media cetak dan elektronik serta institusi yang mempunyai dana begitu banyak untuk mendekati orang jahil dan keliru hingga menyebabkan mereka terjebak dalam budaya ketagih kebendaan dan lekit berfoya-foya. Rasulullah S.A.W tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus melakukan strategi bijaksana di bawah pimpinan Allah dan ikhtiar manusia. Kekuatan strategik ini, akhirnya menjadikan Madinah sebagai model terbaik untuk melakukan penyuburan dan penyebaran risalah fitrah ini ke seluruh alam. 

Oleh itu, umat Islam dalam memahami kerenah zaman harus mengambil ibrah atau iktibar nabi terdahulu supaya suasana yang fitrah dalam kehidupan manusia dapat dikembalikan dengan bijaksana. Hal ini supaya akhirnya pencarian manusia mengenai makna diri, kehidupan dan hubungan kehidupan dengan persekitaran meletakkan manusia sentiasa dalam fitrah. Mereka juga akan kembali mengakui bahawa wujudnya proses penciptaan dan Pencipta serta rahmah dan nikmah yang patut di syukuri. Jika keinsafan ini ada, manusia akan kembali kepada diri dan amanah penciptaan terhadapnya. 

SUMBER: PROF. DR. SIDEK BABA

No comments:

CROWN D'RAJA PERTUBUHAN MQTK QuranSunnahIslam..

........free counters ..............................................................................“and I have come to you with a SIGN FROM YOUR LORD, so fear Allah and OBEY ME! Truly Allah is my Lord and your Lord. Therefore submit to HIM! This is A STRAIGHT PATH" (maryam 19:36)